Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Sabtu, 6 Mei 2017

PBAKL Tanpa Dia

Tanggal 28 April 2017, bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang kembali ke PWTC. Saya sempat meluangkan masa ke sana pada hari Ahad (30 April) dan Rabu (3 Mei). Tapi hanya sekadar berjalan-jalan sambil bertemu rakan-rakan memandangkan saya tak ada novel baharu tahun ini. 

Daripada pemerhatian saya, pesta buku kali ini agak sedikit hambar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tak pasti mengapa tapi dapat dilihat suasana yang lengang. Hari Ahad kut. Takkan lengang? Mungkin ramai yang pulang ke kampung memandangkan 1 Mei merupakan cuti Hari Pekerja. Berbeza dengan suasana pada hari Rabu yang agak meriah dengan kunjungan rombongan sekolah. Barulah terasa bahang pesta buku yang sebenar! 

Dari sudut peribadi pula, saya merasakan pesta buku pada tahun ini agak kurang lengkap kerana tahun ini saya berseorangan tanpa suami tercinta yang telah kembali ke rahmatullah pada 20 Januari yang lalu. Al-Fatihah...

Setiap kali bulan April, seakan-akan sudah menjadi tradisi kami akan ke pesta buku di PWTC. Dari zaman mula kenal, kahwin, mengandung dan sampailah dah ada anak, kami masih meneruskan tradisi ini. Gara-gara itu juga, anak kami lahir pada bulan April ketika kami sibuk dengan pesta buku dua tahun lepas!

Tahun lepas, saya diberi peluang menyertai sesi autograf di booth Penulisan2u dan sepatutnya tahun ini giliran suami saya pula menyertai sesi autograf bersama Komik M. Tapi, Allah SWT lebih sayangkan dia. 

Bagi yang mengikuti karya kartunis Poyo, arwah sempat menyiapkan karya terakhirnya iaitu Lawak Budak Sekolah #4. Jika anda ingin memiliki komik ini, bolehlah datang ke booth Komik M x Skuad Misi di tingkat 4. Ada cenderahati kecil yang disediakan.


Selain Lawak Budak Sekolah #4, buku pertama arwah, Kecemprengman #1 juga telah diterbitkan semula dengan kaver dan susunan layout baharu. 


Lain-lain karya; Lawak Budak Sekolah #1, Lawak Budak Sekolah #2, Lawak Budak Sekolah #3 dan Terlalu Poyo.


Jadi, jangan ketinggalan berkunjung ke PBAKL yang hanya berbaki dua hari saja lagi!

Tiada ulasan: