Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Ahad, 6 Februari 2011

Namaku Bedah

Rasanya sudah agak lama aku menamatkan pembacaan novel ini tetapi terlupa pula hendak dikongsikan bersama. Huhu.



Namaku Bedah binti Bedul. Nama indah pemberian ibu dan arwah bapa adalah hasil gabungan nama mereka berdua iaitu Bedul dan Hamidah.

Berkali-kali aku meminta daripada ibu supaya dia benarkan penukaran nama. Namun, katanya namaku itu tanda cinta dia dan arwah bapa. Oleh itu, aku tidak dibenarkan sama sekali menukarnya.

Bagaimana aku akan mendaftar di kolej dengan nama itu? Gadis secantik aku bernama Bedah! Tidak padan, bukan? Dengan nekad, aku menggunakan nama baru di kolej.

Namun, langit tidak selalu cerah. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Hakikatnya, namaku tetap...
BEDAH!



Awal cerita, macam boring sikit. Masuk pertengahan, menarik. Akhir cerita, macam meleret pula. Apa pun, aku memang suka cerita ketika mereka di kolej. Sangat kena dengan zaman aku ketika di universiti dulu. Nostalgia betul. Adegan berpantunnya pula sangat kreatif dan menghiburkan hati.

Jumaat, 4 Februari 2011

Tukar Layout Lagi

Hai, susahnya hendak mencari idaman hati. Dalam dok sibuk menyiapkan manuskrip, sempat lagi aku mengubah suai rumah sempena Tahun Baru Cina. Hehe.

Salah satu cabaran bekerja di rumah (yang betul-betul rumah) kerana adanya TV, Internet dan makanan yang sedap-sedap. Sebab itulah aku tidak suka buat kerja di rumah (yang betul-betul rumah). Huhu.

Baru selesai membaca novel "Penulis yang Disayang Tuhan". Okey, kembali bekerja. Argh! 30 muka surat lagi! Rasa-rasa macam nak anjak deadline saja. Boleh tak?

Selasa, 1 Februari 2011

Aku, Novel dan Muzik

Oh, hari ini sudah 1 Februari. Maka, aku perlu melawan sikap malas dan menepis segala bentuk godaan yang melalaikan untuk menyiapkan manuskrip penuh "Belum Ada Jodoh". Maklumlah sudah beberapa kali aku melanggar deadline yang aku tetapkan sendiri. Dari November bertangguh ke Disember, Januari dan sekarang sudah masuk Februari.

Masalahnya, aku sering tidak berpuas hati dengan jalan ceritanya. 20 bab awal sudah okey, tetapi bila masuk 20 bab yang akhir, aku asyik ubah sahaja. Sebab itulah cerita ini lambat siap. Huhu.

Kebiasaannya, aku sering ditemani lagu-lagu ketika menggarap sesebuah manuskrip. Adakalanya aku rasa lagu-lagu ini sangat membantu apabila liriknya dihayati kerana adakalanya idea boleh datang daripada isi sesebuah lagu itu. Aku pernah berangan-angan hendak menerbitkan sebuah album soundtrack bersama novel aku. Alah, seperti filem yang ada lagu soundtrack. Tetapi itu semua cuma angan-angan. Maklumlah, novel aku pun tidaklah segah mana untuk dibuat soundtrack.

Ketika menerbitkan novel "Budak SMART" dahulu, aku pernah terfikir hendak menerbitkan CD yang mengandungi lagu-lagu yang terdapat dalam novel itu. Tetapi apabila mengenangkan banyak perkara yang perlu diambil kira, akhirnya aku pendamkan sahaja. Hendak meminta kebenaran daripada pemilik lagu untuk memuatkan lirik lagu mereka dalam sebuah novel juga sudah satu hal, inikan pula hendak menghimpunkan lagu-lagu mereka dalam sebuah CD. Jika FVT dan Missing Chapter, mungkin tiada masalah memandangkan mereka kawan aku dan bergerak secara indie, jadi tidak membabitkan syarikat rakaman.

Tatkala menyiapkan manuskrip "Belum Ada Jodoh" ini pula, aku lebih senang ditemani lagu-lagu cinta garapan indah Melly Goeslaw yakni lagu-lagu daripada soundtrack filem "Ada Apa Dengan Cinta?", "Eiffel... Aku Jatuh Cinta", "Tentang Dia" dan "Apa Artinya Cinta?". Kali ini, aku berazam untuk menyiapkan manuskrip ini sebelum kembali bekerja selepas cuti Tahun Baru Cina. Tolong doakan aku supaya aku menjadi lebih rajin dan bersemangat ya :)

Isnin, 31 Januari 2011

Penulis yang Disayang Tuhan

Alhamdulillah, sudah selamat tiba di Kuantan. Dari Kuala Lumpur hingga ke Kuantan, hujan tidak henti-henti. Dalam perjalanan yang mengambil masa selama tiga jam lebih, aku sempat melayan novel yang aku beli di KL Sentral ini.



Ada seorang penulis yang putus asa,

seorang pelajar 10 tahun yang taat kepada bapa,

seorang gadis yang berada di hujung usia,

tiga pendatang tanpa izin yang hidupnya disalut kecewa

dan lima bekas penulis yang penuh rahsia.

Siapa penulis yang disayang Tuhan? Namun kisah ini lebih daripada sekadar itu...



Mungkin novel ini dapat memberi sedikit motivasi kepada sesiapa yang berminat hendak menjadi penulis ataupun mereka yang pernah menjadi penulis ataupun mereka yang mahu menjadi penulis buat selama-lamanya kerana novel ini tersirat seribu satu perkara mengenai penulis.

Selasa, 25 Januari 2011

Aku, Kau dan Facebook

Memandangkan petang semalam hujan lebat, maka aku tidak dapat menghidupkan komputer riba dan melakukan aktiviti rutin yakni menaip. Jadi, aku pun layanlah komik ini.


Komik antologi terbitan Komik M ini menghimpunkan pelbagai kisah dan ragam manusia yang berlingkar di sekeliling rangkaian sosial popular, Facebook!

Secara keseluruhan, kesemua komik yang terkandung di dalamnya sangat kena dengan realiti kehidupan kita yang berkait dengan Facebook. Eh, memanglah! Kalau tak kena, itu dah dikira lari tajuk! Hahaha.

Komik-komik yang dimuatkan di dalam komik ini adalah:

1. Angkara Facebook (penulis/pelukis: Tembakau)

2. Ultra Qalif: Aku, Atuk & Facebook (penulis/pelukis: Bophairy)

3. FB@Ofis (penulis/pelukis: Froggypapa)

4. Cerita Kawan Lama (penulis/pelukis: Pac | cerita asal: Wahyudi)

5. Karipap Virus (penulis/pelukis: Poyo)

6. Shootz!: Layan FB (penulis/pelukis: Reja)

7. Researcher's Life (penulis/pelukis: Xara Fatima)

8. Demi Masa (penulis/pelukis: Shahrul Akram)

9. Meon: Hantu FB? (penulis/pelukis: Jas)

10. Opie & Jaja: Kejutan FB ((penulis/pelukis: Bophairy | pencipta asal watak: Nazri M. Annuar)

11. Peminat Rahsia (penulis/pelukis: Foner)


Pendek kata, kesemua ceritanya bagus-bagus dan kreatif-kreatif belaka sampai aku pun tak dapat nak kata mana satu yang terbaik. Kulit hadapannya juga lebih cantik berbanding dahulu.

Khamis, 13 Januari 2011

Misi 2011 Kini Bermula

Dalam sibuk membaikpulih dan menyiapkan sebuah manuskrip, aku masih sempat membaca beberapa buah novel yang dipinjamkan oleh seorang teman. Terima kasih kepada si peminjam. Antaranya "Jiranku Kekasihku", "Rayyan Fantasi", "Coke & Sundae" dan "Lovin' You".

Walaupun sudah banyak novel yang aku pinjam, tapi aku tetap membeli sendiri beberapa buah novel. Dan yang paling aku suka adalah novel yang satu ini. Entah mengapa aku rasa tertarik dengan novel ini. Bila nampak di rak kedai buku, tangan aku terus capai novel ini.


Kata orang cinta itu asalnya dari mata. Kemudian, sampai ke hati. Betullah agaknya kata orang itu, sebab dengan mata itulah Hanisha jatuh hati kepada lelaki yang entah siapa-siapa. Kemudian, dia jatuh sayang. Sayang sangat-sangat sampai tak boleh lupa siang dan malam. Mula menyimpan angan-angan yang bukan-bukan.

“Hani fikir, abang semudah itu untuk berubah hati? Hani ingat abang ni boneka yang hanya tahu mengikut kata dan telunjuk orang?”

Bagi Fahrin yang dituduh dengan penyataan yang sama sekali tidak benar, mula memasang angan yang indah-indah apabila emaknya mengutarakan sesuatu yang benar-benar memeranjatkannya. Kalau dah jodoh, larilah ke mana sekalipun, jodoh tetap jodoh.

Benarkah jodoh yang diharapkan akan berkekalan hingga ke akhirnya? Mampukah Hanisha dan Fahrin mengatasi rintangan dan masalah yang menduga? Benarkah tidak akan ada hati yang pernah berubah?



Mengisahkan Fahrin dan Hanisha yang tidak pernah berkenalan rapat tetapi berkahwin atas pilihan orang tua kedua-dua belah pihak. Mesej yang disampaikan dalam novel ini sangat direct dan menyentap bagi sesiapa yang terasalah. Kalau tak terasa, tak tahulah, kan. Bagi aku, novel ini sangat fokus dan tak meleret-leret.

Aku suka dengan watak Fahrin yang tidak mudah terpedaya dengan cakap-cakap orang luar yang cuba mengganggu gugat rumah tangga mereka. Begitu juga dengan Hanisha yang tetap mempercayai suaminya walaupun 'satu kampung' dok kecoh memperkatakan keburukan suami dia!

Masih ada beberapa buah novel lagi yang tersadai dalam simpanan aku. Mungkin selepas aku menyiapkan manuskrip yang satu ini, aku akan kembali menyambung pembacaan. Oh, masih ada dua buah manuskrip lagi yang perlu disiapkan dalam tahun ini!

Ahad, 2 Januari 2011

Tiga Buah Novel dalam Masa 1 Hari!

Hebat tak aku? Hehe. Kalau dapat siapkan tiga buah novel dalam masa satu hari, memanglah boleh dikira hebat tetapi tiga buah novel itu aku cuma baca, bukannya menulis. Hehe. Tulis satu novel pun sudah mengambil masa berbulan-bulan. Tetapi tidak mustahil rasanya ada penulis yang dapat menulis tiga buah novel dalam masa satu hari kalau novel itu hanya setebal 100 muka surat sahaja. Kalau sudah ada perancangan, pastinya tidak sukar untuk menulis.


“Berdosa ke kalau saya ni orang kampung? Yang awak bencikan saya sangat-sangat ni kenapa?”

“Memanglah tak berdosa jadi orang kampung. Yang berdosanya kau menumpang di rumah aku lepas tu kau rampas semuanya yang jadi hak aku. Ada faham?”

Amelyn bencikan Fatihah. Walaupun sudah berkali-kali dinasihati mama dan papanya, dia tetap berdegil tidak mahu berbaik-baik dengan sepupunya itu. Bagi Amelyn, kehadiran Fatihah dalam keluarganya bukan setakat menumpang, bahkan merampas segala miliknya.

Di sekolah pula Amelyn sudah ada pesaing. Dia bukan lagi budak pandai yang selalu dapat tempat pertama di dalam kelas. Malah, kawan-kawan baiknya juga terpengaruh dengan Fatihah. Disebabkan itu, Amelyn harus singkirkan Fatihah dari rumahnya. Dia mesti buktikan kepada semua orang bahawa Fatihah bukan seperti yang mereka sangkakan. Bersama Mak Cik Ema, Amelyn merancang satu agenda.

“Perkara ni adalah rahsia antara kita berdua. Lyn tak boleh beritahu orang lain termasuklah kawan-kawan sekolah Lyn. Janji?”

“Baiklah, ucu, Lyn berjanji.”




“Habis kau ingat kau baik sangat? Kalau aku jahat, kau pun sama jahat,” marah Farah Hana sambil mengesat air mata.

“Memang aku tahu aku jahat, tapi aku baik sikit daripada kau. Kau tu jahat tahap gaban. Gaban pun tak jahat macam kau!” balas Nurul.

“Gaban tu sepupu kau ke yang kau kenal sangat tu?” soal Farah Hana kemudian.

“Lah, tanya aku pula. Bukan ke gaban tu sepupu kau?”

Nurul dan Farah Hana, walaupun sekelas, tapi antara mereka tidak pernah sehaluan sehinggakan ada yang menggelar mereka Tom and Jerry. Farah Hana sentiasa menggunakan kelebihannya sebagai pengawas untuk mengenakan Nurul. Tapi Nurul pula menjadikan psikologi sebagai senjata utama sehinggakan tiap apa yang Farah Hana lakukan tidak menjadi. Tapi persoalannya sampai bila mereka harus menyandang gelaran Tom and Jerry? Mampukah mereka berubah?




Diari bulan Januari yang aku tulis dalam buku laporan sains sudah hilang. Diari ini diari kedua aku. Tujuan aku membuat diari ini bukan lagi kerana niat mahu belajar Bahasa Melayu Tinggi kerana aku sudah kecewa dalam ujian BMT dahulu. Kini,aku menulis diari kerana merasakan menulis diari boleh melegakan perasaan aku dan membuatkan aku tenang. Aku juga sedang mencari definisi berkenaan lelaki baik.Bagaimanakah lelaki itu dikatakan lelaki baik?


Kalau novel cinta, selalunya tema berebut lelaki ataupun perempuan, halangan daripada keluarga dan orang ketiga, novel kanak-kanak dan remaja ini pula kebanyakannya mengisahkan dua orang individu yang suka bercakaran dan budak nakal. Namun begitu, apa yang penting, cara penulis menyampaikan ceritanya dalam persembahan yang berbeza.

Aku juga mahu mencuba menulis novel kanak-kanak ataupun novel berbentuk diari sebegini suatu hari nanti. Sebab itu sekarang aku banyak membaca novel-novel sebegini untuk rujukanlah kononnya. Orang kata sebaik-baiknya kita merancang dahulu sebelum menulis, tetapi selalunya aku ini terlebih merancang dan tidak menjadi-jadi. Haish...