Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Khamis, 30 Disember 2010

Sasaran 2011

Baru sahaja selesai membaca novel ini. Ada tujuh buah novel kanak-kanak dan tiga buah novel remaja/dewasa lagi yang perlu dibaca. Perlu ke?



Ismail - “Eh, ni kotak pensel baru kau ke? Mana yang sebelum ni punya?”

Yana - “Mak aku baru belikan untuk aku. Kan kertas ujian Bahasa Melayu aku dapat A, mak aku janji nak belikan hadiah untuk aku. Aku tak tau nak minta apa, jadi masa pergi beli-belah, aku nampak kotak pensel ni. Aku suka sangat, jadi aku minta mak aku belikan.”

Boy - “Isy, apalah kau ni, mana boleh macam tu. Sepatutnya kau kena minta upah... Ni ha, penat kau kayuh basikal dari rumah kau datang kedai mak aku beli barang lepas tu bawa balik barang berat-berat, sepatutnya kau dapat upah tau.”

Patutkah Ismail meminta upah daripada kedua ibu bapanya seandainya mereka perlukan bantuannya sepertimana yang dilakukan Yana dan Boy? Tapi apa pula kesan kepadanya nanti? Mahu tahu jawapannya? 20 sen dulu.



Orang lain dok sibuk buat manuskrip tapi aku sibuk baca novel. Kalau macam ni, bila novel nak siap? Hehe.

Selasa, 21 Disember 2010

Budak SMART vs Pemuja Rahsia

Kepada sesiapa yang berminat hendak mendapatkan novel "Budak SMART" dan "Pemuja Rahsia", kau orang bolehlah berkunjung ke PWTC pada 22-26 Disember ini dan cari gerai yang bernombor B72-75.



Dalam banyak-banyak peraturan sekolah, peraturan mana yang mereka belum langgar? Datang dan balik sekolah sesuka hati, ponteng kelas, tidak menyiapkan kerja rumah, menyakat budak perempuan, buat bising, bergaduh... semuanya mereka sudah lalui. Cuma tinggal tidak bakar sekolah sahaja. Ops! Okey, itu sudah melampau!

Walaupun mereka sering berbuat masalah, tetapi mereka tetap dipanggil Budak SMART? Mengapa?



Krisya Norsabrina terlalu memuja artis kesayangannya yakni band Petir. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi PEMUJA RAHSIA lagi. Justeru, pelbagai usaha dilakukan oleh Krisya Norsabrina untuk bertemu dengan artis kesayangannya itu sehingga sanggup menipu kedua-dua ibu bapanya. Adakah usaha dan penipuannya itu berbaloi?


Selain dua buah novel ini, kau orang juga boleh mendapatkan judul Astana Novella yang lain serta pelbagai lagi novel, buku cerita dan komik di gerai tersebut. Jadi, datang tau!

Isnin, 20 Disember 2010

Misteri di Bumi Ginseng

Akhirnya, selesai juga aku membaca novel yang setebal 602 muka surat ini dalam masa dua hari. Tiada satu muka surat pun yang aku tinggal tau.



Sakura Alia - secantik namanya dan sesuci kelopak sakura yang memutih. Di bumi ginseng, Korea, dia mencari secarik kepastian, biar dalam kepayahan. Dia perlu membongkar memori silam yang telah jauh dibenamkan oleh ayahnya sendiri, atas alasan sayang dan tidak mahu melukakan dirinya. Begitu jauh dia berkelana, dia tidak pernah menyangka pencariannya bernoktah begitu sahaja. Orang yang dicari sebenarnya sudah tiada. Namun dalam pencarian itu dia menemui sesuatu yang akan merubah hidupnya...


Apa yang dapat aku katakan, novel ini sangat menarik bagi aku! Walaupun pada mulanya, aku tidak berapa tertarik dengan unsur Korea dalam cerita ini memandangkan aku lebih menggemari Indonesia, ahak... tetapi apabila sudah membaca beberapa bab, aku rasa seperti tidak mahu berhenti membaca!

Aku memang suka akan misteri walaupun aku bukan penulis cerita misteri. Jadi, mungkin unsur misteri dalam cerita ini sedikit sebanyak mengikat aku untuk terus membaca. Walaupun bukan melibatkan polis ataupun penyiasatan kes jenayah, tetapi jalan ceritanya membuatkan perasaan ingin tahu aku membuak-buak.

Nasib baik penamatnya menggembirakan. Hehe.

Isnin, 13 Disember 2010

Novel Baru

Akhirnya, dapat juga aku memiliki novel 'Kamilah Kembar Diraja' dan 'Semanis Coklat'. Tapi, mulalah tak tahu mana satu yang hendak dibaca dahulu. Hehe.

Seronok tengok novel-novel baru yang tersusun di rak-rak kedai buku. Dulu, sebelum ada novel sendiri, dok fikir, bilalah novel aku nak ada kat rak-rak kedai buku? Sekarang, bila pergi kedai buku dan nampak novel terdahulu, dok fikir pula, bilalah novel baru aku nak keluar? Hehe.

Kepada yang bertanya, kau orang bolehlah baca kisah ini dulu ya.

BELUM ADA JODOH

Selamat membaca :)

Rabu, 8 Disember 2010

3 Campur 1

Entah mengapa susah benar hendak menemui dua buah novel yang aku hendak beli yakni Kamilah Kembar Diraja (Aizam Aiman) dan Semanis Coklat (Rizai Reeani) walaupun khabarnya sudah berada di pasaran. Cari di Kepong, tidak jumpa. Cari di Kuantan, lagilah tidak jumpa. Sudahnya, aku beli sahajalah apa-apa novel yang nampak menarik di kedai buku. Antaranya novel terbitan Jemari Seni ini.


I

ARGHHH! Khairina menjerit kuat. Bengang sungguh dia dengan abang-abangnya.

“Menjerit sampai nak cair tahi telinga aku,” rungut Along.

“Oit! Kau orang ingat benda senang ke? Susahhh!” omel Khairina.

“Susah apa ke bendanya? Senang aje. Suruh kahwin aje. Itu pun susah ke nak faham?” Mata Angah membuntang.

II

“Nah ni gambar adik kami!”

Hakimi ambil gambar tu. Aduhai!

“Oit! Tenung lama-lama nampak,” Acik berdeham kecil.

Hakimi kembali ke alam nyata. Dia tersengih seketika.

“Cantik adik kau orang ni ya, adik betul ke adik angkat?” soal Hakimi.

III

Kenyataan berani mati yang diluahkan oleh Hakimi tadi benar-benar meruntun hatinya. Tapi dia buat-buat selamba badak. Padahal jantung dia macam nak terjatuh keluar; melompat-lompat macam katak.



Sekarang baru sampai bab 3. Apabila ada mood nanti, baru aku sambung baca.


* * * * *


Aku bukanlah orang bahasa tetapi aku kurang berkenan dengan novel yang menggunakan bahasa rojak seperti camtu, camni, nape dan sebagainya. Bukankah jumlah halaman untuk setiap novel itu terlalu banyak? Jadi, tidak perlulah hendak menjimatkan ruang dengan menggabungkan perkataan-perkataan itu.

Walaupun tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT), sekurang-kurangnya biarlah bahasa Melayu yang betul. Bak kata staf sebuah syarikat penerbitan yang pernah aku temui, "Asalkan perkataan itu wujud dalam kamus." Apa-apa pun, terpulanglah pada prinsip sesebuah syarikat penerbitan itu.

Rabu, 1 Disember 2010

Mari Menjadi Kanak-kanak!

Hendak tunggu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur masih jauh. Jadi, apa kata kau orang berkunjung ke Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur di PWTC pada 22 hingga 26 Disember ini.

Pelbagai buku dan aktiviti menarik menanti kau orang! Untuk jadual aktiviti, kau orang boleh layari laman web ini. Para penulis Astana Novella juga akan turut berada di sana :D



“Jangan senyum!” tegur ibunya dengan segera sambil menepuk meja.

Olan tersentak. Senyumannya pudar. Dia cuma menggeleng. Diteguk madu yang terhidang dalam mangkuk di hadapannya. Ibu, ayah dan neneknya juga menghirup madu masing-masing dalam diam. Semuanya berwajah muram.

Apa akan terjadi jika senyum itu menjadi satu kesalahan besar? Begitulah yang terjadi kepada penduduk Lembah Masamian yang hidup di bawah tanah. Mereka tidak dibenarkan senyum dan jika senyum mereka akan ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.

Bagaimanapun, Olan yang telah diserang seekor burung telah tersesat di luar lembah itu dan menempuh pelbagai pengalaman baru. Berjayakah Olan pulang ke rumahnya dan mengubah undang-undang yang aneh itu?



Kenapa tiba-tiba ada gambar novel ini? Sebab aku baru sahaja selesai membaca novel ini. Hehe. Daripada sinopsisnya, mesti kau orang dapat agak yang cerita ini cerita fantasi, bukan? Aku pun tidak tahu mengapa aku sering membaca cerita fantasi sejak akhir-akhir ini. Mungkin kerana si penulis itu kawan ataupun kenalan aku. Nasib baik cerita-cerita fantasi mereka boleh masuk dengan aku. Hehe.

Walaupun aku bukan peminat tegar genre fantasi, tetapi aku tahu apabila sudah namanya fantasi, pastilah ada adegan-adegan yang tidak masuk dek akal. Rasa hendak tergelak juga apabila membaca komen-komen pembaca yang mengatakan mereka kecewa kerana sesuatu cerita fantasi itu tidak logik. Bagi aku, soal nama watak ataupun nama tempat yang pelik bukan suatu masalah apabila sesuatu cerita itu termasuk dalam genre fantasi.

Bahkan aku kagum akan penulis genre ini kerana mereka mampu berfikir di luar kotak dan kreatif dalam membina imaginasi cerita yang adakalanya tidak tercapai dek akal bak kata pembaca tersebut.

Khamis, 18 November 2010

Bob Sani Hero Kita

Walaupun sudah tiga tahun aku kenal dengan Alif ini, tetapi inilah kali pertama aku beli novel dia. Sebelum ini, aku cuma beli komik dia sahaja. Mungkin sebab cover novel yang ini nampak seperti komik. Hehe.



Bob Sani adalah anak kepada Mak Sani dan Pak Sani. Bob baik hati dan suka menolong orang. Tetapi tidak ada orang yang suka berkawan dengan Bob sebab muka Bob hodoh. Kasihan Bob. Mujur ada Udin. Udin sahaja yang sudi berkawan dengan Bob. Ada sesuatu yang pelik fasal Bob. Bob adalah manusia biasa. Tetapi hatinya, hati monyet. Sekiranya diperhatikan betul-betul, tangan Bob agak panjang. Siapakah Bob Sani sebenarnya?


Kisah Bob ini seperti terbalik dengan kisah Tarzan. Agak menarik. Aku baru baca sampai bab 9. Banyak unsur saspens dan misteri, tetapi kelakar. Seperti membaca komik pula. Tidak sabar hendak tahu asal usul Bob. Malam ini hendak sambung baca.

Khamis, 11 November 2010

Bulan yang Sibuk

Blog Taipan Jemari Ilmar Imia aku tutup kerana tidak ada entri baru.

Tidak ada entri baru kerana bulan ini aku sangat sibuk.

Sibuk sangatkah? Kononnyalah. Haha.




Sibuk-sibuk pun, sempat juga baca novel. Novel D'3R dan Perang Kuali sudah khatam. Jadi, aku pun belilah novel baru. Terbeli sebenarnya. Betul. Aku hendak beli novel lain sebenarnya tetapi novel itu pula belum ada di kedai buku. Jadi, demi melepaskan gian, aku pun belilah novel ini :)


Lisa adalah gadis biasa. Tiada istimewa pada dirinya. Dia hanya punya angan-angan dan doa. Dia mahu jadi Cinderella yang sentiasa punya pari-pari membantunya tatkala dia berada dalam kesusahan. Namun, Lisa tahu itu mustahil. Kuasa tuhan mengatasi segala keajaiban di muka bumi.

Tuhan mendengar doa Lisa. Berkat kejujurannya tatkala bekerja sambilan, dia diberi ganjaran menyambung pengajian di Kolej Universiti Malaysia. Di sana segala-galanya bermula. Hidup Lisa diduga.

Dia dihambat dan dibuli seorang jejaka yang dipanggil 'anak raksasa'! Mengapa Farid dipanggil anak raksasa? Mengapa pula Farid menggelar Lisa sebagai 'nenek kebayan'?

Itulah terjadi apabila gadis yang biasa-biasa sahaja bertemu dengan jejaka luar biasa!

Ikutilah cerita menarik ini!



Kurang-kurangkanlah baca novel itu! Hendak jadi pembaca ataupun penulis ini? Haish!

Ahad, 31 Oktober 2010

Beli Novel Lagi

Daripada senarai novel yang aku nak beli dulu, cuma Planet-planet Cinta yang ada. Kamilah Kembar Diraja sedang dicetak dan Semanis Coklat pula masih belum diedarkan ke kedai-kedai buku. Tapi itu pun belum sampai ke tangan aku memandangkan novel itu masih berada dalam simpanan kawan aku. Alasannya, sebab tak nak aku asyik baca novel orang lain dan akhirnya novel sendiri tak siap-siap.

Tapi aku tak peduli. Aku tetap nak beli novel, apatah lagi apabila melihat novel-novel baru yang menarik di blog ataupun di kedai-kedai buku. Lalu tanpa berfikir panjang, aku terus beli novel-novel ini. Hehe. Jika novel Planet-planet Cinta aku menggunakan status penulis PTS untuk dapat diskaun, novel D'3R pula aku menggunakan status penulis Fajar Pakeer. Terima kasih ya, kawan-kawan! :)

Kemudian, baru aku tersedar, kenapa aku tak pernah gunakan status aku sebagai penulis KD untuk beli novel KD, ya? Err... okey, abaikan! Mari lihat novel apa yang aku beli.



“Saya tak nak baik-baik dengan awak,” kata Dalila berterus terang.

“Tapi kenapa?” soal Daniel.

“Sebab... sebab awak tu penyibuk. Sejak awak balik sini, keluarga saya asyik cakap pasal awak saja. Awak pandai masaklah, awak itulah awak inilah... Lepas tu, di sekolah pula awak memang sengaja nak cari publisiti murahan. Awak sengaja nak semua orang tahu yang awak itu pandai masak. Konon boleh kalahkan orang perempuan. Sudahlah awak...”

Kerana kelebihan yang dimiliki Daniel, Dalila jadi cemburu. Pelbagai tindakan di luar jangkaan telah dilakukan, sehinggalah memaksa kedua ibu bapa mereka masuk campur. Apa perancangan kedua-dua ibu bapa mereka? Benarkah berperang jalan terbaik?




“Nama yang saya panggil sila ikut saya,” perintah Cikgu Rozali, selaku Guru Unit Disiplin Pengawas.

Nadhirah, Rayyan, Fikri, Liyana dan Dhiya antara pelajar yang terpilih daripada kelas Tingkatan 3 Erebus, kelas pertama.

“Macam mana kamu nak jadi pengawas kalau kamu sendiri datang lewat?”

Apa? Pengawas? Misi memikul tanggungjawab bermula! Mereka dapat jadual bertugas berlainan masa dan tempat. Hari pertama bertugas, Rayyan naik angin dengan seorang pelajar. Pelbagai dugaan dan perkara lucu yang terjadi semasa menyertai Kursus Pengawas. Apa yang berlaku kepada mereka semua? Apakah yang terjadi antara Dhiya dan Fikri, si budak pendiam? Ikutilah kisah mereka.




Hetty Blur melangkah ke alam pekerjaan. Mula-mula kerja sebagai kerani pentadbiran. Seterusnya dinaikkan pangkat kepada Eksekutif Pemasaran. Seumpama namanya, dia blur, blur, blur.

Dia kemudiannya dipinang Mak Kiantan, yang sekampung dengan neneknya di Kuala Pilah. Pinangan diterima setelah Mak Kiantan setuju membayar hantaran sebanyak 50 ribu! Wujudkan cintanya kepada Reez atau hanya demi duit semata-mata?

Robbie, cinta pertamanya kini merupakan rakan sepejabat. Mampukah cintanya kepada Robbie yang pada mulanya hanya pada alam fantasi berputik?

Keutamaan hidupnya RM. Dan Robbie, cinta pertamanya. Diikuti Reez.

Antara Robbie dengan Reez, siapakah pilihan hatinya?



Tapi baru sahaja baca bab satu, fikiran aku asyik dok teringat kat manuskrip sendiri. Hanya ada masa sebulan lagi tapi kenapa aku seperti tak peduli?

Rabu, 20 Oktober 2010

Ada Yang Lain

Tarikh hari ini sangat cantik, 20102010. Jadi, aku hendak kemas kini blog! Hehe... Dalam keadaan poket yang 'nipis', aku masih mampu membeli novel ini Sabtu yang lalu.


Nas dan Shazia menjalani kehidupan yang berbeza. Nas memburu lelaki hanya kerana ingin makan percuma. Berbekalkan badan yang seksi, ditambah pula dengan sokongan kawan baiknya, Suzi, pemburuan mereka berhasil. Shazia pula menganggap wanita berusia 30 tahun sepertinya kehilangan hak untuk memilih. Jadi dia meneruskan hubungan dengan Haikal, lelaki ideal yang secocok dengan jiwanya, biarpun terpaksa bersaing dengan isteri Haikal.

Kantoi! Itulah kegagalan pertama Nas dan Suzi apabila kehadiran mereka ke sebuah majlis perkahwinan dihidu. Sempena Piala Dunia 2010, pemburuan mereka beralih ke kedai mamak. Kemudiannya ke Gim Sentiasa Sihat. Kerana di situlah terdapatnya mangsa yang berdompet sihat. Fikri yang merupakan salah seorang mangsa jatuh cinta kepada Nas. Cinta Fikri ditolak bulat-bulat. Mengapa? Tidakkah Nas juga ingin menamatkan zaman bujangnya?

Zaharah disahkan mengandung. Semuanya berubah untuk Shazia. Harapan untuk bergelar isteri kepada Haikal amat tipis. Ditambah pula dengan sikap Haikal yang semakin dingin. Shazia tetap mencuba, namun hubungan yang lebih banyak mengundang keperitan dalam hati membuatkan Shazia cenderung menghabiskan masa melayari internet dan mengisi blog sehinggalah dia berkenalan dengan CYL. Siapakah sebenarnya CYL? Dan Aman, lelaki itu, kenapa begitu mahu mendekatinya?



Bagi aku, cerita garapan Ellis Gee kali ini lebih menarik berbanding novel D' Blur dan buat aku terus membaca kisah Nas hingga tamat. Malam nanti aku hendak baca kisah Shazia yang digarap oleh Romibaiduri Zahar pula sebelum kembali sibuk dengan manuskrip sendiri. Semalam sempat edit tiga bab sahaja. Masih banyak bab yang perlu disunting dan dirombak. Penerbit sudah beri respons positif! :)

Sabtu, 16 Oktober 2010

Novel Wajib Beli!

Wah, semua sudah hendak keluar novel! Tidak boleh jadi ini. Aku kena tulis laju-laju ini...hehe... Tiga buah novel ini sudah dimasukkan dalam senarai wajib aku beli, tetapi kena tunggu duit gaji. Huhu...


Kisah kali ini, identiti sebenar Puteri Zara terbongkar. Isu Zara dan Adam mendapat liputan media secara meluas. Zara menjadi topik utama. Dia tertekan kerana dibandingkan dengan Tengku Mira yang memang tampil hebat oleh majalah fesyen dan sebagainya. Zara diminta menghadiri program bual bicara yang mana, ada insiden memalukan berlaku.

Dua pupu mereka iaitu Tengku Muiz mahu merampas kedudukan Adam iaitu sebagai pewaris takhta. Adam pula dihukum kerana melanggar peraturan istana iaitu keluar dari istana melebihi tiga bulan tanpa pengetahuan anggota Majlis Kerabat Diraja.

Rahsia demi rahsia terbongkar.

Pasangan manakah yang akan mendapat gelaran Kembar Diraja?

Puteri Zara dan Putera Mahkota Adam ataupun Tengku Mira dan Tengku Muiz?




NAWWAR hanyalah gadis biasa yang ceria. Hidupnya dikelilingi oleh keluarga yang bahagia. Dia tidak pernah gusar akan pandangan orang sekeliling terhadapnya setelah berlaku satu kejadian yang memalukan di sekolah asalkan dia bersama-sama keluarga tersayang. Sebagai seorang gadis, sudah tentu ingin merasa bagaimana mencintai dan dicintai. Apabila kali pertama melafazkannya, hasratnya untuk merasa manisnya cinta tidak kesampaian. Dia ditolak mentah-mentah oleh jejaka pilihan hati. Walau apa pun, hidup tetap perlu diteruskan. Dia yakin, lambat-laun, akan ada putera raja siap dengan menunggang kuda akan menjemputnya juga.

"Saya faham, saya tidaklah secantik mana. Namun entah mengapa masih ingin mencuba memikat hati si dia yang nyata lebih tinggi kedudukannya dari saya. Saya lupa sebentar, masakan enggang, sudi terbang bersama-sama pipit,"

TARMIZI atau Ezzy menjadi bintang pujaan di sekolahnya. Ke mana sahaja lelaki itu pergi, pasti menarik perhatian. Dengan wajah persis model dan susuk tubuh ala seorang atlit sukan, memang mencairkan hati gadis-gadis yang melihat. Namun jauh di lubuk hati, dia kesunyian. Ada sepi yang menjalar di segenap urat nadi. Percaya dan mempercayai sukar untuknya. Semua adalah berpunca dari kisah hitam yang tidak mahu langsung dikenang.

"Orang melihat aku punya segalanya. Namun realitinya, hati aku merana. Bagi mereka, hidup aku sempurna. Hakikatnya, kehidupanku tidaklah sebahagia yang mereka fikirkan,"

Persoalan hati dan perasaan memang sukar untuk ditafsirkan sampi bila-bila. Dalam ketawa ada terselit duka. Dalam ria ada tersulam derita. Hati mengata cinta tapi mulut tidak mengakuinya. Kisah cinta dan suka-duka remaja. Penuh dengan pesona!




Novel ini mengisahkan tentang seorang puteri kerajaan Jupiter yang bernama Puteri Elara. Beliau adalah bakal pengganti dan pewaris takhta kerajaan Jupiter pimpinan bondanya Ratu Zeux dan ayahandanya, Raja Thytyus.

Bagaimanapun, satu keanehan telah berlaku di planet Jupiter. Salji turun lebih awal sehingga bahan kajiannya, Atta colombica telah mati. Namun yang mati itu menjadi permulaan yang lain. Hadirnya Prof Ananke dari Bumi untuk membantunya menyelidik kematian spesis itu telah merubah dan memulakan satu pengalaman hidup yang tidak pernah diduga.

Kerana cinta, dia mengembara.
Namun takdir menentukan yang lain, pesawatnya Juniker 90 yang membawanya ke Bumi telah hilang dari radar.
Puteri Elara terdampar di sebuah planet beracun yang bernama Planet Tas-as-raum.

Kehilangannya ditangisi rakyat Jupiter namun ada dua orang insan yang terus mencari dan mengharapkan kepulangannya. Putera Adrastea dan Prof Ananke.

Bagaimanakah kesudahan nasib Puteri Elara?



Tahniah kepada Kak Maria dan Rizai! Akhirnya, penantian berakhir.

Jumaat, 15 Oktober 2010

9 Nyawa

Aku bukanlah penggemar novel fantasi, sci-fi ataupun yang sama waktu dengannya tetapi sejak akhir-akhir ini, aku sering 'disogokkan' dengan novel genre ini. Apa pun, aku memang tabik dengan penulis yang mampu menulis cerita sebegini kerana aku tahu ini bukannya suatu tugas yang mudah.

Jika tidak silap aku, novel pertama garapan Ramlee Awang Murshid yang aku baca ialah "Tombiruo", kisah tombiruo di Hutan Keningau, Sabah. Itu pun kawan aku yang suruh baca sebab dia hendak lihat berapa lama masa yang aku ambil untuk membaca novel setebal sekitar 500 muka surat itu.

Dan apa yang dapat aku simpulkan, Ramlee Awang Murshid sememangnya seorang penulis yang superb! Tetapi itu tidak menjamin yang aku akan membeli setiap novel beliau. Namun, pada Karnival Karangkraf yang sudah lama berlalu, aku tergerak hati untuk mengetahui sambungan kisah tomburio itu lalu aku membeli dua buah novel beliau termasuk novel ini.


INTAN SURYANI
Berkali-kali dia koma dan kemudian sedar semula... menyebabkan mamanya percaya bahawa dia mem punyai 9 nyawa berdasarkan sebuah mimpi. Dihitung jumlah ‘nyawa’ yang diambil daripadanya, lalu mengundang trauma. Sungguh dia tidak percaya... ketika koma, rohnya menyaksikan jasad sendiri yang terbujur kaku.

HAKIM
Si buta lagi yatim piatu ini menyara adiknya dengan penuh tanggungjawab. Hatinya sungguh luhur. Sesiapa saja akan terusik melihat keikhlasannya. Anugerah TUHAN... mata hatinya lebih ‘celik’. Dia bisa mendengar suara mereka yang berada di sempadan, antara hidup dan mati.

Mereka berdua bertemu jua... di alam paranormal. Pertemuan itu merungkai sebuah kisah di sebalik cerita. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka terungkai. Dan satu persoalan lain pula muncul - mengapa mereka tidak dipertemukan lebih awal?



Pada mulanya, aku tidak dapat 'masuk' ke dalam cerita ini lalu aku biarkan dahulu beberapa ketika. Apabila sudah tidak ada novel yang aku hendak baca, barulah aku teringat akan novel ini. Akhirnya, dapat juga aku 'masuk' ke alam paranormal ini sehingga ke muka surat terakhir.

Khamis, 7 Oktober 2010

Coklat Keju

Beberapa hari ini aku tiada idea untuk menulis, jadi aku hanya membaca. Bertambah lagi koleksi novel aku padahal sudah tiada ruang untuk menyimpan buku-buku itu. Selepas 'Lelaki Berkasut Merah', aku baca novel ini. Dalam masa sehari sahaja sudah tamat. Tolak waktu kerja sebab aku baca pada waktu malam sahaja.


Siapa sangka keju dan coklat dapat 'bersatu' dalam hidangan pisang? Begitulah kisah Aqil dan Raisya. Safiy Aqil yang pernah menghidap Sindrom Asperger menuntut di UTM. Dia suka memencilkan diri dan tidak bergaul dengan sesiapa. Siapa sangka, abang tirinya, Rafa'e belajar di tempat yang sama, dalam jurusan yang sama. Rafa'e bukan sahaja menabur fitnah terhadap Aqil di hadapan Raisya malah di hadapan ayah mereka, Dato' Hamdan sehingga Dato' Hamdan membenci Aqil sekeluarga. Pada semester ini, sudah tiga kali Aqil mengulang subjek yang sama. Pada semester ini juga, dia 'terpaksa' berkenalan dengan Raisya.

Raisya berjaya mengubah Aqil, dari seorang yang pendiam dan lokek senyuman, kini Raisya berjaya membuatkan Aqil menguntum senyuman. Aqil juga kembali bersemangat untuk menamatkan pengajiannya. Siapa sangka, hujan di tengah hari. Ada seseorang mengoyak lukisan AutoCad Raisya pada hari penilaian. Lukisan Aqil turut sama dikoyak. Angkara siapakah ini?

Aqil ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hanya kerana kehilangan handset, Aqil lewat menerima berita kematian ibunya. Aqil ditimpa kemalangan. Namun, kemalangan itu membongkar segala kejahatan Rafa'e dan ibunya. Raisya setia menemani dan memberikan sokongan moral kepada Aqil. Akhirnya keju (Aqil) dan coklat (Raisya) bersatu dalam perhubungan jarak jauh.



Nama Rose Harissa bukanlah nama yang asing bagi aku tetapi aku tidak pernah membaca novel karya penulis ini. Ada suatu hari itu, aku terlink ke blog dia. Terus aku jadi tertarik dengan gaya penulisannya. 'Seperti Keju & Coklat' adalah novel pertamanya yang berjaya buat aku rasa hendak beli. Mungkin kerana ceritanya tidak terlalu berat dan sesuai untuk remaja. Eh, aku remaja lagikah? Muahahah...

Isnin, 27 September 2010

Mari Tulis Novel


Harga buku = RM30.00
Bayaran pos laju = RM6.00
JUMLAH = RM36.00

Mahu membeli?
Sila e-mel ke aurorapublication@gmail.com

Khamis, 23 September 2010

Lelaki Berkasut Merah yang Gilakan PSP

Dalam sibuk mengusahakan sebuah manuskrip, aku masih sempat membaca dua buah novel yang berlainan genre ini. Tetapi belum habis baca lagi kerana aku sudah berazam hendak menghabiskan manuskrip ini sebelum akhir tahun ini sebelum melangsaikan sebuah lagi manuskrip yang aku hutang dengan sebuah syarikat penerbitan. Huhu.


Jamal bin Lomo lelaki yang punyai masa silam yang gelap, memiliki sebuah kotak hitam yang rahsia dan dia mencari kerana di sini hanya ada kisah manusia-manusia yang biasa. Lelaki berkasut merah yang penuh rahsia, anak muda yang berwajah dingin, perempuan serba hitam yang tidak pernah gusar, perempuan berseragam hijau yang penuh prihatin, dan watak-watak lainnya yang berwarna seperti pelangi.

Kita akan menemukan lelaki berkasut merah yang punyai masa silam yang penuh rahsia. Tidak ada siapa tahu berkenaan rahsianya selain seorang tok imam tua.

Sebelum itu, kita juga akan menemukan seorang anak muda yang berwajah dingin, yang gemar merenung tajam, dan tidak mungkin dibantah katanya.

Kedua-dua mereka punyai misi yang sama atas sebab yang berbeza. Mereka berdua mencari manusia-manusia yang . Pada waktu yang sama, mereka juga dicari oleha manusia-manusia yang punya agenda rahsia.


Cerita Bahruddin Bekri selalunya mempunyai 'sesuatu' bagi aku tetapi kecenderungan penulis yang sering menjadikan Sarawak sebagai latar tempat dalam karya-karyanya membuatkan latar ceritanya seolah-olah hanya berlaku di sekitar negeri Sarawak. Mungkin kerana penulis berasa lebih dekat dengan Sarawak kerana penulis adalah orang Sarawak. Aku pun pernah juga ditegur kerana sering menggunakan bandar Kuantan sebagai latar tempat :)




Fendy mahu beli PSP tetapi wang tabungnya tidak cukup. Tidak mengapa, dia sanggup bekerja sebagai pengasuh sambilan.

Pengasuh sambilan? Hai, menjaga adik sendiri pun malas, bolehkah menjaga anak orang lain? Sangkanya menjaga adik orang lain lebih mudah.

Semua cabaran dan kesusahan ditempuhi dengan sabar dan penuh semangat waja demi sebuah PSP!


Novel ini aku beli kerana aku tertarik dengan sinopsisnya selain jalan ceritanya yang ada kena-mengena dengan sebuah manuskrip aku yang berkaitan dengan pengasuh. Bukan ingin meniru tetapi sekadar ingin mengetahui perspektif daripada sudut penulis lain tentang tema yang sama. Tema yang sama tetapi tidak bermakna jalan ceritanya juga sama ya.


*Tiga manuskrip sebelum akhir tahun, sempatkah?

Ahad, 12 September 2010

S Bukan Miss Epal

Dua buah novel lagi yang aku sempat baca iaitu "Miss Epal" dan "S Untuk...". Kedua-dua buah novel ini adalah terbitan PTS Profesional. Menariknya, novel keluaran PTS Profesional agak berbeza dengan novel-novel remaja terbitan syarikat penerbitan yang lain kerana novel-novel PTS Profesional turut mengandungi info-info dan maklumat yang mempunyai kaitan dengan jalan ceritanya.

Seperti novel "Miss Epal", novel ini turut memaparkan sedikit tips dan maklumat mengenai motivasi diri memandangkan novel ini mengisahkan tentang seorang gadis yang mempunyai azam untuk mengubah dirinya kepada yang lebih baik.

Siapa Miss Epal? Gadis kecil yang bercita-cita tinggi. Impiannya mahu mengubah dunia di sekelilingnya. Cintanya pada warna hijau epal dan memakai haruman epal menyebabkan dia digelar Miss Epal. Tanpa impian, mimpi tidak akan jadi nyata. Mampukah Miss Epal mencapai matlamatnya?


Manakala novel "S Untuk..." ini pula sangat bermanfaat untuk dibaca oleh remaja yang bercita-cita hendak menjadi penulis kerana kandungannya turut menyajikan tip dan cara-cara hendak memulakan sesebuah manuskrip bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan penulisan.

Walaupun Shaira sayangkan sekolah lamanya, dia terpaksa meninggalkannya. Dia mula berasa sunyi. Mencari kawan baru begitu sukar kepadanya. Sehinggalah selepas dia membaca hasil nukilan Pak Samad iaitu Sasterawan Negara yang dihormati. Dia mula memupuk sayangnya kepada sesuatu. Apakah ia? Rahsia di sebalik huruf S...


Suatu pendekatan yang baik dalam menyalurkan maklumat kepada golongan remaja dan menunjukkan yang novel itu bukan sekadar bahan bacaan picisan.

Rabu, 8 September 2010

Royalti Pertama

Kebetulan, royalti pertama aku yakni untuk novel My Honey, Hani aku dapat dekat-dekat hendak raya. Jadi, pastinya aku berhabis untuk persiapan hari raya bersama keluarga. Selebihnya, aku akan gunakan untuk membayar hutang PTPTN yang masih lagi berbaki empat angka. InsyaAllah, selepas hutang sudah selesai, dapatlah menyimpan pula.


Sebenarnya, sebab utama aku menulis novel bukanlah kerana royalti bahkan aku pun tidak menyangka akan jumlah royalti untuk novel ini. Walaupun jumlahnya tidaklah sebanyak mana, tetapi bagi penulis baru seperti aku, jumlah ini sudah aku anggap tinggi.

Apa-apa pun, melihat angka royalti ini sudah cukup menaikkan semangat aku untuk lebih berusaha bagi mempersembahkan yang terbaik untuk pembaca. Terima kasih kepada semua yang menyokong My Honey, Hani. Aku sekarang sedang cuba mencari mood bagi membaik pulih novel kedua Fathi Ramli.

Oh, ya! Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung dan pembaca blog Taipan Jemari Ilmar Imia yang masih setia menantikan buah tangan terbaru aku. Maaf sekiranya aku lambat memuatkan entri baru. InsyaAllah, selepas raya nanti, akan ada entri baru ya :)

Selasa, 7 September 2010

FP Junior

Beberapa minggu yang lalu, aku ke kedai buku MPH untuk mencari bahan bacaan baru untuk dibaca. Tiba-tiba rasa hendak kembali ke zaman kanak-kanak dahulu, makanya aku membeli tiga buah novel awal remaja terbitan Fajar Pakeer ini yang mana setiap satunya berharga RM10.90. Murah, bukan? Mestilah, sebab jumlah muka suratnya pun tidak banyak. Hanya sekitar 130 halaman.


“Nama kau apa?” sergah satu suara membuatkan gadis berwajah halus bertudung litup itu tersentak.
Dengan rasa takut dia menjawab, “Aleya.”
“Bagus, mulai sekarang nama kau Nunu. Aku Nana dan yang ni Nini.”
“Tapi…”
“Peraturan pertama, aku tak suka orang bantah apa yang aku cakap,” potong Nana sambil merenung Nunu.

Kematian kedua ibu bapa memaksa mereka tinggal di Rumah Anak Yatim Prajurit. Di situ mereka mula berkenalan dan rapat. Apa sahaja dilakukan bersama. Tapi satu hari akibat kedegilan mereka, mereka dihukum.

Nana, Nini dan Nunu semakin membenci Bonda. Tak kurang juga Geng Alif Ba Ta yang sengaja mengacau mereka. Akhirnya Encik Samad, pengetua Rumah Anak Yatim Prajurit mengambil keputusan memisahkan mereka.

Dapatkah mereka dipisahkan dan bagaimana pula hubungan Nana, Nini dan Nunu dengan Bonda?




Aku buka mata, aku nampak dia. Dia hantu atau manusia? Sering kali aku berkata kepada diri sendiri, Jangan buka mata... Jangan buka mata...

Alia, seorang pelajar tingkatan tiga, meragui pandangan matanya. Dia boleh melihat makhluk atau lembaga yang tidak dapat dilihat oleh pandangan manusia biasa. Dia boleh berkomunikasi dengan mereka dan yang mengerikan, dia sering diburu oleh makhluk-makhluk ini, tidak kira tempat dan masa. Sehinggakan Alia takut untuk membuka matanya. Gusar akan terlihat sesuatu yang menyeramkan.

Bila aku buka mata, aku nampak mereka. Rambut panjang, kusut masai. Mata mereka sentiasa bulat dan merah. Pandangan mata yang tidak pernah mesra. Bau mereka, ada yang busuk, sebusuk-busuknya dan ada yang wangi, sewangi-wanginya. Kenapa aku selalu diburu oleh mereka? Apa yang mereka mahu sebenarnya? Haruskah aku terus menutup mata?




Rezaimen dan rakan-rakan sekali lagi mengembara ke alam misteri. Ketika mereka meninjau kawasan kedua yang akan dibangunkan Darwis, papa Rezaimen, terdapat banyak daun gergasi di situ. Ketika sedang mengutip daun itu untuk dijadikan kenangan, Falda Akma menjumpai kunci emas yang sangat kecil.

“Hei, kau nak buat apa tu, Isha?” Falda Akma yang terkejut terus menjerit.
“Aku nak bukalah,” balas Irisha Myra selamba.
“Bahaya!” Namun tidak sempat Falda Akma menghalangnya, Irisha Myra sudah pun memulas kunci emas kecil yang dimasukkan ke dalam pintu itu.

Tiba-tiba sahaja Irisha Myra terasa tangannya ditarik masuk. Dia memegang tangan Rezaimen yang ada di sebelahnya ketika itu. Rezaimen yang terkejut memegang tangan Falda Akma dan Falda Akma dengan spontan memegang tangan Dinzly. Mereka bersama-sama ditarik masuk ke dalam pintu kecil itu.

Apakah cabaran yang menunggu mereka di sana? Ikuti pertemuan Rezaimen, Dinzly, Falda Akma dan Irisha Myra dengan Gergasi Mons, penduduk Kamping Renfen yang pelik serta Pawang Remen.


Selesai membaca buku kedua, tiba-tiba satu idea menerjah ke kepala aku. Ya, aku juga mahu mencuba cerita sebegini. Makanya, aku pun mula mengarang :)

Jumaat, 3 September 2010

Corat Coret Pembikinan PR

Okey, bagi sesiapa yang bertanyakan novel "Pemuja Rahsia", anda bolehlah membelinya di Dewan 4, KLCC sempena BookFest Malaysia 2010 yang berlangsung pada 4-12 September ini, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Diskaun 20% akan diberikan bagi setiap pembelian novel Astana Novella.



Editor: Fazl & Ray
Grafik & Layout: Eunis
Cover: Lim Heng Swee

PEMUJA RAHSIA adalah kisah peminat fanatik yang terlalu memuja artis kesayangannya. Krisya Norsabrina, remaja berusia 17 tahun yang sangat meminati muzik. Hampir 24 jam masanya dalam satu hari dihabiskan dengan mendengar muzik.

Krisya Norsabrina paling menggemari band Petir, sebuah band yang dianggotai oleh 4 orang pemuda. Dia sering mengikuti perkembangan band itu di Internet terutamanya Facebook dan sering berangan-angan untuk bertemu dengan band pujaannya itu. Dia akan berasa cemburu apabila mendapat tahu ada di kalangan teman-temannya yang sudah menonton konsert Petir ataupun membeli produk Petir terutamanya musuh ketatnya, Farah Hanani.

Krisya Norsabrina dan Farah Hanani saling bersaing dan berlumba-lumba sesama sendiri demi membuktikan siapa antara mereka yang paling layak digelar peminat sejati. Tapi, adakah orang yang dipuja mereka itu menyedari kewujudan mereka? Krisya Norsabrina nekad. Dia tidak mahu menjadi pemuja rahsia lagi.



Idea cerita ini tercetus pada penghujung tahun 2008. Ketika itu, saya sedang mencari-cari idea untuk membuat sebuah novel yang lari sedikit daripada kisah cinta remaja. Selama menyiapkan manuskrip ini, saya terpaksa tebalkan muka meminjam laptop dua orang teman baik iaitu Aina dan Fiza ekoran ketiadaan laptop ataupun komputer untuk menaip.

Hendak dijadikan cerita, saya yang ketika itu bekerja di Kepong terpaksa berulang-alik ke Petaling Jaya (rumah Aina) ataupun ke Shah Alam (rumah Fiza) setiap minggu demi menyiapkan manuskrip ini. Saya rasa sungguh terharu kerana mempunyai dua orang sahabat yang sangat menyokong minat saya ini. Bayangkan, tatkala saya sibuk menaip di tengah malam, ada pula yang sudi melayan dan siap buatkan air lagi. Bertuah betul badan :)

Setelah berbulan-bulan berpenat lelah memerah idea dan keringat berulang-alik dari Kepong ke PJ dan Shah Alam, alhamdulillah akhirnya manuskrip penuh "Pemuja Rahsia" berjaya juga disiapkan pada awal April 2009.



Namun, manuskrip ini tidak terus diterima memandangkan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Atas nasihat dan kritikan membina oleh editor pada waktu itu, Kak Nani (Haryani Kamilan), saya berusaha memperbaiki dan menambah perencah untuk menjadikannya lebih baik.

Namun saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pembaikan manuskrip ini memandangkan dua karya saya yang lain tersangkut di tangan dua buah syarikat penerbitan. Selepas kedua-dua karya tersebut selamat diterbitkan, akhirnya sekarang saya dapat menjalankan kerja-kerja baik pulih terhadap manuskrip ini dan seterusnya melihat karya ini diterbitkan (terima kasih kepada abah dan Hai untuk laptopnya).

Tidak lupa juga kepada Kak Maria (Maria Kajiwa) atas tunjuk ajar dan bimbingannya. Harapan saya semoga pembaca berpuas hati dengan cerita ini dan mendapat sesuatu daripadanya.

Rabu, 1 September 2010

Gelak Itu Tidaklah, Cuma Tersengih

Patutnya waktu-waktu sekarang orang dok sibuk membeli-belah untuk persiapan hari raya tetapi aku pula sibuk membeli-belah novel. Hehe... Jika diikutkan, semua kedai buku itu sama sahaja, jual buku. Tetapi yang peliknya, aku tetap membeli novel di setiap kedai buku yang aku jejaki. Antaranya novel ini.



Lumrah kehidupan seseorang manusia itu mengalami pelbagai peristiwa pahit manis di dunia ini. Begitu juga dengan Rahman. Pelbagai kisah lucu yang terpaksa dihadapinya dalam usaha mengahwini kekasihnya, Maimun.

Bermula dengan ibunya yang dipatuk angsa ketika datang merisik Maimun hinggalah rombongan pengantin yang membawa Maimun telah tersilap ke rumah yang mengadakan kenduri bersunat di kawasan kejiranan rumah Rahman.

Tak cukup dengan itu, Rahman terpaksa berhadapan dengan bapa mertuanya, Pak Brahim yang agak alim orangnya, sedangkan Rahman alim-alim kucing sahaja. Pelbagai kisah haru-biru yang berlaku di rumah Pak Brahim setelah Rahman menjadi menantunya.

Ikutilah juga kisah ketua marhaban, Hajah Meriam yang terpaksa merempit dengan babi semata-mata ingin ke kenduri potong jambul anak kembar Rahman.

Gelak Tergolek… wajib dimiliki!



Apabila membaca judul dan blurb, aku rasa cerita ini menarik tetapi setelah aku membacanya, ermm... okeylah. Boleh tahan. Mengapa aku kata boleh tahan? Sebab aku tidaklah gelak sampai tergolek membaca novel ini. Tersengih itu adalah. Namun begitu, aku tabik dengan penulis ini sebab berani menggunakan nama-nama watak yang jarang-jarang orang guna sekarang.

Apa pun, novel ini tetap mempunyai mesejnya yang tersendiri terutamanya kepada sesiapa yang bakal ataupun baru sahaja mendirikan rumah tangga. Bagi aku, lawak yang disampaikan mungkin lebih difahami oleh pembaca yang sudah cukup umur. Bagi akulah.

Sekarang, aku sedang membaca novel "Zara Misi Mustahil" pula. Akhirnya, aku jumpa juga novel ini :)

Jumaat, 27 Ogos 2010

Makluman



Daripada Cik Ryo dan pihak Bookstation.

Beberapa saluran bayaran diwujudkan menggunakan syarikat pemproses bayaran kami, ipay88.

Berikut adalah saluran yang boleh digunakan untuk membuat pembayaran:

A) Bayaran secara online

Pilihan yang disediakan adalah:

1. Kad Kredit (Mastercard/Visa)
2. Maybank2u.com


B) Pembayaran Melalui Cek/ Wang Pos/ Money Order

Pihak bookstation menerima pembayaran melalui cek. Cek bayaran anda perlu diletakkan atas nama EXACT PUBLISHER SDN BHD dan diposkan bersama nota pesanan anda ke alamat:

KEDAI BUKU ONLINE
EXACT PUBLISHER SDN BHD
Lot 34A, Jalan 5/32A,
Mukim Batu 6 ½,
Jalan Kepong,
52000 Kuala Lumpur.


Pihak kami hanya akan membuat penghantaran selepas cek tersebut dapat ditunaikan. Bagi cek luar kawasan, ia mengambil sekurang-kurangnya 3 hari bekerja untuk ditunaikan.


C) Bayaran Secara Tunai Manual Melalui Mesin ATM

Bagi mereka yang ingin menggunakan cara tunai manual melalui mesin ATM atau kemasukan secara bank-in. Anda boleh menggunakan maklumat akaun di bawah:

MAYBANK BERHAD
Nama Pada Akaun : EXACT PUBLISHER SDN BHD
No. Akaun : 5145 8917 1076


Kemudian, sila faks ataupun e-melkan slip pembayaran bersama butiran berikut:

1. Nombor rujukan pesanan
2. Nama dan nombor telefon anda
3. Pembayaran dalam bentuk cek ataupun tunai
4. Tarikh dan waktu bank in
5. Nombor cek jika bayar melalui cek

sebagai bukti pembayaran.

Faks: 03 62507246
E-mel: admin@bookstation.com.my

Kami akan memproses pesanan anda selepas menerima bukti pembayaran.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Cik Ryo di talian 03-62503396.

Diharap penjelasan ini dapat menjawab segala persoalan mengapa ada sesetengah yang memesan buku menerusi Bookstation masih belum menerima buku anda. Ada yang memesan tetapi tidak bayar dan ada yang kata sudah bayar tetapi tidak maklumkan kepada Bookstation.

Khamis, 26 Ogos 2010

Mengapa Aku Suka Novel Ini?

Tanpa teragak-agak, aku terus cari novel hasil karya Kusyi Hirdan ini di kedai buku berhampiran apabila dapat tahu buku ketiga untuk siri ini sudah terbit. Tetapi sayangnya, belum ada. Jadi, apabila aku dapat tahu yang seorang teman mahu ke PTS, aku terus kirim buku ini daripadanya. Lagipun, dia juga seorang penulis PTS, jadi mesti boleh dapat diskaun! Hehe...

Dan sejurus aku dapat buku ini daripadanya, aku terus mula membaca. Seperti dua buku pertama, jalan ceritanya juga sangat menarik dan berjaya membuatkan aku tidak makan, tidak minum, tidak mandi, tidak buka komputer dan sanggup berjaga malam semata-mata hendak mengetahui kesudahan Izaz Noraini sebagai pengetua Kolej Elita. Sayangnya, tiada kesudahan juga kerana cerita ini akan bersambung lagi.


Izaz Noraini masih di Kolej Elita. Status sebagai pengetua sebuah kolej berprestij tidak menghalangnya menjadi pelajar yang komited. Komitmen sebagai pengetua menuntut perhatian yang penuh daripadanya hingga Johana berasa dipinggirkan. Pelbagai masalah muncul di kolej seperti isu disiplin pelajar, isu sabotaj, isu khabar angin dan ugutan. Dapatkah Izaz Noraini terus bertahan?


Nampak gayanya, kenalah menunggu lagi. Jadi, sementara hendak menunggu sambungan siri ini, bolehlah aku baca novel yang ini pula yang mana watak-wataknya masih sama dengan siri "Mengapa Aku..." tetapi dalam versi Zara pula.


Mengisahkan berkenaan watak Zara Tan Sri Zamanis yang berusia sembilan belas tahun. Pelajar yang pandai, lasak, berani dan sedikit tomboy. Dia tidak pernah mengambil PMR kerana malas dan mengulang pada tahun berikutnya. Ini membuatkan usia Zara ketika mengambil SPM pada usia sembilan belas tahun. Zara pernah digelar samseng kerana hidupnya terlalu sosial.

Selepas tamat SPM, Zara meminta kerja sementara di Kolej Elita. Izaz, Pengetua Kolej Elita memberi jawatan penjaga kafe siber. Semua kawannya mahu ke luar negara mengambil short course tetapi Zara tidak mahu pergi ke luar negara dan mahu kekal di Kolej Elita.

Dalam misinya kali ini, Zara bersekongkol dengan Mak Cik Rohana, pekerja kantin bagi menjodohkan Ali dan Izaz. Tetapi dia perlu berlawan dengan Normawar yang mahu menjadikan Izaz sebagai ibu tirinya.

Pada masa yang sama dia perlu bekerjasama dengan Normawar. Adakah misinya berjaya?



Tetapi, bila pula novel ini akan berada di kedai buku yang berdekatan dengan rumah sewa aku itu? Haish...

Sabtu, 21 Ogos 2010

Memang Tidak Dapat Kuhindar

Seperti biasa, apabila ada novel baru di pasaran, aku akan melayari Internet untuk 'bedah' dan 'siasat' cerita itu bagaimana dan tentang apa. Jika ada preview online beberapa bab awal, lagilah senang kerja aku. Bagi yang tiada bantuan online pula (hanya sekadar cover dan blurb), terpaksalah aku ke kedai buku berhampiran untuk menjalankan 'bedah siasat'.

Dan novel terbaru yang aku beli adalah novel ini. Pada mulanya aku cuma membaca beberapa bab awal di Internet dan jika aku berasa tertarik dan hendak tahu ceritanya hingga ke penamat, maknanya aku memang wajib mendapatkan buku itu!

Begitulah yang aku rasa tatkala membaca beberapa bab awal novel ini. Walaupun aku tahu kisahnya pasti berkenaan cinta tiga segi, tetapi aku tetap hendak baca. Dan setelah beberapa kali aku ambil dan letak semula, akhirnya aku nekad juga membeli novel ini semalam.



Pertemuan pertama memberi impak yang berbeza kepada dua insan. Maria malu mengenang, sedang Hisyam mahu mendekat. Maria semakin resah apabila Hisyam terus-terusan mendesak. Dalam benci ada rindu. Bijak Hisyam memujuk, mereka akhirnya disatukan.

Salina hadir menjadi duri dalam daging. Bagi Hisyam, gadis itu ialah sahabatnya yang terbaik. Insan paling dipercayai. Namun, dalam diam, Salina meracuni hubungan mereka. Salina ada agenda yang tersendiri.

Semakin hari, semakin nipis rasa percaya Maria terhadap Hisyam. Namun, dia tidak mungkin menghindar rasa kasih yang sudah menebal. Demi menunaikan permintaan Maria, Hisyam tega melamar Salina walau ada luka di hati.

Sanggupkah Hisyam menduakan Maria yang pernah dicintai sepenuh hati? Dan, Maria, mampukah membiarkan suami tersayang jatuh ke tangan Salina? Atau, Mariakah orang ketiga yang tidak lagi diperlukan kehadirannya oleh Hisyam?



Agaknya sebab penangan tajuk novel ini kut, 'Tak Mungkin Kuhindar', makanya aku juga tidak mampu untuk menghindari hati sendiri untuk tidak membeli novel ini :)

Eh, tetapi di rumah aku masih ada empat buah novel lagi yang aku belum baca! Satunya aku beli dan tiga buah lagi aku dapat hadiah peraduan ulasan buku. Bila ya aku hendak baca buku-buku itu? Haish...

Rabu, 11 Ogos 2010

Bakal Terbit September 2010!

Alhamdulillah, akhirnya novel 'Pemuja Rahsia' sudah pun dihantar ke pencetak untuk dicetak.



Meminati seseorang dalam diam adalah perkara biasa bagi pelajar-pelajar sekolah. Namun, bagaimana jika orang yang dipuja itu menjadi idaman ramai? Perlukah dia bersaing bagi merebut perhatian si idaman?


Insya-Allah, novel ini akan terbit pada bulan September nanti. Kalau nak baca beberapa bab awal, bolehlah klik di sini ya.

Isnin, 26 Julai 2010

Sedang Menanti Kelahiran Anak Ke-3

“Weh, boleh aku tanya satu soalan?”

“Apa?”

“Kenapa masa Wee tanya hari tu, kau kata kau tak kenal aku?”

“Kau tahu nama penuh aku?”

Krisya Norsabrina menggeleng.

“Jadi, maknanya kau tak kenal akulah.”

“Habis, kau tahu nama penuh semua kawan kau ke?”

“Tahu.”

“Eleh, yalah tu.”




Antara sedutan babak dalam novel yang dijangka akan terbit pada bulan Ogos nanti dan sekarang sedang menanti final cover sahaja.

Isnin, 19 Julai 2010

Belajar Untuk Relaks

Dunia penulisan mengajar aku supaya tidak mudah melatah dengan cakap-cakap orang. Jika dahulu, aku akan menjawab dan membidas balik apa yang orang kata tentang karya aku. Yalah, kalau setakat kritikan seperti “Cerita ini panjang sangat. Malas nak baca”, “Tajuk cerita ini tak kena dengan jalan cerita” ataupun “Apa motif cerita ini?”, rasa terbakarlah juga.

Selepas itu, aku cuba membuat sebuah cerita yang lain daripada biasa. Yang tidak ada orang buat lagi. Alhamdulillah ramai yang suka dengan cerita itu dan rata-ratanya memberikan komen yang positif berbanding karya yang sebelumnya. Namun, dalam masa yang sama masih ada yang tidak suka kerana heroinnya gedik. Alahai, takkanlah heroin itu mesti sempurna dan tidak ada cacat cela?

Daripada situ aku tahu setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing. Sedangkan karya bestseller pun dikritik, apatah lagi karya aku yang tidak seberapa itu. Satu yang aku faham, orang mengkritik kerana mereka membaca karya itu. Jadi, aku belajar untuk menerima kritikan dan daripada kritikan itulah aku berusaha memperbaiki apa yang perlu.

Mungkin aku agak ketinggalan dengan berita yang telah memanaskan perasaan teman-teman penulis dua tiga hari lalu tapi seorang teman pula mengatakan yang itu hanyalah perkara biasa dalam industri ini. Yang penting, kita jangan mudah melatah dan berusaha melakukan yang sebaik mungkin. Jika benda itu tidak penting, tidak usahlah dilayan.

Isnin, 12 Julai 2010

Sedang Cuba Fokus



Atas nasihat seorang rakan penulis, aku sekarang tengah cuba fokus menyiapkan satu-satu manuskrip dalam satu-satu masa. Ya, sedang cuba! Walaupun kadang-kadang mood aku lari pada manuskrip lain...hehe... Tambahan pula, tiga idea cerita berlegar-legar serentak dalam kepala aku. Mana satu yang patut didahulukan?

Pertamanya, AsyrAfia yang sudah banyak kali aku ubah jalan ceritanya. Memandangkan manuskrip ni sudah menjangkau 200 muka surat, jadi aku memilih untuk fokus pada manuskrip ini terlebih dahulu.

Keduanya, sambungan Budak SMART yakni Akulah Rockstar. Baru siap tiga bab dan sudah pun masuk ke bab empat. Tengah-tengah syok menulis, tup tup aku dapat idea lain untuk kembangkan jalan ceritanya yakni tersasar daripada idea asal.

Dan yang ketiganya merupakan salah satu daripada cerpen aku. Ekoran komen yang menggalakkan di Penulisan2u dahulu, aku buat keputusan untuk kembangkan lagi jalan ceritanya. Idea dan rangka cerita sudah ada tapi aku kena dahulukan cerita lain dulu.

Kemudian, baru aku teringat yang aku ada menghantar proposal kepada sebuah syarikat penerbitan. Baru masuk bab kedua. Inilah padahnya apabila mood menulis sering bertukar-tukar. Haish!

Rabu, 7 Julai 2010

Perihal Nama Pena

Pesta Buku Selangor 2010 di Kompleks PKNS, Shah Alam dah pun berakhir pada 5 Julai lalu. Terima kasih kepada semua yang sudi membeli novel Budak SMART. Budak SMART ialah novel pertama aku bersama One Nusantara.



Tidak lama sebelum Budak SMART terbit, aku juga baru sahaja menerbitkan novel bersama KarnaDya yakni My Honey, Hani dengan menggunakan nama pena Fathi Ramli.



Jika Budak SMART bertemakan alam persekolahan, My Honey Hani pula lebih kepada alam kolej dan universiti serta jalan ceritanya lebih panjang.

Selepas ini, mungkin aku akan mengekalkan nama Fathi Ramli untuk novel dewasa dan Ilmar Imia untuk novel remaja. Harap orang tak terkeliru. Nama sahaja yang lain tapi orangnya sama :)

Rabu, 23 Jun 2010

Apa Yang Sedang Disibukkan?

Dah lama tak update blog novel sebab aku sedang sibuk mengusahakan manuskrip yang terbengkalai. Oh, sebenarnya tak adalah sibuk sangat pun. Sengaja saja buat-buat sibuk...hehe...

Novel terbaru aku iaitu 'Pemuja Rahsia' dalam proses pruf dan dijangka akan terbit pada pertengahan bulan Julai ataupun bulan Ogos nanti.

Sementara menunggu novel tu terbit, aku juga sedang mengusahakan 'AsyrAfia' versi manuskrip. Ya, aku sedang berusaha sebab kadang-kadang Azrizal, Shafik dan Iqbal tak berhenti-henti mengganggu kepala otak aku. Sabarlah, giliran kau orang lepas ni :p

Selain itu, aku juga menjalani rutin harian macam manusia biasa. Makan, minum, pergi kerja, melepak, baca novel dan lain-lain.

Oh, ya! Kepada sesiapa yang tinggal di Shah Alam dan sekitarnya, bolehlah mendapatkan novel 'Budak SMART' di Kompleks PKNS di booth D5-D6 sempena Pesta Buku Selangor pada 25 Jun hingga 5 Julai ini.




Okey, tu saja nak beritahu. Daa...

Rabu, 16 Jun 2010

Prince Charming Si Ratu Bulan

Semalam, pulang dari ofis, aku singgah di kedai buku Popular, Jusco, Kepong untuk jenguk buku baru. Tapi, hampa. Tak nampak langsung buku baru yang aku nak beli.

Tiba-tiba, mata aku terpanah pada seorang pekerja kedai buku tu yang sedang duduk dekat kaunter sambil mengadap berpuluh-puluh buah buku yang dikeluarkan dari dalam kotak.

Aku nampak warna pink-pink tu, betullah kut buku yang aku cari. Dengan tak malunya, aku cakap pada akak tu aku nak beli buku tu. Akak tu terkejut sebelum berkata, "Eh, silalah. Baru nak letak harga."

Nah, nilah bukunya...



Setiap perempuan dalam dunia ini memiliki Prince Charming mereka sendiri. Prince Charming juga bukanlah seorang yang sempurna dalam segala aspek, bukan mesti seorang putera raja, bukan mesti orang yang kaya-raya dan bukan juga seorang yang boleh membeli Kota London, bukan mesti seorang yang bijak dan berpendidikan, bukan juga seorang yang romantik seperti dalam cerita dongeng. Prince Charming boleh jadi sesiapa sahaja di mata seorang perempuan. Apa yang penting adalah hati yang tulus ikhlas.


Hoho~ Baru baca halaman dedikasi aje, aku dah rasa terharu. Rasa macam nak menangis pun ada... ahak... Eh, ni bukan cerita sedih. Cerita fun-fun dan sesuai sangat untuk dibaca masa musim bola sepak ni :)

Jumaat, 4 Jun 2010

Budak SMART di The Mines

Kepada sesiapa yang ingin membeli novel 'Budak SMART' tapi susah nak jumpa kat kedai, kau orang boleh beli kat Read Malaysia 2010, The Mines mulai 4-13 Jun ini di booth yang bernombor F19-22. Okey?


Sedang berusaha menyiapkan novel AsyrAfia memandangkan idea sudah datang mencurah-curah :)

Sabtu, 29 Mei 2010

Vila Bini Aku

Dah lama aku nak beli novel-novel ni tapi tak jumpa kat kedai buku yang berdekatan dengan rumah sewa aku. Akhirnya, aku jumpa novel-novel ni kat kedai buku Pustaka Saujana, Kuantan Parade ketika pulang bercuti pada Hari Wesak. Tak sabar nak baca!






Selepas selesai menyiapkan manuskrip novel terbaru, Pemuja Rahsia, aku rasa aku nak rehat buat seketika. Nak ambil mood untuk cerita lain pula...hehe...

Sabtu, 22 Mei 2010

Beli 'My Honey, Hani' Secara Online


Kini, kau orang dapat beli novel 'My Honey, Hani' dan semua buku terbitan KarnaDya secara online di KarnaDya Online Store dengan harga diskaun istimewa!

Isnin, 17 Mei 2010

Aku, Nasi Lemak dan Gosip

Niat hati nak singgah Popular sebab nak cari novel 'My Memory', buku terbaru penulis kegemaran aku, Aizam Aiman. Tapi tak ada lagi. Tup, tup, belek-belek buku lain. Akhirnya, aku terbeli dua buah novel ni.





Konon tak nak baca dulu sebab aku kena siapkan manuskrip kedua dengan One Nusantara, tapi idea tak muncul-muncul. Jadi, aku bacalah novel 'Aku, Dia & Gosip' dulu. Mungkin boleh dapat idea. Kononnyalah. Tapi dah habis baca pun, idea masih belum muncul. Tersangkut kat bahagian ending.

Jadi, aku pun bacalah 'Nasi Lemak Bonda' pula. Aku pun nak cuba buat manuskrip untuk siri usahawan cilik ni. Idea dah ada tapi aku nak peram dulu. Takut tak jadi macam proposal pertama hari tu. Eh, bukan tak jadi tapi tertangguh. Aku pun tak tahu bila aku dapat siapkan manuskrip tu...huhu...

Sudahnya, lepas habis baca kedua-dua buku ni pun, idea aku tak muncul-muncul. Akhirnya, aku dok karang cerita lain pula. Haish!

Rabu, 12 Mei 2010

Budak SMART Masuk Kedai

Novel 'Budak SMART' sudah dapat dibeli di kedai-kedai buku berikut:-







Enjoy! :)

Isnin, 10 Mei 2010

Menuntut Ilmu Hingga ke Cheras

Dah lama rasanya aku tak pergi bengkel. Maklumlah jadual hujung minggu aku sekarang sangat kelam-kabut dan tak menentu. Tak boleh dirancang. Kalau dirancang, mesti takkan jadi...huhu... Dan kerana tak merancang tu juga, aku berkesempatan menghadiri bengkel novel di IYC, Cheras semalam. Kalau tak silap aku, inilah bengkel pertama yang aku hadiri untuk tahun 2010.

Aku pergi ke sana dengan seorang kawan. Mujurlah kita orang ada GPS yang boleh menjawab semua pertanyaan kita orang dan kerana itu perjalanan kita orang lancar tanpa sebarang kesesatan. Thanks, Aina! Hehe... tapi otak aku tak dapat berfungsi dengan baik gara-gara tak cukup tidur. Mujur aku tak tertidur dalam bengkel tu. Yalah, dah duduk depan kan? Ahak...

Sebelum ni aku cuma tulis apa yang aku rasa nak tulis. Kalau tak dapat tulis manuskrip penuh pun, aku akan tulis draf aje untuk curahkan apa yang ada dalam kepala aku. Barulah aku tahu selama ni aku menulis menggunakan kaedah sit on the pen. Kalau tak ada idea, memang aku tak menulis. Kalau menulis pun, aku tulis cerita lain...hehe... Selain itu, banyak juga istilah ataupun term-term penulisan novel yang aku tak tahu. Tercengang sekejap aku dibuatnya. Oho, sekarang aku dah tahu!

Terima kasih kepada Kak Maria yang sudi memberi tunjuk ajar dan tak lokek menjawab soalan-soalan aku walaupun ada antaranya mungkin kedengaran remeh. Konon lepas balik dari bengkel tu, nak ganti tidur. Lepas tu, malamnya bolehlah sambung menaip. Tup, tup, boleh pula baca novel orang lain sampai ke malam. Pagi esoknya mulalah mengantuk bila kat ofis...huhu...

Sabtu, 1 Mei 2010

Aku Struggle

Hari ni sepatutnya semua pekerja bercuti tapi aku tak. Walaupun tak payah datang ofis tapi tetap kena buat kerja kat rumah. Kerja apa lagi, siapkan manuskriplah. Mesti ada yang tertanya-tanya apalah yang susah sangat nak siapkan manuskrip tu, kan? Oho, nak kata senang sangat pun tak. Nak kata susah sangat pun tak. Yang pasti, nak buat manuskrip ni bukannya setakat tulis sekali harung, lepas tu terus hantar. Nak buat karangan pun kena rangka isi cerita, ini kan pula manuskrip novel yang panjang berjela.

Dalam bab ni, aku setuju dengan Kak Maria. Untuk pastikan yang manuskrip kita tu terbaik dan mempunyai kesalahan ejaan dan tatabahasa yang seminimum mungkin, penulis kena baca dan semak balik manuskrip tu berulang-ulang kali sebelum hantar kepada editor. Tapi janganlah tiap-tiap kali semak, tiap-tiap kali tu juga nak tukar cerita. Kalau macam tu, bilalah manuskrip tu nak siap? Haish!

Dalam kes aku ni, bukan sebab masalah nak tukar cerita tapi pasal nama watak dan beberapa nama lain dalam novel ni. Ya, nama watak pun kena pilih juga sebab kalau boleh aku tak nak nama watak dalam novel aku sama dengan nama watak dalam novel-novel lain. Kalau boleh, aku nak guna nama yang jarang-jarang orang guna ataupun tak pernah guna langsung.

Dari segi jalan cerita pula, aku dah cuba perbaiki berdasarkan kritikan dan saranan dua orang pengkritik yakni seorang editor yang berpengalaman dan seorang lagi kawan baik aku yang suka mengkritik novel aku...hehe... Jadi, jalan ceritanya agak berbeza sikit dengan versi e-novel. Harap-harap aku dapat siapkan manuskrip ni cepat. Jadi, lepas tu bolehlah aku fokus pada novel untuk Fathi Ramli pula.

Selasa, 27 April 2010

Hujan fm

Lepak balik dari ofis semalam, sambung mengadap laptop untuk manuskrip kedua. Tinggal dua bab saja lagi. Bila tak ada idea untuk bab 9, so buat bab 10 dulu. Tapi penyakit malas semakin menguasai diri. Akhirnya, aku berbaring di katil sambil bertemankan lagu-lagu yang berkumandang di radio Era. Dina cutilah pulak dan diganti dengan Fia.

Bila pukul 10, rasa lagu-lagu tu dah mula bosan. So, aku tukar siaran X fm pulak. Lagu Hujan tengah ke udara. Layanlah. Lepas tu, lagu Hujan lagi. Lepas tu, lepas tu pun lagu Hujan. Rupa-rupanya radio tu tengah siarkan konsert Hujan. Oho, bagus betul layan Hujan tengah tak ada idea ni. Untung-untung boleh tarik mood untuk sambung buat manuskrip ke-2 memandangkan manuskrip kali ni ada kena-mengena dengan Hujan...hehe...

Dah lama tak dengar cerita pasal Hujan tapi apa yang aku tahu band dia orang masih bertahan dalam industri. Biar apa pun orang kata, aku tetap sokong Hujan dari mula-mula dia orang muncul dulu dengan lagu 'Ludah Amerika' kat my space dan sampai bila-bila. Bila dengar radio tu, mulalah nak mengimbas kenangan. Hehe...