Aku bukanlah penggemar novel fantasi, sci-fi ataupun yang sama waktu dengannya tetapi sejak akhir-akhir ini, aku sering 'disogokkan' dengan novel genre ini. Apa pun, aku memang tabik dengan penulis yang mampu menulis cerita sebegini kerana aku tahu ini bukannya suatu tugas yang mudah.
Jika tidak silap aku, novel pertama garapan Ramlee Awang Murshid yang aku baca ialah "Tombiruo", kisah tombiruo di Hutan Keningau, Sabah. Itu pun kawan aku yang suruh baca sebab dia hendak lihat berapa lama masa yang aku ambil untuk membaca novel setebal sekitar 500 muka surat itu.
Dan apa yang dapat aku simpulkan, Ramlee Awang Murshid sememangnya seorang penulis yang superb! Tetapi itu tidak menjamin yang aku akan membeli setiap novel beliau. Namun, pada Karnival Karangkraf yang sudah lama berlalu, aku tergerak hati untuk mengetahui sambungan kisah tomburio itu lalu aku membeli dua buah novel beliau termasuk novel ini.
INTAN SURYANI
Berkali-kali dia koma dan kemudian sedar semula... menyebabkan mamanya percaya bahawa dia mem punyai 9 nyawa berdasarkan sebuah mimpi. Dihitung jumlah ‘nyawa’ yang diambil daripadanya, lalu mengundang trauma. Sungguh dia tidak percaya... ketika koma, rohnya menyaksikan jasad sendiri yang terbujur kaku.
HAKIM
Si buta lagi yatim piatu ini menyara adiknya dengan penuh tanggungjawab. Hatinya sungguh luhur. Sesiapa saja akan terusik melihat keikhlasannya. Anugerah TUHAN... mata hatinya lebih ‘celik’. Dia bisa mendengar suara mereka yang berada di sempadan, antara hidup dan mati.
Mereka berdua bertemu jua... di alam paranormal. Pertemuan itu merungkai sebuah kisah di sebalik cerita. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka terungkai. Dan satu persoalan lain pula muncul - mengapa mereka tidak dipertemukan lebih awal?
Pada mulanya, aku tidak dapat 'masuk' ke dalam cerita ini lalu aku biarkan dahulu beberapa ketika. Apabila sudah tidak ada novel yang aku hendak baca, barulah aku teringat akan novel ini. Akhirnya, dapat juga aku 'masuk' ke alam paranormal ini sehingga ke muka surat terakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan