Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Khamis, 26 November 2020

Di Sebalik Tabir: Puaka Tandas Sekolah

Puaka Tandas Sekolah (Penerbit X)

Last saya tulis cerpen Disember 2019 dalam komik Lawak Budak Sekolah, Mana Papa? terbitan Komik M. Kali ni, sekali lagi saya menulis bersama satu lagi jenama di bawah PTS iaitu Penerbit X.

Sebenarnya tak terfikir pun boleh menulis cerita seram. Pada awalnya, saya saja-saja e-mel tuan editor untuk tahu pasal manuskrip cerita remaja. Tapi tak lama kemudian, tuan editor mesej saya di Facebook dan bertanyakan sama ada saya berminat nak tulis cerpen seram ni.

Mula-mula tu memanglah macam tak yakin sebab dulu pernah juga cuba tulis cerita seram bersama rakan-rakan penulis yang lain tapi sudahnya habuk pun tak ada! Macam mana nak tulis kalau baru bayangkan aje dah naik bulu roma!

Lepas fikir-fikir, akhirnya saya buat keputusan untuk sahut cabaran ini! Maka, bermulalah sesi perah otak untuk cari idea memandangkan tuan editor kata tak nak cerita hantu yang balas dendam atau hantu yang saja-saja kacau orang. Bayangkan betapa banyaknya buku seram yang perlu dihadam termasuk komik semata-mata nak tulis cerpen ni. Tak cukup pula tu, paksa diri tengok cerita-cerita seram untuk kaji idea dan jalan cerita genre ini.


Siri Puaka terbitan Penerbit X


Cabaran tulis cerita seram ni ialah saya tak ada pengalaman seram walaupun pernah duduk asrama waktu kat UiTM dulu. So, susah sikit nak dapat feel. Tapi bila dah dapat feel, dengar bunyi air menitik dekat bilik air pun dah terkejut! Kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam mimpi!

Sebelum siri puaka ini terbit, sepatutnya ada novel mini saya yang terbit sempena pesta buku tapi disebabkan PKP, penerbitan novel mini itu terpaksa ditangguhkan. Tup, tup, Puaka Tandas Sekolah ini pula yang terbit dulu! Harapnya lepas ni tuan editor masih sudi terima cerpen saya untuk siri puaka ni...

Sabtu, 21 November 2020

Sudah Terbit!



Ketika Lara sedang tekun menyental lantai, tiba-tiba bunyi air mengalir daripada pili kedengaran. Dia melepaskan keluhan kasar. Waktu dia sedang membersihkan tandas, ada pula orang yang suka-suka hati masuk ke dalam tandas itu. Dia berpaling ke arah singki untuk menegur, tetapi mulutnya terkunci apabila mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ.

“Dah buka, tapi tak reti pula nak tutup,” rungut Lara lalu menutup pili air itu. Namun ketika dia berpaling untuk menyambung kerjanya yang tergendala tadi, pili air itu terbuka semula. Langkahnya terhenti. Lara mula berasa tidak sedap hati. Terbayang makhluk hodoh yang dia pernah nampak di dalam cermin tandas itu.

Tiba-tiba air yang keluar daripada pili itu semakin deras. Semakin lama, air yang keluar berubah warna sehingga akhirnya menyerupai warna darah! Air di dalam singki itu terus melimpah dan membasahi lantai. Bagaikan tsunami, air darah itu kemudian menelan dirinya!

Tiga kisah yang berlaku dalam buku ini mungkin pernah benar-benar berlaku kepada kawan kepada kawan kita, atau sepupu kepada kawan kepada kawan kita. Yakinlah, alam ghaib itu wujud. Ia sentiasa menjadi misteri kepada kita, dan rahsia kepada orang-orang yang dianugerahkan Tuhan untuk melihatnya.

Beli di sini: Bookcafe

Khamis, 7 Mei 2020

My Honey, Hani di e-Sentral

Orang kata yang pertama selalunya istimewa. Kalau tak ada yang pertama, maka tak adalah dua, tiga, dan seterusnya.... Novel My Honey, Hani ialah novel pertama saya yang diterbitkan pada tahun 2010 di bawah rumah penerbitan KarnaDya Solutions setelah dua tahun menunggu.

Kini, setelah 10 tahun, kisah Dimas dan Hani ini masih dapat dibaca dalam versi e-Book di e-Sentral.




Kepada mereka yang sudah baca dan komen sejak novel ini diterbitkan, terima kasih banyak-banyak. Walaupun novel ini mungkin biasa-biasa sahaja dan tidak bestseller pun tapi apabila ada pembaca yang kata mereka suka cerita ini, segala penat-lelah menghasilkan novel ini terasa hilang.

Ahad, 22 Mac 2020

Duduk Rumah Challenge?

Seronoknya cuti! Tapi tak boleh keluar jalan-jalan? Bagi orang yang sudah biasa duduk di rumah pasti tiada masalah. Tapi bagi orang yang suka berjalan, mesti susah sikit nak lekat dekat rumah tu, kan? Tapi kalau diikutkan, kita masih dikira bertuah sebab cuma tak boleh keluar rumah saja. Cuba fikir orang yang sedang dalam pantang bersalin atau orang yang berada dalam tempoh iddah (kerana kematian suami), bukan setakat tak boleh keluar rumah tapi banyak pantang larang lain lagi yang perlu dipatuhi tau! 

Fikir dari sudut positif. Jika dulu kita kurang masa dengan keluarga, inilah masanya untuk kita bersama. Jika dulu kita terlalu sibuk dengan kerja, inilah masanya untuk kita berehat. Jika dulu kita kurang beramal ibadat, inilah masanya kita lipat gandakan. Jika dulu orang asyik kata kita kurus macam tak cukup makan, inilah masanya kita nak ternak lemak dalam badan. Eh?

Bagi adik-adik yang bersekolah, manfaatkanlah masa cuti yang panjang ini dengan membaca. Tak kisahlah baca buku pelajaran, buku cerita, novel, komik ataupun bahan bacaan daripada Internet. Selain dapat menambah ilmu, masa kita juga tidak terbuang begitu sahaja.


Sambil baca, sambil makan.


Okey, kalau semua buku dekat rumah tu sudah habis dibaca, boleh cuba jenguk portal ini pula, Learning Port Interactive. Dalam portal ini terdapat My Lessons dan Question Bank untuk subjek Bahasa Melayu, English, Matematik, Sains dan Sejarah daripada tahun satu sampailah tingkatan lima. Bukan setakat baca nota macam dalam buku tu, dalam ini juga adik-adik boleh tengok video animasi dan buat latihan secara interaktif. Tapi sebelum itu, kena daftar atau langgan dahulu ya. 


Layari https://learningport.com.my/ untuk maklumat lanjut.


Kalau tak nak ada yang baca-baca, boleh juga layari channel YouTube Learning Port Interactive. Dalam channel itu juga ada banyak video pembelajaran yang disampaikan dalam bentuk animasi. Mesti adik-adik enjoy punyalah!


Channel YouTube Learning Port Interactive.


Empat belas hari tu tak lama pun sebenarnya. Sedar-sedar dah habis 14 hari. Jangan lepas 14 hari kita rasa tak cukup sudah!

Sabtu, 7 Mac 2020

Akan terbit sempena PBAKL 2020!

Setelah lima tahun tak ada novel baharu...

Yes, I'm back!



“AWAK kena paksa kahwin dengan mak awak?” soal Aulia seraya memandang wajah Sufian tanpa berkelip. Seolah-olah dengan berbuat begitu, dia dapat membaca fikiran Sufian.
            Sufian tersengih lalu menggeleng.
            “Atau awak akan mewarisi harta tapi awak kena kahwin dulu baru harta tu akan jadi hak awak?” Aulia menebak lagi.
            Sufian menggeleng lagi.
            “Ada perempuan kejar awak dan awak terpaksa kahwin untuk buat dia putus asa dengan awak?”
            Sufian tertawa kecil.
            “Awak ni mesti banyak sangat baca novel, kan?” Sufian mengembalikan soalan kepada Aulia. “Saya tahulah awak ni penulis tapi semua tekaan awak tadi tak ada satu pun yang betul.”
            Aulia mencemik.
“Habis tu, kenapa tiba-tiba saja awak ajak saya kahwin pula?” soal Aulia tak puas hati. Kalau semua alasan yang dia utarakan tadi bukan sebabnya, habis tu sebab apa lagi?
            “Awak tak sudi ke?” Sufian menjungkit sebelah keningnya.


*****

“Jom kita dating!”
            Bulat mata Aulia mendengar ayat yang dilontarkan oleh Sufian. Dating? Sufian ingat mereka masih muda remaja ke nak dating segala bagai? Lagipun, bukan ke pasangan yang bercinta sahaja yang keluar dating?
            “Awak merepek apa ni? Bila pula kita ni bercinta?” marah Aulia namun masih dalam nada yang perlahan.
            “Dah saya ajak awak kahwin, awak tak nak. Jadi, apa kata kalau kita dating dulu? Kenal-kenal, nak?” Sufian memandang Aulia tanpa berkelip menunjukkan yang dia serius dengan kata-katanya.
            Aulia mati kata. Kalau dilihat dari segi luaran, Sufian nampak macam orang alim-alim. Tapi, dia tidak sangka pula Sufian pandai hendak dating-dating juga.
            “Saya tak ada masa nak dating.”


*****


“Siapa yang bagi bunga tu?” Tiba-tiba, Sufian bersuara. Ada cemburu dalam nada suaranya.
            “Bukan awak ke yang bagi?” Sengaja Aulia bertanya kembali.
            “Taklah, saya tak mainlah bagi-bagi bunga, coklat atau hadiah ni. Kalau saya suka seseorang tu, saya cakap saja terus pada orang tu...” ujar Sufian selamba.
            Aulia mencemik.
“Lagipun...” Sufian menggantung ayatnya.
“Lagipun, apa?” Aulia menoleh mencari wajah Sufian yang lebih tinggi daripadanya. Kalau berdiri sebelah, dia cuma separas bahu Sufian sahaja.
            “Bukan ke saya dah bagi hati saya dekat awak? Buat apa saya nak bagi bunga lagi?” Sufian berbisik dekat dengan telinganya.
Perbuatan Sufian yang tidak dijangka itu membuatkan Aulia kaku di situ. 

Selasa, 25 Februari 2020

Berita Baik 20.02.2020

Ramai yang pilih tarikh ini untuk berkahwin tapi saya sendiri tidak menyedari bahawa khabar gembira ini juga saya terima pada tarikh yang cantik ini. Alhamdulillah, akhirnya tahun ini dapat juga lahirkan 'baby'.

Novel ke-10!

InsyaAllah, jika semuanya berjalan lancar, dapatlah Aulia dan Sufian menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini. 

Selasa, 21 Januari 2020

LBS Bumper Sudah Masuk Kedai Buku!

Sudah 21 hari kita berada pada tahun 2020! Seperti yang telah diuar-uarkan, buku Lawak Budak Sekolah (Isu Bumper) sudah pun diedarkan ke kedai-kedai buku di seluruh Malaysia. Jadi, boleh cari di kedai buku yang berhampiran dengan tempat anda ya. 

Komik-M di Pustaka Rakyat Bangi. (Gambar: Froggypapa)

Pada 20 Januari 2020, genaplah 3 tahun allahyarham Jefferi Abdul Rahman atau lebih dikenali dengan nama pena Poyo pergi meninggalkan dunia ini. Namun begitu, karya-karya beliau masih lagi mendapat tempat dalam hati pembaca. 

Sebenarnya komik Lawak Budak Sekolah merupakan kebangkitan semula beliau selepas jualan Kecemprengman kurang mendapat sambutan di pasaran pada suatu ketika dahulu. Sejujurnya, saya amat kagum akan semangat beliau yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa mencari idea baharu demi minat yang mendalam terhadap industri kartun/komik. Hasilnya, Lawak Budak Sekolah kini sudah ada empat buah buku (yang dilukis oleh beliau) mengatasi Kecemprengman.

Jika beliau berputus asa ketika itu dan berhenti melukis, pastinya anda tidak akan dapat melihat Lawak Budak Sekolah pada hari ini! Dan dengar cerita, karya Kecemprengman juga akan disambung! Siapakah pelukisnya? Sama-sama kita nantikan kemunculannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020 ini!