Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Rabu, 15 November 2017

Usaha, Doa, Tawakal



Beberapa hari ini emosi agak tak stabil. Anniversary pertama tanpa arwah suami, rindukan anak yang jauh di Kuantan, urusan Amanah Raya yang masih belum selesai, urusan bank yang masih pending dan dapat keputusan peperiksaan PTD yang menyedihkan :( 

Sedang cuba memujuk hati. Bersangka baiklah kepada Dia yang Maha Mengetahui. Mungkin Dia tak bagi rezeki A sebab Dia nak bagi kita rezeki B. Selagi kita berusaha, walaupun keputusannya tak seperti yang kita harapkan, tapi sekurang-kurangnya kita dah cuba. Usaha, doa, tawakal.

Manuskrip baru masih berbaki 37 000 patah perkataan lagi. Harap dapat siapkan dalam tahun ini juga. Amin...

Isnin, 13 November 2017

Di luarnya tenang tapi Tuhan saja tahu...




Setiap orang yang berkahwin pasti mengharapkan ikatan perkahwinan yang dibina akan aman bahagia hingga ke akhir hayat. Sama-sama mengharungi susah senang, pahit manis, suka duka, asam garam dan tua bersama-sama.

10 November 2012, alhamdulillah, ku bersyukur dipertemukan jodoh dengan lelaki yang baik, penyayang, penyabar, lemah lembut, ringan tulang dan sentiasa mendahulukan aku dalam semua perkara seperti kamu.

Walaupun kita hanya sempat menjadi suami isteri selama 4 tahun 2 bulan saja, namun banyak kenangan yang kita lakar bersama. Inilah bahagian hidupku yang paling bahagia. Bersama kamu dan anak kita, Altamis Amzar. Sesungguhnya, ku amat merindui kehidupan itu...

Selamat hari ulang tahun perkahwinan yang ke-5, sayang... Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa kamu dan menempatkan rohmu dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Mudah-mudahan kita dapat bertemu dan bersatu kembali di syurga kelak. Amin...

10.11.12 - 10.11.17
Aimi & Jefferi

Jumaat, 20 Oktober 2017

Drama Jepun VS Drama Korea

Dalam sibuk-sibuk siapkan manuskrip, sempat lagi dok melayan drama kat Viu. Kalau dah layan drama tu, tak ada maknanya sibuk siapkan manuskrip. Hu hu. Itulah, sekali dah layan, terpaksalah layan sampai habis. He he. Alasan!

Tapi sebenarnya tak rugi pun layan drama-drama ni sebab kadang-kadang bila layan drama-drama ni la idea jadi bercambah dan berkembang. Lebih-lebih lagi bila drama tu ada kena-mengena dengan manuskrip kita.

Sejak akhir-akhir ini, saya lebih banyak menonton drama Jepun sebab episodnya tak banyak dan ada isi. Berbanding drama Korea, drama Jepun ni kurang sikit elemen cintan-cintun dan agak berat (serius). Tapi dia orang bijak susun plot cerita untuk buat penonton tertanya-tanya dan tak sabar nak tahu kesudahannya. Yang bestnya, drama Jepun ni tak panjang sangat. Setakat 7-10 episod aje.

Tapi ada juga cerita yang tak habis tengok sebab ceritanya terlalu ngeri dan berat serta jalan cerita berselirat T______T

Ghostwriter

Wonderful Single Life


Kalau drama Korea pula memang macam-macam rencah yang ada. Pendek kata, kalau nak cerita yang fun-fun dan santai, bolehlah layan drama Korea. Tapi drama Korea pertama yang saya tengok tak berapa nak ada elemen cinta ialah Radiant Office. Ceritanya lebih menjurus pada politik dalam ofis. Elemen cinta pun tak berapa ditonjolkan sangat.


Radiant Office


Kebetulan manuskrip yang sedang saya usahakan sekarang pun lebih menjurus pada kerjaya dan hubungan dengan rakan sekerja. Jadi, drama ni memang banyak membantu dari segi susunan plot dan pembinaan perwatakan bagi setiap watak. Walaupun elemen cinta ada sipi-sipi aje tapi jalan ceritanya masih menarik untuk diikuti. 

Okey, berhenti layan drama! Siapkan manuskrip cepat supaya pesta buku tahun depan ada novel baharu untuk dihadiahkan kepada pembaca (^_____^)

Sabtu, 23 September 2017

Poyo Suamiku

Berita baik!

Kepada sesiapa yang mengikuti siri komik Lawak Budak Sekolah oleh Poyo, khabarnya buku kelima sedang dicetak!

Berbeza dengan LBS 1-4, buku kelima ini merupakan karya tribute daripada rakan-rakan, kenalan dan pembaca-pembaca karya Poyo. Maka, cerita-cerita yang ditampilkan banyak berkisah tentang perkenalan dan persahabatan mereka dengan arwah.

Walaupun saya isteri arwah, tapi saya tak ada sumbangkan apa-apa karya memandangkan saya tak ada kekuatan untuk menulis tentang arwah. Baru tulis sikit, air mata sudah bercucuran.


Rasanya mungkin tak ramai yang tahu bahawa Poyo dan Ilmar Imia adalah suami isteri. Ada yang tahu saya isteri Poyo tapi mereka tak tahu yang saya seorang penulis novel. Bagi kami, lebih baik begitu. Jadi, tak adalah isu siapa tumpang populariti siapa. Haha. Namun begitu, kami saling menyokong antara satu sama lain. Masing-masing berusaha keras untuk menempatkan karya masing-masing dalam dunia penerbitan tanah air.

Kami berkenalan pada tahun 2009 dan pertama kali bertemu ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Pada waktu itu, saya merupakan editor komik Oka manakala arwah suami pula baru sahaja menghasilkan komik solo kedua bersama Komik M iaitu Kecemprengman. Ketika itu saya belum bergelar penulis novel dan masih mencari tapak. Namun, arwah suami banyak memberi dorongan dan kata-kata semangat kerana pada waktu itu saya sedang menunggu jawapan daripada penerbit KarnaDya untuk manuskrip My Honey Hani sejak tahun 2008.

Kami pernah berhasrat untuk menghasilkan sebuah buku bersama. Saya menulis dan arwah melukis. Namun, mungkin kami tidak berjodoh dalam buku kerana kami sudah dijodohkan dalam kehidupan ini.

Orang kata cinta pertama memang susah nak dilepaskan, apatah lagi cinta pertama itu suami sendiri T_____T

Rabu, 13 September 2017

47 000 Kata

Sepatutnya manuskrip ini saya target siap bulan Ogos tahun ini tapi kerana dugaan berat yang menimpa awal Januari lalu, makanya manuskrip ini terperam tak berusik selama empat bulan. Kalau ikutkan hati, memang dah tak ada semangat nak menulis semula. Tapi bulan empat tu, tiba-tiba pihak penerbit whatsApp dan bertanyakan manuskrip baharu. Jadi, saya cuba cari semangat itu semula.

Pada mulanya, saya fikir saya dah tak mampu nak menulis. Mungkin dah sampai masa untuk saya berhenti menulis. Lagipun, buku saya pun bukannya laku sangat sampai jadi bestseller. Kalau tak ada buku baharu pun tak ada orang yang nak kisah kut.

Tapi tanpa disangka, Tuhan kurniakan ilham yang mencurah-curah kepada saya. Satu babab kepada satu babab. Watak demi watak muncul dalam kepala. Jalan cerita pun semakin berkembang dan nampak lebih jelas. Manuskrip yang hanya ada dua bab semakin berkembang dan mencecah seratus muka surat kini.


Saya sasarkan untuk menamatkan cerita ini paling awal bulan Oktober atau selewat-lewatnya hujung tahun ini. Insya-Allah, doakan saya. Tinggal 47 000 patah perkataan sahaja lagi.

Khamis, 1 Jun 2017

Introverted Boss

Rasanya nacam dah lama tak layan drama bersiri ni. Maksud saya, betul-betul layan. Maklumlah, sejak jadi mak, dah tak ada masa untuk diri sendiri. Hee~ Kali terakhir drama yang dilayan ialah drama Jepun, Juhan Shuttai. Nasib baik tak banyak episod. Satu hari dah boleh habis semua 10 episod. Itu pun suami (allahyarham) tolong jagakan anak kejap sebab saya tengok drama tu untuk rujukan bagi menyiapkan manuskrip baharu. 

So, kelmarin bila otak dah tepu mengadap manuskrip, saya cuba cari drama menarik untuk ditonton dan sekali gus sebagai bahan rujukan. Cara saya, cukup 30 minit pertama. Kalau rasa tak boleh layan, saya tukar channel. Lepas dua tiga drama saya cuba layan kat Kiss Asian, tak jumpa drama yang mampu menarik hati untuk terus menonton. Bila tengok dalam senarai drama popular, ternampak tajuk Introverted Boss. Macam ada kena-mengena dengan manuskrip yang sedang diusahakan. Cadangnya, nak berehat sekejap daripada mengadap manuskrip, tup-tup eh tersangkut pula. He he. 

Sebenarnya saya bukanlah peminat fanatik drama Korea. Tapi mana yang boleh layan, layankan aje. Antara drama Korea yang beri kesan pada saya ialah Lover in Paris, Autumn in My Heart dan My Girl. Sebab tu saya tak pernah kenal pun pelakon Korea selain Won Bin (Autumn in My Heart).


Bagi saya, drama ini cukup segala perencah. Ada gembira, sedih, kelakar, misteri, romantik, keluarga, cinta, sahabat, bos dan staf... Saya suka perwatakan Eun Hwan Gi yang selalu berpakaian serba hitam dan pakai hood. Tak banyak cakap, pemalu, dan selalu pendam perasaan sendiri walaupun dia seorang CEO. Maknanya, tak semua CEO itu perlu nampak sempurna. Satu kelemahan terbesar Eun Hwan Gi ialah dia tak boleh bercakap depan orang ramai. Sangat bertentangan dengan sikap CEO yang selalunya dianggap sebagai ketua dan berada di barisan hadapan.


Cerita dimulakan dengan babak seorang wanita yang terjun bangunan untuk membunuh diri. Ramai yang ingat dia bunuh diri sebab tertekan dengan bebanan kerja tapi sebenarnya ada kisah di sebaliknya. Daripada kisah itu pula ada kisah lain yang tersembunyi. Cerita ini memang banyak twist dan perkara yang tak dijangka. Itu yang buat rasa nak terus tengok sampai episod akhir. He he. 

Sabtu, 27 Mei 2017

Clearance Stock

Assalamualaikum.

Ada tak yang nak beli novel-novel ini dengan saya?



Budak SMART (RM 10)
Novel ini merupakan novel pertama saya. Pada mulanya, saya cuma siarkan dalam blog Penulisan2u. Kemudian, ada penerbit yang berminat nak terbitkan tetapi ada masalah dalaman. Jadi, akhirnya novel ini diterbitkan oleh One Nusantara Sdn. Bhd. Masa itu, cover buku ini tidak begitu menonjol. Lepas habis cetakan pertama, barulah covernya ditukar. 

Kugiran SMART (RM 15)
Antara keempat-empat novel ini, hanya novel Kugiran SMART yang tidak dijual di mana-mana kedai buku sebab novel ini saya cetak sendiri. Kepada yang bertanya tentang sambungan Budak SMART, inilah bukunya. Jadi, mungkin lepas habis cetakan ini, buku ini tidak akan dicetak lagi. 

Cinta Gantung (RM 10)
Novel pertama saya dengan penerbit Penulisan2u. Mulanya, saya hantar manuskrip ini kepada penerbit lain tetapi ditolak kerana tidak menepati genre katanya. Kemudian, seorang rakan penulis yang juga merangkap guru penulisan saya mengesyorkan supaya saya hantar kepada Penulisan2u. Dua tahun menunggu, akhirnya novel ini terbit juga pada Januari 2014. 

Bukan Tak Suka (RM 20)
Macam-macam dugaan masa nak siapkan manuskrip ini. Tengah-tengah perjalanan, saya disahkan mengandung anak sulung. Maka, kerja-kerja penulisan jadi tergendala sebab budak dalam perut tak suka mengadap laptop. Asal buka laptop aje mengantuk. He he. Jadi, peluang waktu bercuti dua bulan dalam tempoh berpantang, saya manfaatkan untuk siapkan manuskrip ini kerana sudah berjanji dengan penerbit. Alhamdulillah, dapat juga diterbitkan pada Oktober 2015. 

Berminat nak order? 

Boleh e-mel ilmia85@gmail.com atau PM di Facebook Ilmar Imia. 

Harga pos RM 7 untuk setiap novel. 

Selasa, 23 Mei 2017

Koleksi Lawak Budak Sekolah Anda Sudah Lengkap?


Siapa yang sudah ada buku Lawak Budak Sekolah #1?

Lawak Budak Sekolah #2?

Lawak Budak Sekolah #3 juga sudah ada?

Jadi, apa kata lengkapkan koleksi buku Lawak Budak Sekolah anda dengan buku yang ke-4 pula?



Bagi yang berminat, boleh PM admin di page Facebook Kecemprengman. Istimewa untuk yang membeli dengan admin, ada gift disediakan :))


Apa? 

Anda sudah ada kesemua komik Lawak Budak Sekolah? 

Semua?

Nombor 1-4?

TERBAIK!

Tetapi...

Ada satu naskhah Lawak Budak Sekolah lagi yang harus anda miliki iaitu....

Lawak Budak Sekolah #5: Majlis Perpisahan

Sebuah karya #tributepoyo daripada rakan-rakan dan kenalan arwah. Nantikan kemunculannya tidak lama lagi!

Khamis, 11 Mei 2017

Hidup Ini Bukan Cerita Novel

Alhamdulillah, karya-karya arwah masih diterima oleh pembaca. Segala penat-lelahnya menyiapkan LBS#4 tidak sia-sia. Boleh dikatakan saya nampak kesungguhannya kali ini demi menepati DEADLINE. Setiap hari dia akan bangun pukul 2:00 pagi untuk melukis. Cuti hujung minggu juga dimanfaatkan untuk melukis. Malah, waktu pulang ke kampung dan waktu bercuti ke Melaka pun, dia tetap curi masa untuk melukis. Seolah-olah masanya sudah suntuk benar...



20 Januari 2017...

Malam sebelum arwah meninggal, saya sedar dia tak bangun melukis seperti biasa. Pagi esoknya, dia mengadu tak sihat dan nak berehat di rumah saja. Bila dia beritahu yang dia rasa susah nak bernafas malam semalam, saya mula rasa tak sedap hati. Saya ajak dia ke klinik tapi dia kata dia nak balik rumah dan tidur sekejap sebelum ke klinik pukul 10:00 pagi nanti. Dia suruh saya ke pejabat. Sepanjang perjalanan ke pejabat, hati saya rasa tak tenang. 

Kebiasaannya, saya memang tak buka Whatsapp tetapi tiba-tiba pagi itu terdetik nak buka Whatsapp ketika sampai di LRT Kerinchi (LRT yang paling dekat dengan pejabat saya). Saya perasan ada missed call daripada nombor yang tidak dikenali. Kemudian, ada Whatsapp daripada sepupu arwah yang menyuruh saya balik segera kerana arwah pengsan. 

Ya Allah! Masa tu tak tahu apa patut saya balas. Saya terus patah balik ke Subang Jaya. Dalam hati, saya berdoa mudah-mudahan dia tak apa-apa. Sebelum ini pun dia pernah masuk hospital. InsyaAllah, tak ada apa-apa. Saya sekadar menyedapkan hati. 

Sampai kat Subang Jaya, saya tunggu sepupu arwah jemput. Dalam pada itu, saya sempat memberitahu keluarga di Kuantan. Sejurus sepupu arwah sampai, kami terus ke Hospital Shah Alam. Sepupu arwah beritahu, nadi arwah memang dah lemah sangat masa jiran kami jumpa dia pengsan di tangga nak naik ke rumah kami. Sepupu arwah minta saya bersedia untuk terima apa-apa kemungkinan. 

Sampai kat hospital, mak cik arwah beritahu arwah dah tak ada. Saya rasa macam mimpi. Saya rasa tak percaya. Mustahil! Tadi arwah kata dia nak balik tidur. Saya yakin dia cuma tidur saja. Tapi bila misi suruh saya masuk untuk cam jenazah, saya tak tahu nak bagi reaksi macam mana. Ya Allah, baru pagi tadi dia minta maaf dengan saya sambil cium tangan saya,.. Tak sangka itu tanda dia nak 'pergi'.

Saya rasa terkilan sebab tak ada di sisi dia waktu dia pergi. Kalaulah saya berkeras ajak dia pergi klinik... Waktu saya berfikir macam tu, tiba-tiba saya teringat balik pengalaman waktu saya nak bersalin dulu. Saya juga buat benda yang sama macam arwah. Ya, ini semua takdir Allah SWT. Saya harus reda. Apapun, arwah sempat menunaikan janjinya pada editor Komik M untuk menyiapkan manuskrip Lawak Budak Sekolah #4 sebelum hujung Januari. 

Terima kasih kepada seluruh warga kerja Komik M kerana masih sudi menerbitkan karya terakhir arwah dan terima kasih kepada pembaca yang masih memberi sokongan kepada karya-karya arwah. 

Al-Fatihah, sayang...

Ahad, 7 Mei 2017

Kenangan Cinta di PBAKL

Sekejap sahaja sudah hari kesepuluh! Bermakna hari ini adalah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017! Sayangnya, saya tidak dapat bersama-sama kawan-kawan yang lain 'berjuang' di sana memandangkan saya kini menetap di Kuantan, Pahang. 

Sememangnya PBAKL banyak mencatat kenangan saya bersama arwah suami. Kami berjumpa kali pertama juga di PBAKL pada tahun 2009. Waktu itu saya bertugas sebagai editor komik Oka dan dia pula baru sahaja menerbitkan komik solo kedua bersama Komik M iaitu Kecemprengman #2. Sebelum itu, kami sudah berkenalan dalam blog. 

Semenjak itulah setiap kali PBAKL kami akan turun ke PWTC. Tapi selalunya dia dengan kawan-kawan pelukis dia dan saya dengan kawan-kawan penulis saya. Cuma pergi dan balik sahaja kami bersama-sama naik komuter walaupun dia tinggal di Shah Alam dan saya tinggal di Kepong. 

PBAKL 2013 barulah kami ke PWTC sebagai suami isteri. Tahun 2014 pula kali pertama saya terlibat dengan sesi autograf secara rasmi dengan Penulisan2u untuk novel Cinta Gantung. Kemudian, hujung tahun 2015, sekali lagi saya berpeluang turut serta dalam sesi autograf untuk novel Bukan Tak Suka dan untuk PBAKL 2016.

Jika diperhatikan, Tuhan sudah atur cantik. Bila saya ada sesi autograf, dia tak terlibat dengan sesi autograf. Bila saya tak ada sesi autograf, dia pula ada sesi autograf. 

Novel Bukan Tak Suka dan Cinta Gantung di reruai Penulisan2u dan KaryaSeni.

Tahun ini saya tak ada novel baharu. Hanya novel-novel saya yang berada di reruai penerbit. Saya sendiri tidak pasti sama ada pesta buku kali ini adalah pesta buku terakhir buat saya atau masih ada rezeki saya untuk berkunjung ke sana pada tahun hadapan. 

Sabtu, 6 Mei 2017

PBAKL Tanpa Dia

Tanggal 28 April 2017, bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang kembali ke PWTC. Saya sempat meluangkan masa ke sana pada hari Ahad (30 April) dan Rabu (3 Mei). Tapi hanya sekadar berjalan-jalan sambil bertemu rakan-rakan memandangkan saya tak ada novel baharu tahun ini. 

Daripada pemerhatian saya, pesta buku kali ini agak sedikit hambar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tak pasti mengapa tapi dapat dilihat suasana yang lengang. Hari Ahad kut. Takkan lengang? Mungkin ramai yang pulang ke kampung memandangkan 1 Mei merupakan cuti Hari Pekerja. Berbeza dengan suasana pada hari Rabu yang agak meriah dengan kunjungan rombongan sekolah. Barulah terasa bahang pesta buku yang sebenar! 

Dari sudut peribadi pula, saya merasakan pesta buku pada tahun ini agak kurang lengkap kerana tahun ini saya berseorangan tanpa suami tercinta yang telah kembali ke rahmatullah pada 20 Januari yang lalu. Al-Fatihah...

Setiap kali bulan April, seakan-akan sudah menjadi tradisi kami akan ke pesta buku di PWTC. Dari zaman mula kenal, kahwin, mengandung dan sampailah dah ada anak, kami masih meneruskan tradisi ini. Gara-gara itu juga, anak kami lahir pada bulan April ketika kami sibuk dengan pesta buku dua tahun lepas!

Tahun lepas, saya diberi peluang menyertai sesi autograf di booth Penulisan2u dan sepatutnya tahun ini giliran suami saya pula menyertai sesi autograf bersama Komik M. Tapi, Allah SWT lebih sayangkan dia. 

Bagi yang mengikuti karya kartunis Poyo, arwah sempat menyiapkan karya terakhirnya iaitu Lawak Budak Sekolah #4. Jika anda ingin memiliki komik ini, bolehlah datang ke booth Komik M x Skuad Misi di tingkat 4. Ada cenderahati kecil yang disediakan.


Selain Lawak Budak Sekolah #4, buku pertama arwah, Kecemprengman #1 juga telah diterbitkan semula dengan kaver dan susunan layout baharu. 


Lain-lain karya; Lawak Budak Sekolah #1, Lawak Budak Sekolah #2, Lawak Budak Sekolah #3 dan Terlalu Poyo.


Jadi, jangan ketinggalan berkunjung ke PBAKL yang hanya berbaki dua hari saja lagi!