Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Khamis, 30 Disember 2010

Sasaran 2011

Baru sahaja selesai membaca novel ini. Ada tujuh buah novel kanak-kanak dan tiga buah novel remaja/dewasa lagi yang perlu dibaca. Perlu ke?



Ismail - “Eh, ni kotak pensel baru kau ke? Mana yang sebelum ni punya?”

Yana - “Mak aku baru belikan untuk aku. Kan kertas ujian Bahasa Melayu aku dapat A, mak aku janji nak belikan hadiah untuk aku. Aku tak tau nak minta apa, jadi masa pergi beli-belah, aku nampak kotak pensel ni. Aku suka sangat, jadi aku minta mak aku belikan.”

Boy - “Isy, apalah kau ni, mana boleh macam tu. Sepatutnya kau kena minta upah... Ni ha, penat kau kayuh basikal dari rumah kau datang kedai mak aku beli barang lepas tu bawa balik barang berat-berat, sepatutnya kau dapat upah tau.”

Patutkah Ismail meminta upah daripada kedua ibu bapanya seandainya mereka perlukan bantuannya sepertimana yang dilakukan Yana dan Boy? Tapi apa pula kesan kepadanya nanti? Mahu tahu jawapannya? 20 sen dulu.



Orang lain dok sibuk buat manuskrip tapi aku sibuk baca novel. Kalau macam ni, bila novel nak siap? Hehe.

Selasa, 21 Disember 2010

Budak SMART vs Pemuja Rahsia

Kepada sesiapa yang berminat hendak mendapatkan novel "Budak SMART" dan "Pemuja Rahsia", kau orang bolehlah berkunjung ke PWTC pada 22-26 Disember ini dan cari gerai yang bernombor B72-75.



Dalam banyak-banyak peraturan sekolah, peraturan mana yang mereka belum langgar? Datang dan balik sekolah sesuka hati, ponteng kelas, tidak menyiapkan kerja rumah, menyakat budak perempuan, buat bising, bergaduh... semuanya mereka sudah lalui. Cuma tinggal tidak bakar sekolah sahaja. Ops! Okey, itu sudah melampau!

Walaupun mereka sering berbuat masalah, tetapi mereka tetap dipanggil Budak SMART? Mengapa?



Krisya Norsabrina terlalu memuja artis kesayangannya yakni band Petir. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi PEMUJA RAHSIA lagi. Justeru, pelbagai usaha dilakukan oleh Krisya Norsabrina untuk bertemu dengan artis kesayangannya itu sehingga sanggup menipu kedua-dua ibu bapanya. Adakah usaha dan penipuannya itu berbaloi?


Selain dua buah novel ini, kau orang juga boleh mendapatkan judul Astana Novella yang lain serta pelbagai lagi novel, buku cerita dan komik di gerai tersebut. Jadi, datang tau!

Isnin, 20 Disember 2010

Misteri di Bumi Ginseng

Akhirnya, selesai juga aku membaca novel yang setebal 602 muka surat ini dalam masa dua hari. Tiada satu muka surat pun yang aku tinggal tau.



Sakura Alia - secantik namanya dan sesuci kelopak sakura yang memutih. Di bumi ginseng, Korea, dia mencari secarik kepastian, biar dalam kepayahan. Dia perlu membongkar memori silam yang telah jauh dibenamkan oleh ayahnya sendiri, atas alasan sayang dan tidak mahu melukakan dirinya. Begitu jauh dia berkelana, dia tidak pernah menyangka pencariannya bernoktah begitu sahaja. Orang yang dicari sebenarnya sudah tiada. Namun dalam pencarian itu dia menemui sesuatu yang akan merubah hidupnya...


Apa yang dapat aku katakan, novel ini sangat menarik bagi aku! Walaupun pada mulanya, aku tidak berapa tertarik dengan unsur Korea dalam cerita ini memandangkan aku lebih menggemari Indonesia, ahak... tetapi apabila sudah membaca beberapa bab, aku rasa seperti tidak mahu berhenti membaca!

Aku memang suka akan misteri walaupun aku bukan penulis cerita misteri. Jadi, mungkin unsur misteri dalam cerita ini sedikit sebanyak mengikat aku untuk terus membaca. Walaupun bukan melibatkan polis ataupun penyiasatan kes jenayah, tetapi jalan ceritanya membuatkan perasaan ingin tahu aku membuak-buak.

Nasib baik penamatnya menggembirakan. Hehe.

Isnin, 13 Disember 2010

Novel Baru

Akhirnya, dapat juga aku memiliki novel 'Kamilah Kembar Diraja' dan 'Semanis Coklat'. Tapi, mulalah tak tahu mana satu yang hendak dibaca dahulu. Hehe.

Seronok tengok novel-novel baru yang tersusun di rak-rak kedai buku. Dulu, sebelum ada novel sendiri, dok fikir, bilalah novel aku nak ada kat rak-rak kedai buku? Sekarang, bila pergi kedai buku dan nampak novel terdahulu, dok fikir pula, bilalah novel baru aku nak keluar? Hehe.

Kepada yang bertanya, kau orang bolehlah baca kisah ini dulu ya.

BELUM ADA JODOH

Selamat membaca :)

Rabu, 8 Disember 2010

3 Campur 1

Entah mengapa susah benar hendak menemui dua buah novel yang aku hendak beli yakni Kamilah Kembar Diraja (Aizam Aiman) dan Semanis Coklat (Rizai Reeani) walaupun khabarnya sudah berada di pasaran. Cari di Kepong, tidak jumpa. Cari di Kuantan, lagilah tidak jumpa. Sudahnya, aku beli sahajalah apa-apa novel yang nampak menarik di kedai buku. Antaranya novel terbitan Jemari Seni ini.


I

ARGHHH! Khairina menjerit kuat. Bengang sungguh dia dengan abang-abangnya.

“Menjerit sampai nak cair tahi telinga aku,” rungut Along.

“Oit! Kau orang ingat benda senang ke? Susahhh!” omel Khairina.

“Susah apa ke bendanya? Senang aje. Suruh kahwin aje. Itu pun susah ke nak faham?” Mata Angah membuntang.

II

“Nah ni gambar adik kami!”

Hakimi ambil gambar tu. Aduhai!

“Oit! Tenung lama-lama nampak,” Acik berdeham kecil.

Hakimi kembali ke alam nyata. Dia tersengih seketika.

“Cantik adik kau orang ni ya, adik betul ke adik angkat?” soal Hakimi.

III

Kenyataan berani mati yang diluahkan oleh Hakimi tadi benar-benar meruntun hatinya. Tapi dia buat-buat selamba badak. Padahal jantung dia macam nak terjatuh keluar; melompat-lompat macam katak.



Sekarang baru sampai bab 3. Apabila ada mood nanti, baru aku sambung baca.


* * * * *


Aku bukanlah orang bahasa tetapi aku kurang berkenan dengan novel yang menggunakan bahasa rojak seperti camtu, camni, nape dan sebagainya. Bukankah jumlah halaman untuk setiap novel itu terlalu banyak? Jadi, tidak perlulah hendak menjimatkan ruang dengan menggabungkan perkataan-perkataan itu.

Walaupun tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT), sekurang-kurangnya biarlah bahasa Melayu yang betul. Bak kata staf sebuah syarikat penerbitan yang pernah aku temui, "Asalkan perkataan itu wujud dalam kamus." Apa-apa pun, terpulanglah pada prinsip sesebuah syarikat penerbitan itu.

Rabu, 1 Disember 2010

Mari Menjadi Kanak-kanak!

Hendak tunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur masih jauh. Jadi, apa kata kau orang berkunjung ke Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur di PWTC pada 22 hingga 26 Disember ini.

Pelbagai buku dan aktiviti menarik menanti kau orang! Untuk jadual aktiviti, kau orang boleh layari laman web ini. Para penulis Astana Novella juga akan turut berada di sana :D



“Jangan senyum!” tegur ibunya dengan segera sambil menepuk meja.

Olan tersentak. Senyumannya pudar. Dia cuma menggeleng. Diteguk madu yang terhidang dalam mangkuk di hadapannya. Ibu, ayah dan neneknya juga menghirup madu masing-masing dalam diam. Semuanya berwajah muram.

Apa akan terjadi jika senyum itu menjadi satu kesalahan besar? Begitulah yang terjadi kepada penduduk Lembah Masamian yang hidup di bawah tanah. Mereka tidak dibenarkan senyum dan jika senyum mereka akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.

Bagaimanapun, Olan yang telah diserang seekor burung telah tersesat di luar lembah itu dan menempuh pelbagai pengalaman baru. Berjayakah Olan pulang ke rumahnya dan mengubah undang-undang yang aneh itu?



Kenapa tiba-tiba ada gambar novel ini? Sebab aku baru sahaja selesai membaca novel ini. Hehe. Daripada sinopsisnya, mesti kau orang dapat agak yang cerita ini cerita fantasi, bukan? Aku pun tidak tahu mengapa aku sering membaca cerita fantasi sejak akhir-akhir ini. Mungkin kerana si penulis itu kawan ataupun kenalan aku. Nasib baik cerita-cerita fantasi mereka boleh masuk dengan aku. Hehe.

Walaupun aku bukan peminat tegar genre fantasi, tetapi aku tahu apabila sudah namanya fantasi, pastilah ada adegan-adegan yang tidak masuk dek akal. Rasa hendak tergelak juga apabila membaca komen-komen pembaca yang mengatakan mereka kecewa kerana sesuatu cerita fantasi itu tidak logik. Bagi aku, soal nama watak ataupun nama tempat yang pelik bukan suatu masalah apabila sesuatu cerita itu termasuk dalam genre fantasi.

Bahkan aku kagum akan penulis genre ini kerana mereka mampu berfikir di luar kotak dan kreatif dalam membina imaginasi cerita yang adakalanya tidak tercapai dek akal bak kata pembaca tersebut.