Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Selasa, 7 September 2010

FP Junior

Beberapa minggu yang lalu, aku ke kedai buku MPH untuk mencari bahan bacaan baru untuk dibaca. Tiba-tiba rasa hendak kembali ke zaman kanak-kanak dahulu, makanya aku membeli tiga buah novel awal remaja terbitan Fajar Pakeer ini yang mana setiap satunya berharga RM10.90. Murah, bukan? Mestilah, sebab jumlah muka suratnya pun tidak banyak. Hanya sekitar 130 halaman.


“Nama kau apa?” sergah satu suara membuatkan gadis berwajah halus bertudung litup itu tersentak.
Dengan rasa takut dia menjawab, “Aleya.”
“Bagus, mulai sekarang nama kau Nunu. Aku Nana dan yang ni Nini.”
“Tapi…”
“Peraturan pertama, aku tak suka orang bantah apa yang aku cakap,” potong Nana sambil merenung Nunu.

Kematian kedua ibu bapa memaksa mereka tinggal di Rumah Anak Yatim Prajurit. Di situ mereka mula berkenalan dan rapat. Apa sahaja dilakukan bersama. Tapi satu hari akibat kedegilan mereka, mereka dihukum.

Nana, Nini dan Nunu semakin membenci Bonda. Tak kurang juga Geng Alif Ba Ta yang sengaja mengacau mereka. Akhirnya Encik Samad, pengetua Rumah Anak Yatim Prajurit mengambil keputusan memisahkan mereka.

Dapatkah mereka dipisahkan dan bagaimana pula hubungan Nana, Nini dan Nunu dengan Bonda?




Aku buka mata, aku nampak dia. Dia hantu atau manusia? Sering kali aku berkata kepada diri sendiri, Jangan buka mata... Jangan buka mata...

Alia, seorang pelajar tingkatan tiga, meragui pandangan matanya. Dia boleh melihat makhluk atau lembaga yang tidak dapat dilihat oleh pandangan manusia biasa. Dia boleh berkomunikasi dengan mereka dan yang mengerikan, dia sering diburu oleh makhluk-makhluk ini, tidak kira tempat dan masa. Sehinggakan Alia takut untuk membuka matanya. Gusar akan terlihat sesuatu yang menyeramkan.

Bila aku buka mata, aku nampak mereka. Rambut panjang, kusut masai. Mata mereka sentiasa bulat dan merah. Pandangan mata yang tidak pernah mesra. Bau mereka, ada yang busuk, sebusuk-busuknya dan ada yang wangi, sewangi-wanginya. Kenapa aku selalu diburu oleh mereka? Apa yang mereka mahu sebenarnya? Haruskah aku terus menutup mata?




Rezaimen dan rakan-rakan sekali lagi mengembara ke alam misteri. Ketika mereka meninjau kawasan kedua yang akan dibangunkan Darwis, papa Rezaimen, terdapat banyak daun gergasi di situ. Ketika sedang mengutip daun itu untuk dijadikan kenangan, Falda Akma menjumpai kunci emas yang sangat kecil.

“Hei, kau nak buat apa tu, Isha?” Falda Akma yang terkejut terus menjerit.
“Aku nak bukalah,” balas Irisha Myra selamba.
“Bahaya!” Namun tidak sempat Falda Akma menghalangnya, Irisha Myra sudah pun memulas kunci emas kecil yang dimasukkan ke dalam pintu itu.

Tiba-tiba sahaja Irisha Myra terasa tangannya ditarik masuk. Dia memegang tangan Rezaimen yang ada di sebelahnya ketika itu. Rezaimen yang terkejut memegang tangan Falda Akma dan Falda Akma dengan spontan memegang tangan Dinzly. Mereka bersama-sama ditarik masuk ke dalam pintu kecil itu.

Apakah cabaran yang menunggu mereka di sana? Ikuti pertemuan Rezaimen, Dinzly, Falda Akma dan Irisha Myra dengan Gergasi Mons, penduduk Kamping Renfen yang pelik serta Pawang Remen.


Selesai membaca buku kedua, tiba-tiba satu idea menerjah ke kepala aku. Ya, aku juga mahu mencuba cerita sebegini. Makanya, aku pun mula mengarang :)

Jumaat, 3 September 2010

Corat Coret Pembikinan PR

Okey, bagi sesiapa yang bertanyakan novel "Pemuja Rahsia", anda bolehlah membelinya di Dewan 4, KLCC sempena BookFest Malaysia 2010 yang berlangsung pada 4-12 September ini, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Diskaun 20% akan diberikan bagi setiap pembelian novel Astana Novella.



Editor: Fazl & Ray
Grafik & Layout: Eunis
Cover: Lim Heng Swee

PEMUJA RAHSIA adalah kisah peminat fanatik yang terlalu memuja artis kesayangannya. Krisya Norsabrina, remaja berusia 17 tahun yang sangat meminati muzik. Hampir 24 jam masanya dalam satu hari dihabiskan dengan mendengar muzik.

Krisya Norsabrina paling menggemari band Petir, sebuah band yang dianggotai oleh 4 orang pemuda. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi pemuja rahsia lagi.



Idea cerita ini tercetus pada penghujung tahun 2008. Ketika itu, saya sedang mencari-cari idea untuk membuat sebuah novel yang lari sedikit daripada kisah cinta remaja. Selama menyiapkan manuskrip ini, saya terpaksa tebalkan muka meminjam laptop dua orang teman baik iaitu Aina dan Fiza ekoran ketiadaan laptop ataupun komputer untuk menaip.

Hendak dijadikan cerita, saya yang ketika itu bekerja di Kepong terpaksa berulang-alik ke Petaling Jaya (rumah Aina) ataupun ke Shah Alam (rumah Fiza) setiap minggu demi menyiapkan manuskrip ini. Saya rasa sungguh terharu kerana mempunyai dua orang sahabat yang sangat menyokong minat saya ini. Bayangkan, tatkala saya sibuk menaip di tengah malam, ada pula yang sudi melayan dan siap buatkan air lagi. Bertuah betul badan :)

Setelah berbulan-bulan berpenat lelah memerah idea dan keringat berulang-alik dari Kepong ke PJ dan Shah Alam, alhamdulillah akhirnya manuskrip penuh "Pemuja Rahsia" berjaya juga disiapkan pada awal April 2009.



Namun, manuskrip ini tidak terus diterima memandangkan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Atas nasihat dan kritikan membina oleh editor pada waktu itu, Kak Nani (Haryani Kamilan), saya berusaha memperbaiki dan menambah perencah untuk menjadikannya lebih baik.

Namun saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembaikan manuskrip ini memandangkan dua karya saya yang lain tersangkut di tangan dua buah syarikat penerbitan. Selepas kedua-dua karya tersebut selamat diterbitkan, akhirnya sekarang saya dapat menjalankan kerja-kerja baik pulih terhadap manuskrip ini dan seterusnya melihat karya ini diterbitkan (terima kasih kepada abah dan Hai untuk laptopnya).

Tidak lupa juga kepada Kak Maria (Maria Kajiwa) atas tunjuk ajar dan bimbingannya. Harapan saya semoga pembaca berpuas hati dengan cerita ini dan mendapat sesuatu daripadanya.

Rabu, 1 September 2010

Gelak Itu Tidaklah, Cuma Tersengih

Patutnya waktu-waktu sekarang orang dok sibuk membeli-belah untuk persiapan hari raya tetapi aku pula sibuk membeli-belah novel. Hehe... Jika diikutkan, semua kedai buku itu sama sahaja, jual buku. Tetapi yang peliknya, aku tetap membeli novel di setiap kedai buku yang aku jejaki. Antaranya novel ini.



Lumrah kehidupan seseorang manusia itu mengalami pelbagai peristiwa pahit manis di dunia ini. Begitu juga dengan Rahman. Pelbagai kisah lucu yang terpaksa dihadapinya dalam usaha mengahwini kekasihnya, Maimun.

Bermula dengan ibunya yang dipatuk angsa ketika datang merisik Maimun hinggalah rombongan pengantin yang membawa Maimun telah tersilap ke rumah yang mengadakan kenduri bersunat di kawasan kejiranan rumah Rahman.

Tak cukup dengan itu, Rahman terpaksa berhadapan dengan bapa mertuanya, Pak Brahim yang agak alim orangnya, sedangkan Rahman alim-alim kucing sahaja. Pelbagai kisah haru-biru yang berlaku di rumah Pak Brahim setelah Rahman menjadi menantunya.

Ikutilah juga kisah ketua marhaban, Hajah Meriam yang terpaksa merempit dengan babi semata-mata ingin ke kenduri potong jambul anak kembar Rahman.

Gelak Tergolek… wajib dimiliki!



Apabila membaca judul dan blurb, aku rasa cerita ini menarik tetapi setelah aku membacanya, ermm... okeylah. Boleh tahan. Mengapa aku kata boleh tahan? Sebab aku tidaklah gelak sampai tergolek membaca novel ini. Tersengih itu adalah. Namun begitu, aku tabik dengan penulis ini sebab berani menggunakan nama-nama watak yang jarang-jarang orang guna sekarang.

Apa pun, novel ini tetap mempunyai mesejnya yang tersendiri terutamanya kepada sesiapa yang bakal ataupun baru sahaja mendirikan rumah tangga. Bagi aku, lawak yang disampaikan mungkin lebih difahami oleh pembaca yang sudah cukup umur. Bagi akulah.

Sekarang, aku sedang membaca novel "Zara Misi Mustahil" pula. Akhirnya, aku jumpa juga novel ini :)

Jumaat, 27 Ogos 2010

Makluman



Daripada Cik Ryo dan pihak Bookstation.

Beberapa saluran bayaran diwujudkan menggunakan syarikat pemproses bayaran kami, ipay88.

Berikut adalah saluran yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran:

A) Bayaran secara online

Pilihan yang disediakan adalah:

1. Kad Kredit (Mastercard/Visa)
2. Maybank2u.com


B) Pembayaran Melalui Cek/ Wang Pos/ Money Order

Pihak bookstation menerima pembayaran melalui cek. Cek bayaran anda perlu diletakkan atas nama EXACT PUBLISHER SDN BHD dan diposkan bersama nota pesanan anda ke alamat:

KEDAI BUKU ONLINE
EXACT PUBLISHER SDN BHD
Lot 34A, Jalan 5/32A,
Mukim Batu 6 ½,
Jalan Kepong,
52000 Kuala Lumpur.


Pihak kami hanya akan membuat penghantaran selepas cek tersebut dapat ditunaikan. Bagi cek luar kawasan, ia mengambil sekurang-kurangnya 3 hari bekerja untuk ditunaikan.


C) Bayaran Secara Tunai Manual Melalui Mesin ATM

Bagi mereka yang ingin menggunakan cara tunai manual melalui mesin ATM atau kemasukan secara bank-in. Anda boleh menggunakan maklumat akaun di bawah:

MAYBANK BERHAD
Nama Pada Akaun : EXACT PUBLISHER SDN BHD
No. Akaun : 5145 8917 1076


Kemudian, sila faks ataupun e-melkan slip pembayaran bersama butiran berikut:

1. Nombor rujukan pesanan
2. Nama dan nombor telefon anda
3. Pembayaran dalam bentuk cek ataupun tunai
4. Tarikh dan waktu bank in
5. Nombor cek jika bayar melalui cek

sebagai bukti pembayaran.

Faks: 03 62507246
E-mel: admin@bookstation.com.my

Kami akan memproses pesanan anda selepas menerima bukti pembayaran.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Cik Ryo di talian 03-62503396.

Diharap penjelasan ini dapat menjawab segala persoalan mengapa ada sesetengah yang memesan buku menerusi Bookstation masih belum menerima buku anda. Ada yang memesan tetapi tidak bayar dan ada yang kata sudah bayar tetapi tidak maklumkan kepada Bookstation.

Khamis, 26 Ogos 2010

Mengapa Aku Suka Novel Ini?

Tanpa teragak-agak, aku terus cari novel hasil karya Kusyi Hirdan ini di kedai buku berhampiran apabila dapat tahu buku ketiga untuk siri ini sudah terbit. Tetapi sayangnya, belum ada. Jadi, apabila aku dapat tahu yang seorang teman mahu ke PTS, aku terus kirim buku ini daripadanya. Lagipun, dia juga seorang penulis PTS, jadi mesti boleh dapat diskaun! Hehe...

Dan sejurus aku dapat buku ini daripadanya, aku terus mula membaca. Seperti dua buku pertama, jalan ceritanya juga sangat menarik dan berjaya membuatkan aku tidak makan, tidak minum, tidak mandi, tidak buka komputer dan sanggup berjaga malam semata-mata hendak mengetahui kesudahan Izaz Noraini sebagai pengetua Kolej Elita. Sayangnya, tiada kesudahan juga kerana cerita ini akan bersambung lagi.


Izaz Noraini masih di Kolej Elita. Status sebagai pengetua sebuah kolej berprestij tidak menghalangnya menjadi pelajar yang komited. Komitmen sebagai pengetua menuntut perhatian yang penuh daripadanya hingga Johana berasa dipinggirkan. Pelbagai masalah muncul di kolej seperti isu disiplin pelajar, isu sabotaj, isu khabar angin dan ugutan. Dapatkah Izaz Noraini terus bertahan?


Nampak gayanya, kenalah menunggu lagi. Jadi, sementara hendak menunggu sambungan siri ini, bolehlah aku baca novel yang ini pula yang mana watak-wataknya masih sama dengan siri "Mengapa Aku..." tetapi dalam versi Zara pula.


Mengisahkan berkenaan watak Zara Tan Sri Zamanis yang berusia sembilan belas tahun. Pelajar yang pandai, lasak, berani dan sedikit tomboy. Dia tidak pernah mengambil PMR kerana malas dan mengulang pada tahun berikutnya. Ini membuatkan usia Zara ketika mengambil SPM pada usia sembilan belas tahun. Zara pernah digelar samseng kerana hidupnya terlalu sosial.

Selepas tamat SPM, Zara meminta kerja sementara di Kolej Elita. Izaz, Pengetua Kolej Elita memberi jawatan penjaga kafe siber. Semua kawannya mahu ke luar negara mengambil short course tetapi Zara tidak mahu pergi ke luar negara dan mahu kekal di Kolej Elita.

Dalam misinya kali ini, Zara bersekongkol dengan Mak Cik Rohana, pekerja kantin bagi menjodohkan Ali dan Izaz. Tetapi dia perlu berlawan dengan Normawar yang mahu menjadikan Izaz sebagai ibu tirinya.

Pada masa yang sama dia perlu bekerjasama dengan Normawar. Adakah misinya berjaya?



Tetapi, bila pula novel ini akan berada di kedai buku yang berdekatan dengan rumah sewa aku itu? Haish...

Sabtu, 21 Ogos 2010

Memang Tidak Dapat Kuhindar

Seperti biasa, apabila ada novel baru di pasaran, aku akan melayari Internet untuk 'bedah' dan 'siasat' cerita itu bagaimana dan tentang apa. Jika ada preview online beberapa bab awal, lagilah senang kerja aku. Bagi yang tiada bantuan online pula (hanya sekadar cover dan blurb), terpaksalah aku ke kedai buku berhampiran untuk menjalankan 'bedah siasat'.

Dan novel terbaru yang aku beli adalah novel ini. Pada mulanya aku cuma membaca beberapa bab awal di Internet dan jika aku berasa tertarik dan hendak tahu ceritanya hingga ke penamat, maknanya aku memang wajib mendapatkan buku itu!

Begitulah yang aku rasa tatkala membaca beberapa bab awal novel ini. Walaupun aku tahu kisahnya pasti berkenaan cinta tiga segi, tetapi aku tetap hendak baca. Dan setelah beberapa kali aku ambil dan letak semula, akhirnya aku nekad juga membeli novel ini semalam.



Pertemuan pertama memberi impak yang berbeza kepada dua insan. Maria malu mengenang, sedang Hisyam mahu mendekat. Maria semakin resah apabila Hisyam terus-terusan mendesak. Dalam benci ada rindu. Bijak Hisyam memujuk, mereka akhirnya disatukan.

Salina hadir menjadi duri dalam daging. Bagi Hisyam, gadis itu ialah sahabatnya yang terbaik. Insan paling dipercayai. Namun, dalam diam, Salina meracuni hubungan mereka. Salina ada agenda yang tersendiri.

Semakin hari, semakin nipis rasa percaya Maria terhadap Hisyam. Namun, dia tidak mungkin menghindar rasa kasih yang sudah menebal. Demi menunaikan permintaan Maria, Hisyam tega melamar Salina walau ada luka di hati.

Sanggupkah Hisyam menduakan Maria yang pernah dicintai sepenuh hati? Dan, Maria, mampukah membiarkan suami tersayang jatuh ke tangan Salina? Atau, Mariakah orang ketiga yang tidak lagi diperlukan kehadirannya oleh Hisyam?



Agaknya sebab penangan tajuk novel ini kut, 'Tak Mungkin Kuhindar', makanya aku juga tidak mampu untuk menghindari hati sendiri untuk tidak membeli novel ini :)

Eh, tetapi di rumah aku masih ada empat buah novel lagi yang aku belum baca! Satunya aku beli dan tiga buah lagi aku dapat hadiah peraduan ulasan buku. Bila ya aku hendak baca buku-buku itu? Haish...

Rabu, 11 Ogos 2010

Bakal Terbit September 2010!

Alhamdulillah, akhirnya novel 'Pemuja Rahsia' sudah pun dihantar ke pencetak untuk dicetak.



Meminati seseorang dalam diam adalah perkara biasa bagi pelajar-pelajar sekolah. Namun, bagaimana jika orang yang dipuja itu menjadi idaman ramai? Perlukah dia bersaing bagi merebut perhatian si idaman?


Insya-Allah, novel ini akan terbit pada bulan September nanti. Kalau nak baca beberapa bab awal, bolehlah klik di sini ya.