Soalan daripada adik Katie:
Salam... akak xnk bg tips ke nk menulis novel.. sy nk blaja tulis novel...cerita dah ada cuma cara nk tulis tu tngh blaja..
Kepada adik Katie,
Akak juga masih dalam proses belajar. Apa pun, akak cuba kongsikan beberapa tip yang akak tahu ya.
Langkah pertama:
Apabila mendapat sesuatu idea, CATATKAN supaya tidak lupa kerana biasanya idea bisa datang pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Kalau dulu, kita selalu mencatat dalam buku nota tapi mungkin sekarang kita sudah ada telefon bimbit dan komputer. Jadi, catatkan dalam apa-apa saja medium yang kita ada.
Langkah kedua:
Kemudian, berdasarkan idea yang kita dapat tadi, LAKARKAN jalan cerita atau sinopsis dari mula hingga akhir cerita yang kita nak tulis itu. Tentukan siapa watak utama kita dan apakah matlamat atau GOAL dia dalam cerita tersebut.
Langkah ketiga:
Daripada sinopsis tadi, KEMBANGKAN jalan cerita tersebut kepada insiden-insiden atau adegan-adegan yang menghalang watak utama kita itu daripada mencapai matlamatnya. CIPTAKAN masalah untuknya. Jangan biarkan dia mencapai matlamatnya itu dengan mudah. Kalau tak, tak jadilah cerita.
Langkah keempat:
SUSUNKAN insiden-insiden atau masalah-masalah tadi mengikut keutamaan. Kemudian, kembangkan setiap insiden itu berserta waktu, tempat dan watak yang terlibat.
Langkah kelima:
Apabila kita sudah ada rangka cerita dan susunan insiden, maka adalah lebih mudah untuk kita MENULIS! Jadi, mulalah menulis.
Itu saja? Sudah tentu bukan ini saja. Masih banyak yang perlu dilakukan sebelum kita menghantarnya kepada penerbit. Lima langkah ini hanya langkah asas. Selepas siap tulis, kita perlu membaca semula cerita yang kita sudah tulis itu. Baca dan sunting sehingga kita berasa puas hati. Selamat menulis!
1 ulasan:
wah! tak sangka akak jawab soalan sy..hehe.. terima kasih ! sgt membantu.. :)
Catat Ulasan