Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Selasa, 1 Januari 2013

Imbauan 2012

Jika disingkap tirai tahun 2012 sejak Januari hingga Disember, tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun yang paling produktif buat kerjaya penulisan saya sejak saya ceburi bidang ini pada tahun 2008.
 
Kerjaya penulisan saya pada tahun ini bermula dengan genre baru dan penerbit baru. Novel Aina Masuk Asrama merupakan percubaan pertama saya dalam genre kanak-kanak dan kali pertama saya bekerjasama dengan Ana Muslim. Setelah hampir dua tahun tidak memiliki novel baru, saya berasa seperti kali pertama menerbitkan novel. Tambahan pula, Aina Masuk Asrama dikeluarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC.
 
Novel kanak-kanak pertama, Aina Masuk Asrama.

 
Bulan April juga menyaksikan kali pertama cerpen saya tersiar dalam majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf. Setelah beberapa buah cerpen yang saya hantar, akhirnya cerpen Pilihan Hati berjaya menempatkan nama saya dalam majalah tersebut. Itu pun saya dapat tahu daripada seorang teman penulis, Rizai Reeani yang mengirimkan SMS kepada saya untuk memaklumkan berita gembira ini.
 
Cerpen pertama yang tersiar dalam Mingguan Wanita.
 

Namun bab kata orang, langit tidak selalunya cerah. Saya menerima khabar yang tidak berapa baik apabila sebuah manuskrip saya ditolak oleh sebuah penerbit tanpa dinyatakan sebab. Sebelum itu juga, sebuah manuskrip remaja saya ditolak oleh penerbit atas faktor dalaman. Saya terpaksa menerima penolakan demi penolakan.
 
Tetapi perasaan hampa saya sedikit terubat apabila sekali lagi cerpen saya iaitu Dia Pasti Datang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Julai padahal baru dua minggu saya menghantar cerpen tersebut.
 
Cerpen Dia Pasti Datang dalam Mingguan Wanita.
 
 
Enggan terus meratapi kesedihan, saya nekad untuk menerbitkan sendiri novel remaja saya, Kugiran SMART. Berbekalkan pengalaman sebagai editor dan atas bantuan serta sokongan kawan-kawan, akhirnya novel ini dapat diterbitkan pada bulan Ogos.
 
Novel pertama yang diterbitkan sendiri, Kugiran SMART.
 
 
Kemudian, pada bulan Oktober, novel kanak-kanak kedua saya yang diberi judul Mama Sayang Wawa pula lahir. Novel ini juga merupakan terbitan Ana Muslim.
 
Novel Mama Sayang Wawa.

 
Cerpen ketiga saya, Rahsia Najiha pula tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Disember.
 
 Karya penutup bagi tahun 2012.
 
 
Dan sebelum tahun 2012 berakhir, saya berazam untuk menyiapkan sebuah manuskrip kanak-kanak lagi. Alhamdulillah, manuskrip ini sudah pun siap dan dalam proses penyuntingan sebelum dihantar kepada editor. Semoga tahun 2013 adalah lebih baik. Amin...

3 ulasan:

Tetamu Istimewa berkata...

Tahniah. Kagum dengan semangat yang tidak mudah berputus asa. Teruskan menulis.

Nash Azly berkata...

Mantap! Semoga tahun 2013 lebih sukses lagi!! :)

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

Terima kasih, Tetamu Istimewa dan Nash Azly.

Semoga kita lebih sukses pada tahun 2013 :)