Dunia penulisan mengajar aku supaya tidak mudah melatah dengan cakap-cakap orang. Jika dahulu, aku akan menjawab dan membidas balik apa yang orang kata tentang karya aku. Yalah, kalau setakat kritikan seperti “Cerita ini panjang sangat. Malas nak baca”, “Tajuk cerita ini tak kena dengan jalan cerita” ataupun “Apa motif cerita ini?”, rasa terbakarlah juga.
Selepas itu, aku cuba membuat sebuah cerita yang lain daripada biasa. Yang tidak ada orang buat lagi. Alhamdulillah ramai yang suka dengan cerita itu dan rata-ratanya memberikan komen yang positif berbanding karya yang sebelumnya. Namun, dalam masa yang sama masih ada yang tidak suka kerana heroinnya gedik. Alahai, takkanlah heroin itu mesti sempurna dan tidak ada cacat cela?
Daripada situ aku tahu setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing. Sedangkan karya bestseller pun dikritik, apatah lagi karya aku yang tidak seberapa itu. Satu yang aku faham, orang mengkritik kerana mereka membaca karya itu. Jadi, aku belajar untuk menerima kritikan dan daripada kritikan itulah aku berusaha memperbaiki apa yang perlu.
Mungkin aku agak ketinggalan dengan berita yang telah memanaskan perasaan teman-teman penulis dua tiga hari lalu tapi seorang teman pula mengatakan yang itu hanyalah perkara biasa dalam industri ini. Yang penting, kita jangan mudah melatah dan berusaha melakukan yang sebaik mungkin. Jika benda itu tidak penting, tidak usahlah dilayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan