Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Jumaat, 3 Mei 2013

Cerita KLIBF 2013

Belum sempat penat hilang selepas balik dari Bandung (Indonesia), saya tidak mahu melepaskan peluang untuk sama-sama merasai kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di PWTC. Maka, sempena hari cuti Hari Buruh 1 Mei yang lalu, saya mencuri masa untuk datang ke PWTC bersama suami.
 
Masuk PWTC saja, saya sudah Nampak booth Blink Book. Maka, saya singgah di situ untuk membeli novel Aku Mahu Jadi Novelistar dan Pink Riding Hood dan Serigala Tembam. Ketika saya sedang membelek-belek buku di situ, saya disapa dari depan. Oh, rupanya penulis Izanor Sharif! Alang-alang sudah berjumpa, saya minta dia menandatangani novel Pink Riding Hood dan Serigala Tembam walaupun saya belum bayar. Hee~ Dek kerana orang terlalu ramai, saya terpaksa meminta diri selepas bersembang seketika untuk mencari buku-buku yang sudah ada dalam kepala saya.
 
Ketika melintasi booth Popular, saya terlihat novel Biarkan YM Terus Berbicara. Dalam kepala saya terfikir, bukankah ini sambungan novel Biar YM Berbicara? Saya tidak tahu pula novel sambungannya sudah diterbitkan. Maka, tanpa berfikir panjang, saya terus mencapai novel tersebut lalu beratur di kaunter bayaran memandangkan novel itu hanya dijual secara eksklusif di Popular.
 
Tiba di booth Ana Muslim, saya terus mencari 'anak' ketiga saya di rak. Saya agak terkejut apabila melihat buku tersebut hanya tinggal tiga naskhah. Alhamdulillah, nampaknya sambutan terhadap buku ini amat menggalakkan.
 
 
Aku Nombor Satu di booth Ana Muslim.
 
 
Ketika saya sedang sibuk memilih buku, saya disapa oleh editor buku-buku saya yang selama ini hanya berhubungan dalam Internet. Selepas bersembang seketika, saya dihubungi oleh seorang teman baik yang membawa seorang rakannya untuk membeli novel Kugiran SMART. Memandangkan rakannya itu adalah pembaca yang bertuah, maka saya hadiahkan dia sebuah keychain berbentuk gitar dan sebatang pen kayu yang saya beli dari Bandung.
 
 
Untuk pembaca bertuah saja.
 
 
Selesai urusan jual beli, saya pun kembali semula ke booth Ana Muslim untuk memborong novel-novel yang dipesan oleh kakak saya. Kemudian, saya naik ke tingkat 3 untuk mencari booth KarnaDya. Nampaknya novel pertama saya, My Honey, Hani, masih ada dijual di booth itu.

Kemudian, saya singgah di booth Fajar Pakeer untuk membeli novel Korea I'm in Love dan Sampai Bila sebelum bergerak pulang.  
 
 
Inilah buku-buku yang sempat saya beli.
 
 
Dalam pukul 4.30 petang, saya dan suami pun gerak untuk balik. Seperti yang dijangka, orang terlalu ramai hari ini. Maka, kami terpaksa pulang awal dan tidak dapat berlama-lama. Rasa sedih pula mahu tinggalkan PWTC kerana saya tidak sempat berjumpa dengan rakan-rakan penulis yang lain. InsyaAllah, tahun depan kita jumpa lagi.


Tiada ulasan: