Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Isnin, 27 September 2010

Mari Tulis Novel


Harga buku = RM30.00
Bayaran pos laju = RM6.00
JUMLAH = RM36.00

Mahu membeli?
Sila e-mel ke aurorapublication@gmail.com

Khamis, 23 September 2010

Lelaki Berkasut Merah yang Gilakan PSP

Dalam sibuk mengusahakan sebuah manuskrip, aku masih sempat membaca dua buah novel yang berlainan genre ini. Tetapi belum habis baca lagi kerana aku sudah berazam hendak menghabiskan manuskrip ini sebelum akhir tahun ini sebelum melangsaikan sebuah lagi manuskrip yang aku hutang dengan sebuah syarikat penerbitan. Huhu.


Jamal bin Lomo lelaki yang punyai masa silam yang gelap, memiliki sebuah kotak hitam yang rahsia dan dia mencari kerana di sini hanya ada kisah manusia-manusia yang biasa. Lelaki berkasut merah yang penuh rahsia, anak muda yang berwajah dingin, perempuan serba hitam yang tidak pernah gusar, perempuan berseragam hijau yang penuh prihatin, dan watak-watak lainnya yang berwarna seperti pelangi.

Kita akan menemukan lelaki berkasut merah yang punyai masa silam yang penuh rahsia. Tidak ada siapa tahu berkenaan rahsianya selain seorang tok imam tua.

Sebelum itu, kita juga akan menemukan seorang anak muda yang berwajah dingin, yang gemar merenung tajam, dan tidak mungkin dibantah katanya.

Kedua-dua mereka punyai misi yang sama atas sebab yang berbeza. Mereka berdua mencari manusia-manusia yang . Pada waktu yang sama, mereka juga dicari oleha manusia-manusia yang punya agenda rahsia.


Cerita Bahruddin Bekri selalunya mempunyai 'sesuatu' bagi aku tetapi kecenderungan penulis yang sering menjadikan Sarawak sebagai latar tempat dalam karya-karyanya membuatkan latar ceritanya seolah-olah hanya berlaku di sekitar negeri Sarawak. Mungkin kerana penulis berasa lebih dekat dengan Sarawak kerana penulis adalah orang Sarawak. Aku pun pernah juga ditegur kerana sering menggunakan bandar Kuantan sebagai latar tempat :)




Fendy mahu beli PSP tetapi wang tabungnya tidak cukup. Tidak mengapa, dia sanggup bekerja sebagai pengasuh sambilan.

Pengasuh sambilan? Hai, menjaga adik sendiri pun malas, bolehkah menjaga anak orang lain? Sangkanya menjaga adik orang lain lebih mudah.

Semua cabaran dan kesusahan ditempuhi dengan sabar dan penuh semangat waja demi sebuah PSP!


Novel ini aku beli kerana aku tertarik dengan sinopsisnya selain jalan ceritanya yang ada kena-mengena dengan sebuah manuskrip aku yang berkaitan dengan pengasuh. Bukan ingin meniru tetapi sekadar ingin mengetahui perspektif daripada sudut penulis lain tentang tema yang sama. Tema yang sama tetapi tidak bermakna jalan ceritanya juga sama ya.


*Tiga manuskrip sebelum akhir tahun, sempatkah?

Ahad, 12 September 2010

S Bukan Miss Epal

Dua buah novel lagi yang aku sempat baca iaitu "Miss Epal" dan "S Untuk...". Kedua-dua buah novel ini adalah terbitan PTS Profesional. Menariknya, novel keluaran PTS Profesional agak berbeza dengan novel-novel remaja terbitan syarikat penerbitan yang lain kerana novel-novel PTS Profesional turut mengandungi info-info dan maklumat yang mempunyai kaitan dengan jalan ceritanya.

Seperti novel "Miss Epal", novel ini turut memaparkan sedikit tips dan maklumat mengenai motivasi diri memandangkan novel ini mengisahkan tentang seorang gadis yang mempunyai azam untuk mengubah dirinya kepada yang lebih baik.

Siapa Miss Epal? Gadis kecil yang bercita-cita tinggi. Impiannya mahu mengubah dunia di sekelilingnya. Cintanya pada warna hijau epal dan memakai haruman epal menyebabkan dia digelar Miss Epal. Tanpa impian, mimpi tidak akan jadi nyata. Mampukah Miss Epal mencapai matlamatnya?


Manakala novel "S Untuk..." ini pula sangat bermanfaat untuk dibaca oleh remaja yang bercita-cita hendak menjadi penulis kerana kandungannya turut menyajikan tip dan cara-cara hendak memulakan sesebuah manuskrip bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan penulisan.

Walaupun Shaira sayangkan sekolah lamanya, dia terpaksa meninggalkannya. Dia mula berasa sunyi. Mencari kawan baru begitu sukar kepadanya. Sehinggalah selepas dia membaca hasil nukilan Pak Samad iaitu Sasterawan Negara yang dihormati. Dia mula memupuk sayangnya kepada sesuatu. Apakah ia? Rahsia di sebalik huruf S...


Suatu pendekatan yang baik dalam menyalurkan maklumat kepada golongan remaja dan menunjukkan yang novel itu bukan sekadar bahan bacaan picisan.

Rabu, 8 September 2010

Royalti Pertama

Kebetulan, royalti pertama aku yakni untuk novel My Honey, Hani aku dapat dekat-dekat hendak raya. Jadi, pastinya aku berhabis untuk persiapan hari raya bersama keluarga. Selebihnya, aku akan gunakan untuk membayar hutang PTPTN yang masih lagi berbaki empat angka. InsyaAllah, selepas hutang sudah selesai, dapatlah menyimpan pula.


Sebenarnya, sebab utama aku menulis novel bukanlah kerana royalti bahkan aku pun tidak menyangka akan jumlah royalti untuk novel ini. Walaupun jumlahnya tidaklah sebanyak mana, tetapi bagi penulis baru seperti aku, jumlah ini sudah aku anggap tinggi.

Apa-apa pun, melihat angka royalti ini sudah cukup menaikkan semangat aku untuk lebih berusaha bagi mempersembahkan yang terbaik untuk pembaca. Terima kasih kepada semua yang menyokong My Honey, Hani. Aku sekarang sedang cuba mencari mood bagi membaik pulih novel kedua Fathi Ramli.

Oh, ya! Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung dan pembaca blog Taipan Jemari Ilmar Imia yang masih setia menantikan buah tangan terbaru aku. Maaf sekiranya aku lambat memuatkan entri baru. InsyaAllah, selepas raya nanti, akan ada entri baru ya :)

Selasa, 7 September 2010

FP Junior

Beberapa minggu yang lalu, aku ke kedai buku MPH untuk mencari bahan bacaan baru untuk dibaca. Tiba-tiba rasa hendak kembali ke zaman kanak-kanak dahulu, makanya aku membeli tiga buah novel awal remaja terbitan Fajar Pakeer ini yang mana setiap satunya berharga RM10.90. Murah, bukan? Mestilah, sebab jumlah muka suratnya pun tidak banyak. Hanya sekitar 130 halaman.


“Nama kau apa?” sergah satu suara membuatkan gadis berwajah halus bertudung litup itu tersentak.
Dengan rasa takut dia menjawab, “Aleya.”
“Bagus, mulai sekarang nama kau Nunu. Aku Nana dan yang ni Nini.”
“Tapi…”
“Peraturan pertama, aku tak suka orang bantah apa yang aku cakap,” potong Nana sambil merenung Nunu.

Kematian kedua ibu bapa memaksa mereka tinggal di Rumah Anak Yatim Prajurit. Di situ mereka mula berkenalan dan rapat. Apa sahaja dilakukan bersama. Tapi satu hari akibat kedegilan mereka, mereka dihukum.

Nana, Nini dan Nunu semakin membenci Bonda. Tak kurang juga Geng Alif Ba Ta yang sengaja mengacau mereka. Akhirnya Encik Samad, pengetua Rumah Anak Yatim Prajurit mengambil keputusan memisahkan mereka.

Dapatkah mereka dipisahkan dan bagaimana pula hubungan Nana, Nini dan Nunu dengan Bonda?




Aku buka mata, aku nampak dia. Dia hantu atau manusia? Sering kali aku berkata kepada diri sendiri, Jangan buka mata... Jangan buka mata...

Alia, seorang pelajar tingkatan tiga, meragui pandangan matanya. Dia boleh melihat makhluk atau lembaga yang tidak dapat dilihat oleh pandangan manusia biasa. Dia boleh berkomunikasi dengan mereka dan yang mengerikan, dia sering diburu oleh makhluk-makhluk ini, tidak kira tempat dan masa. Sehinggakan Alia takut untuk membuka matanya. Gusar akan terlihat sesuatu yang menyeramkan.

Bila aku buka mata, aku nampak mereka. Rambut panjang, kusut masai. Mata mereka sentiasa bulat dan merah. Pandangan mata yang tidak pernah mesra. Bau mereka, ada yang busuk, sebusuk-busuknya dan ada yang wangi, sewangi-wanginya. Kenapa aku selalu diburu oleh mereka? Apa yang mereka mahu sebenarnya? Haruskah aku terus menutup mata?




Rezaimen dan rakan-rakan sekali lagi mengembara ke alam misteri. Ketika mereka meninjau kawasan kedua yang akan dibangunkan Darwis, papa Rezaimen, terdapat banyak daun gergasi di situ. Ketika sedang mengutip daun itu untuk dijadikan kenangan, Falda Akma menjumpai kunci emas yang sangat kecil.

“Hei, kau nak buat apa tu, Isha?” Falda Akma yang terkejut terus menjerit.
“Aku nak bukalah,” balas Irisha Myra selamba.
“Bahaya!” Namun tidak sempat Falda Akma menghalangnya, Irisha Myra sudah pun memulas kunci emas kecil yang dimasukkan ke dalam pintu itu.

Tiba-tiba sahaja Irisha Myra terasa tangannya ditarik masuk. Dia memegang tangan Rezaimen yang ada di sebelahnya ketika itu. Rezaimen yang terkejut memegang tangan Falda Akma dan Falda Akma dengan spontan memegang tangan Dinzly. Mereka bersama-sama ditarik masuk ke dalam pintu kecil itu.

Apakah cabaran yang menunggu mereka di sana? Ikuti pertemuan Rezaimen, Dinzly, Falda Akma dan Irisha Myra dengan Gergasi Mons, penduduk Kamping Renfen yang pelik serta Pawang Remen.


Selesai membaca buku kedua, tiba-tiba satu idea menerjah ke kepala aku. Ya, aku juga mahu mencuba cerita sebegini. Makanya, aku pun mula mengarang :)

Jumaat, 3 September 2010

Corat Coret Pembikinan PR

Okey, bagi sesiapa yang bertanyakan novel "Pemuja Rahsia", anda bolehlah membelinya di Dewan 4, KLCC sempena BookFest Malaysia 2010 yang berlangsung pada 4-12 September ini, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Diskaun 20% akan diberikan bagi setiap pembelian novel Astana Novella.



Editor: Fazl & Ray
Grafik & Layout: Eunis
Cover: Lim Heng Swee

PEMUJA RAHSIA adalah kisah peminat fanatik yang terlalu memuja artis kesayangannya. Krisya Norsabrina, remaja berusia 17 tahun yang sangat meminati muzik. Hampir 24 jam masanya dalam satu hari dihabiskan dengan mendengar muzik.

Krisya Norsabrina paling menggemari band Petir, sebuah band yang dianggotai oleh 4 orang pemuda. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi pemuja rahsia lagi.



Idea cerita ini tercetus pada penghujung tahun 2008. Ketika itu, saya sedang mencari-cari idea untuk membuat sebuah novel yang lari sedikit daripada kisah cinta remaja. Selama menyiapkan manuskrip ini, saya terpaksa tebalkan muka meminjam laptop dua orang teman baik iaitu Aina dan Fiza ekoran ketiadaan laptop ataupun komputer untuk menaip.

Hendak dijadikan cerita, saya yang ketika itu bekerja di Kepong terpaksa berulang-alik ke Petaling Jaya (rumah Aina) ataupun ke Shah Alam (rumah Fiza) setiap minggu demi menyiapkan manuskrip ini. Saya rasa sungguh terharu kerana mempunyai dua orang sahabat yang sangat menyokong minat saya ini. Bayangkan, tatkala saya sibuk menaip di tengah malam, ada pula yang sudi melayan dan siap buatkan air lagi. Bertuah betul badan :)

Setelah berbulan-bulan berpenat lelah memerah idea dan keringat berulang-alik dari Kepong ke PJ dan Shah Alam, alhamdulillah akhirnya manuskrip penuh "Pemuja Rahsia" berjaya juga disiapkan pada awal April 2009.



Namun, manuskrip ini tidak terus diterima memandangkan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Atas nasihat dan kritikan membina oleh editor pada waktu itu, Kak Nani (Haryani Kamilan), saya berusaha memperbaiki dan menambah perencah untuk menjadikannya lebih baik.

Namun saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembaikan manuskrip ini memandangkan dua karya saya yang lain tersangkut di tangan dua buah syarikat penerbitan. Selepas kedua-dua karya tersebut selamat diterbitkan, akhirnya sekarang saya dapat menjalankan kerja-kerja baik pulih terhadap manuskrip ini dan seterusnya melihat karya ini diterbitkan (terima kasih kepada abah dan Hai untuk laptopnya).

Tidak lupa juga kepada Kak Maria (Maria Kajiwa) atas tunjuk ajar dan bimbingannya. Harapan saya semoga pembaca berpuas hati dengan cerita ini dan mendapat sesuatu daripadanya.

Rabu, 1 September 2010

Gelak Itu Tidaklah, Cuma Tersengih

Patutnya waktu-waktu sekarang orang dok sibuk membeli-belah untuk persiapan hari raya tetapi aku pula sibuk membeli-belah novel. Hehe... Jika diikutkan, semua kedai buku itu sama sahaja, jual buku. Tetapi yang peliknya, aku tetap membeli novel di setiap kedai buku yang aku jejaki. Antaranya novel ini.



Lumrah kehidupan seseorang manusia itu mengalami pelbagai peristiwa pahit manis di dunia ini. Begitu juga dengan Rahman. Pelbagai kisah lucu yang terpaksa dihadapinya dalam usaha mengahwini kekasihnya, Maimun.

Bermula dengan ibunya yang dipatuk angsa ketika datang merisik Maimun hinggalah rombongan pengantin yang membawa Maimun telah tersilap ke rumah yang mengadakan kenduri bersunat di kawasan kejiranan rumah Rahman.

Tak cukup dengan itu, Rahman terpaksa berhadapan dengan bapa mertuanya, Pak Brahim yang agak alim orangnya, sedangkan Rahman alim-alim kucing sahaja. Pelbagai kisah haru-biru yang berlaku di rumah Pak Brahim setelah Rahman menjadi menantunya.

Ikutilah juga kisah ketua marhaban, Hajah Meriam yang terpaksa merempit dengan babi semata-mata ingin ke kenduri potong jambul anak kembar Rahman.

Gelak Tergolek… wajib dimiliki!



Apabila membaca judul dan blurb, aku rasa cerita ini menarik tetapi setelah aku membacanya, ermm... okeylah. Boleh tahan. Mengapa aku kata boleh tahan? Sebab aku tidaklah gelak sampai tergolek membaca novel ini. Tersengih itu adalah. Namun begitu, aku tabik dengan penulis ini sebab berani menggunakan nama-nama watak yang jarang-jarang orang guna sekarang.

Apa pun, novel ini tetap mempunyai mesejnya yang tersendiri terutamanya kepada sesiapa yang bakal ataupun baru sahaja mendirikan rumah tangga. Bagi aku, lawak yang disampaikan mungkin lebih difahami oleh pembaca yang sudah cukup umur. Bagi akulah.

Sekarang, aku sedang membaca novel "Zara Misi Mustahil" pula. Akhirnya, aku jumpa juga novel ini :)