Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Rabu, 30 Januari 2013

Mahu Memiliki Novel Ini?

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan novel sambungan Budak SMART yakni Kugiran SMART, saya akan berada di PWTC sempena Pesta Buku 1Malaysia pada hari Sabtu (2 Februari) ini.
 
 
 
 
Walau bagaimanapun, saya tidak akan bertugas di booth penerbit. Jadi, anda bolehlah menghantar mesej menerusi Facebook atau e-mel kepada saya untuk menetapkan waktu dan tempat.

Selasa, 15 Januari 2013

Pengalaman 4 Hari di Kota Bandung

Hari pertama
Tiba di Bandung dan disambut oleh Pak Denny dan Pak Andi. Mereka ni kira macam pemandu pelancong kami di sini. Selepas check in hotel, kami pergi makan bakso dan mengunjungi kedai buku Gramedia. Hari ini kami tak banyak berjalan sebab sampai sini pun dah malam dan penat.

Sampai-sampai saja sudah pergi kedai buku. Hee~


Hari kedua
Pak Andi membawa kami melawat Kawah Putih, ladang teh dan strawberi sebelum menikmati makan tengah hari di sebuah restoran yang menyajikan makanan sunda. Selepas itu, kami mengunjungi kedai buku (lagi) dan makan nasi padang untuk makan malam. Dulu selalu dengar orang sebut nasi padang, ingatkan nama sejenis masakan di Indonesia tapi rupa-rupanya sama dengan nasi campur di Malaysia.

Kawah Putih - Tempat ini sangat sejuk sampai kena pakai jaket tebal.


Hari ketiga
Masih ditemani oleh Pak Andi, kami ke Tangkuban Parahu, pasar baru dan kedai buku (kedai buku ketiga di Bandung yang kami pergi). Petangnya, kami makan KFC sahaja. Tapi rupa-rupanya rasa KFC di sini agak berlainan dengan KFC di Malaysia. Malamnya pula, kami cuma memesan makanan di hotel saja.

Nak dijadikan cerita, saya pesan nasi goreng kampung dengan telur mata sapi manakala suami saya pesan mi goreng. Bila makanan sampai, kami tengok ada dua biji telur mata di dalam sebuah piring dan sebiji telur mata di dalam pinggan masing-masing. Rupa-rupanya kedua-dua nasi goreng kampung dan mi goreng kami sudah ada telur mata! Haish~ Membazir sungguh.

Tangkuban Parahu - Kami cuma singgah sekejap saja di sini kerana asyik dikerumuni oleh si penjual.


Hari terakhir
Dari malam sampai pagi, saya menghabiskan masa dengan menonton TV di hotel. Waktu inilah saya dapat menonton rancangan-rancangan yang selama ini hanya dapat ditonton di YouTube. Selepas check out hotel, kami pergi ke kedai kek, kedai buku, pasar baru dan jalan-jalan di mall bagi mengisi masa menunggu waktu penerbangan ke Kuala Lumpur.

Sekian~

Selasa, 1 Januari 2013

Imbauan 2012

Jika disingkap tirai tahun 2012 sejak Januari hingga Disember, tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun yang paling produktif buat kerjaya penulisan saya sejak saya ceburi bidang ini pada tahun 2008.
 
Kerjaya penulisan saya pada tahun ini bermula dengan genre baru dan penerbit baru. Novel Aina Masuk Asrama merupakan percubaan pertama saya dalam genre kanak-kanak dan kali pertama saya bekerjasama dengan Ana Muslim. Setelah hampir dua tahun tidak memiliki novel baru, saya berasa seperti kali pertama menerbitkan novel. Tambahan pula, Aina Masuk Asrama dikeluarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC.
 
Novel kanak-kanak pertama, Aina Masuk Asrama.

 
Bulan April juga menyaksikan kali pertama cerpen saya tersiar dalam majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf. Setelah beberapa buah cerpen yang saya hantar, akhirnya cerpen Pilihan Hati berjaya menempatkan nama saya dalam majalah tersebut. Itu pun saya dapat tahu daripada seorang teman penulis, Rizai Reeani yang mengirimkan SMS kepada saya untuk memaklumkan berita gembira ini.
 
Cerpen pertama yang tersiar dalam Mingguan Wanita.
 

Namun bab kata orang, langit tidak selalunya cerah. Saya menerima khabar yang tidak berapa baik apabila sebuah manuskrip saya ditolak oleh sebuah penerbit tanpa dinyatakan sebab. Sebelum itu juga, sebuah manuskrip remaja saya ditolak oleh penerbit atas faktor dalaman. Saya terpaksa menerima penolakan demi penolakan.
 
Tetapi perasaan hampa saya sedikit terubat apabila sekali lagi cerpen saya iaitu Dia Pasti Datang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Julai padahal baru dua minggu saya menghantar cerpen tersebut.
 
Cerpen Dia Pasti Datang dalam Mingguan Wanita.
 
 
Enggan terus meratapi kesedihan, saya nekad untuk menerbitkan sendiri novel remaja saya, Kugiran SMART. Berbekalkan pengalaman sebagai editor dan atas bantuan serta sokongan kawan-kawan, akhirnya novel ini dapat diterbitkan pada bulan Ogos.
 
Novel pertama yang diterbitkan sendiri, Kugiran SMART.
 
 
Kemudian, pada bulan Oktober, novel kanak-kanak kedua saya yang diberi judul Mama Sayang Wawa pula lahir. Novel ini juga merupakan terbitan Ana Muslim.
 
Novel Mama Sayang Wawa.

 
Cerpen ketiga saya, Rahsia Najiha pula tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Disember.
 
 Karya penutup bagi tahun 2012.
 
 
Dan sebelum tahun 2012 berakhir, saya berazam untuk menyiapkan sebuah manuskrip kanak-kanak lagi. Alhamdulillah, manuskrip ini sudah pun siap dan dalam proses penyuntingan sebelum dihantar kepada editor. Semoga tahun 2013 adalah lebih baik. Amin...