Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Sabtu, 27 Mei 2017

Clearance Stock

Assalamualaikum.

Ada tak yang nak beli novel-novel ini dengan saya?



Budak SMART (RM 10)
Novel ini merupakan novel pertama saya. Pada mulanya, saya cuma siarkan dalam blog Penulisan2u. Kemudian, ada penerbit yang berminat nak terbitkan tetapi ada masalah dalaman. Jadi, akhirnya novel ini diterbitkan oleh One Nusantara Sdn. Bhd. Masa itu, cover buku ini tidak begitu menonjol. Lepas habis cetakan pertama, barulah covernya ditukar. 

Kugiran SMART (RM 15)
Antara keempat-empat novel ini, hanya novel Kugiran SMART yang tidak dijual di mana-mana kedai buku sebab novel ini saya cetak sendiri. Kepada yang bertanya tentang sambungan Budak SMART, inilah bukunya. Jadi, mungkin lepas habis cetakan ini, buku ini tidak akan dicetak lagi. 

Cinta Gantung (RM 10)
Novel pertama saya dengan penerbit Penulisan2u. Mulanya, saya hantar manuskrip ini kepada penerbit lain tetapi ditolak kerana tidak menepati genre katanya. Kemudian, seorang rakan penulis yang juga merangkap guru penulisan saya mengesyorkan supaya saya hantar kepada Penulisan2u. Dua tahun menunggu, akhirnya novel ini terbit juga pada Januari 2014. 

Bukan Tak Suka (RM 20)
Macam-macam dugaan masa nak siapkan manuskrip ini. Tengah-tengah perjalanan, saya disahkan mengandung anak sulung. Maka, kerja-kerja penulisan jadi tergendala sebab budak dalam perut tak suka mengadap laptop. Asal buka laptop aje mengantuk. He he. Jadi, peluang waktu bercuti dua bulan dalam tempoh berpantang, saya manfaatkan untuk siapkan manuskrip ini kerana sudah berjanji dengan penerbit. Alhamdulillah, dapat juga diterbitkan pada Oktober 2015. 

Berminat nak order? 

Boleh e-mel ilmia85@gmail.com atau PM di Facebook Ilmar Imia. 

Harga pos RM 7 untuk setiap novel. 

Selasa, 23 Mei 2017

Koleksi Lawak Budak Sekolah Anda Sudah Lengkap?


Siapa yang sudah ada buku Lawak Budak Sekolah #1?

Lawak Budak Sekolah #2?

Lawak Budak Sekolah #3 juga sudah ada?

Jadi, apa kata lengkapkan koleksi buku Lawak Budak Sekolah anda dengan buku yang ke-4 pula?



Bagi yang berminat, boleh PM admin di page Facebook Kecemprengman. Istimewa untuk yang membeli dengan admin, ada gift disediakan :))


Apa? 

Anda sudah ada kesemua komik Lawak Budak Sekolah? 

Semua?

Nombor 1-4?

TERBAIK!

Tetapi...

Ada satu naskhah Lawak Budak Sekolah lagi yang harus anda miliki iaitu....

Lawak Budak Sekolah #5: Majlis Perpisahan

Sebuah karya #tributepoyo daripada rakan-rakan dan kenalan arwah. Nantikan kemunculannya tidak lama lagi!

Khamis, 11 Mei 2017

Hidup Ini Bukan Cerita Novel

Alhamdulillah, karya-karya arwah masih diterima oleh pembaca. Segala penat-lelahnya menyiapkan LBS#4 tidak sia-sia. Boleh dikatakan saya nampak kesungguhannya kali ini demi menepati DEADLINE. Setiap hari dia akan bangun pukul 2:00 pagi untuk melukis. Cuti hujung minggu juga dimanfaatkan untuk melukis. Malah, waktu pulang ke kampung dan waktu bercuti ke Melaka pun, dia tetap curi masa untuk melukis. Seolah-olah masanya sudah suntuk benar...



20 Januari 2017...

Malam sebelum arwah meninggal, saya sedar dia tak bangun melukis seperti biasa. Pagi esoknya, dia mengadu tak sihat dan nak berehat di rumah saja. Bila dia beritahu yang dia rasa susah nak bernafas malam semalam, saya mula rasa tak sedap hati. Saya ajak dia ke klinik tapi dia kata dia nak balik rumah dan tidur sekejap sebelum ke klinik pukul 10:00 pagi nanti. Dia suruh saya ke pejabat. Sepanjang perjalanan ke pejabat, hati saya rasa tak tenang. 

Kebiasaannya, saya memang tak buka Whatsapp tetapi tiba-tiba pagi itu terdetik nak buka Whatsapp ketika sampai di LRT Kerinchi (LRT yang paling dekat dengan pejabat saya). Saya perasan ada missed call daripada nombor yang tidak dikenali. Kemudian, ada Whatsapp daripada sepupu arwah yang menyuruh saya balik segera kerana arwah pengsan. 

Ya Allah! Masa tu tak tahu apa patut saya balas. Saya terus patah balik ke Subang Jaya. Dalam hati, saya berdoa mudah-mudahan dia tak apa-apa. Sebelum ini pun dia pernah masuk hospital. InsyaAllah, tak ada apa-apa. Saya sekadar menyedapkan hati. 

Sampai kat Subang Jaya, saya tunggu sepupu arwah jemput. Dalam pada itu, saya sempat memberitahu keluarga di Kuantan. Sejurus sepupu arwah sampai, kami terus ke Hospital Shah Alam. Sepupu arwah beritahu, nadi arwah memang dah lemah sangat masa jiran kami jumpa dia pengsan di tangga nak naik ke rumah kami. Sepupu arwah minta saya bersedia untuk terima apa-apa kemungkinan. 

Sampai kat hospital, mak cik arwah beritahu arwah dah tak ada. Saya rasa macam mimpi. Saya rasa tak percaya. Mustahil! Tadi arwah kata dia nak balik tidur. Saya yakin dia cuma tidur saja. Tapi bila misi suruh saya masuk untuk cam jenazah, saya tak tahu nak bagi reaksi macam mana. Ya Allah, baru pagi tadi dia minta maaf dengan saya sambil cium tangan saya,.. Tak sangka itu tanda dia nak 'pergi'.

Saya rasa terkilan sebab tak ada di sisi dia waktu dia pergi. Kalaulah saya berkeras ajak dia pergi klinik... Waktu saya berfikir macam tu, tiba-tiba saya teringat balik pengalaman waktu saya nak bersalin dulu. Saya juga buat benda yang sama macam arwah. Ya, ini semua takdir Allah SWT. Saya harus reda. Apapun, arwah sempat menunaikan janjinya pada editor Komik M untuk menyiapkan manuskrip Lawak Budak Sekolah #4 sebelum hujung Januari. 

Terima kasih kepada seluruh warga kerja Komik M kerana masih sudi menerbitkan karya terakhir arwah dan terima kasih kepada pembaca yang masih memberi sokongan kepada karya-karya arwah. 

Al-Fatihah, sayang...

Ahad, 7 Mei 2017

Kenangan Cinta di PBAKL

Sekejap sahaja sudah hari kesepuluh! Bermakna hari ini adalah hari terakhir Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017! Sayangnya, saya tidak dapat bersama-sama kawan-kawan yang lain 'berjuang' di sana memandangkan saya kini menetap di Kuantan, Pahang. 

Sememangnya PBAKL banyak mencatat kenangan saya bersama arwah suami. Kami berjumpa kali pertama juga di PBAKL pada tahun 2009. Waktu itu saya bertugas sebagai editor komik Oka dan dia pula baru sahaja menerbitkan komik solo kedua bersama Komik M iaitu Kecemprengman #2. Sebelum itu, kami sudah berkenalan dalam blog. 

Semenjak itulah setiap kali PBAKL kami akan turun ke PWTC. Tapi selalunya dia dengan kawan-kawan pelukis dia dan saya dengan kawan-kawan penulis saya. Cuma pergi dan balik sahaja kami bersama-sama naik komuter walaupun dia tinggal di Shah Alam dan saya tinggal di Kepong. 

PBAKL 2013 barulah kami ke PWTC sebagai suami isteri. Tahun 2014 pula kali pertama saya terlibat dengan sesi autograf secara rasmi dengan Penulisan2u untuk novel Cinta Gantung. Kemudian, hujung tahun 2015, sekali lagi saya berpeluang turut serta dalam sesi autograf untuk novel Bukan Tak Suka dan untuk PBAKL 2016.

Jika diperhatikan, Tuhan sudah atur cantik. Bila saya ada sesi autograf, dia tak terlibat dengan sesi autograf. Bila saya tak ada sesi autograf, dia pula ada sesi autograf. 

Novel Bukan Tak Suka dan Cinta Gantung di reruai Penulisan2u dan KaryaSeni.

Tahun ini saya tak ada novel baharu. Hanya novel-novel saya yang berada di reruai penerbit. Saya sendiri tidak pasti sama ada pesta buku kali ini adalah pesta buku terakhir buat saya atau masih ada rezeki saya untuk berkunjung ke sana pada tahun hadapan. 

Sabtu, 6 Mei 2017

PBAKL Tanpa Dia

Tanggal 28 April 2017, bermulanya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang kembali ke PWTC. Saya sempat meluangkan masa ke sana pada hari Ahad (30 April) dan Rabu (3 Mei). Tapi hanya sekadar berjalan-jalan sambil bertemu rakan-rakan memandangkan saya tak ada novel baharu tahun ini. 

Daripada pemerhatian saya, pesta buku kali ini agak sedikit hambar berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tak pasti mengapa tapi dapat dilihat suasana yang lengang. Hari Ahad kut. Takkan lengang? Mungkin ramai yang pulang ke kampung memandangkan 1 Mei merupakan cuti Hari Pekerja. Berbeza dengan suasana pada hari Rabu yang agak meriah dengan kunjungan rombongan sekolah. Barulah terasa bahang pesta buku yang sebenar! 

Dari sudut peribadi pula, saya merasakan pesta buku pada tahun ini agak kurang lengkap kerana tahun ini saya berseorangan tanpa suami tercinta yang telah kembali ke rahmatullah pada 20 Januari yang lalu. Al-Fatihah...

Setiap kali bulan April, seakan-akan sudah menjadi tradisi kami akan ke pesta buku di PWTC. Dari zaman mula kenal, kahwin, mengandung dan sampailah dah ada anak, kami masih meneruskan tradisi ini. Gara-gara itu juga, anak kami lahir pada bulan April ketika kami sibuk dengan pesta buku dua tahun lepas!

Tahun lepas, saya diberi peluang menyertai sesi autograf di booth Penulisan2u dan sepatutnya tahun ini giliran suami saya pula menyertai sesi autograf bersama Komik M. Tapi, Allah SWT lebih sayangkan dia. 

Bagi yang mengikuti karya kartunis Poyo, arwah sempat menyiapkan karya terakhirnya iaitu Lawak Budak Sekolah #4. Jika anda ingin memiliki komik ini, bolehlah datang ke booth Komik M x Skuad Misi di tingkat 4. Ada cenderahati kecil yang disediakan.


Selain Lawak Budak Sekolah #4, buku pertama arwah, Kecemprengman #1 juga telah diterbitkan semula dengan kaver dan susunan layout baharu. 


Lain-lain karya; Lawak Budak Sekolah #1, Lawak Budak Sekolah #2, Lawak Budak Sekolah #3 dan Terlalu Poyo.


Jadi, jangan ketinggalan berkunjung ke PBAKL yang hanya berbaki dua hari saja lagi!