Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Khamis, 26 Disember 2013

Nasi Lemak Krismas

Sebenarnya saya ini bukanlah pandai sangat memasak pun. Hanya selepas berkahwin setahun yang lalu, barulah saya merajin-rajinkan diri memasak pelbagai hidangan. Resepi pun tengok dalam Internet aje. Ada yang boleh ditelan anak tekak dan ada juga yang menjadi santapan bakul sampah. Hehe~
 
Mula-mula, saya akan mencuba resepi yang mudah-mudah aje dulu dan bergantung pada cara memasak serta peralatan yang diperlukan. Kalau peralatan tu tak ada kat rumah, memang kirim salam ajelah jawabnya.
 
Jadi, sempena cuti Krismas semalam, tiba-tiba rasa nak buat nasi lemak pula. Maka, gigihlah mencari resepi dalam Internet. Sebelum ni pernah juga cuba buat sambal nasi lemak tapi tak menjadi. Mungkin resepi salah kut. Ahak~
 
Dengan semangatnya pagi-pagi lagi saya ajak suami ke pasar untuk beli bahan-bahan. Kalau nak dikira, ini kali ketiga saya cuba buat sambal nasi lemak ni.
 
Alhamdulillah, akhirnya menjadi juga sampai suami kata, "Lepas ni, tak payahlah makan nasi lemak kat kedai lagi."
 
 
 
 
Senang hati bila suami makan bertambah. Hehe~

Sabtu, 14 Disember 2013

AMA... Cetakan ke-2 dengan Wajah Baru

Inilah dia wajah baru novel kanak-kanak pertama saya, Aina Masuk Asrama, yang telah pun memasuki cetakan kedua. Novel ini diterbitkan buat pertama kalinya pada bulan Mei 2012 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

 


Terima kasih kepada pihak Ana Muslim dan editor yang percaya akan karya saya. Insya-Allah, saya akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pembaca kanak-kanak saya.

Selasa, 26 November 2013

Checklist

Tak sampai beberapa hari lagi dah nak masuk bulan 12, yakni bulan terakhir untuk tahun 2013. Macam biasa, bila dah akhir-akhir tahun ni mesti tergerak hati nak buat checklist untuk novel-novel yang dah diterbitkan.
 
Kalau diperhatikan, corak penerbitan novel saya ni macam ada suatu pattern.
 
Tahun
2009 = 1 buku antologi cerpen (bersama penulis lain)
2010 = 3 novel
2011 = 1 buku antologi cerpen (bersama penulis lain)
2012 = 3 novel
2013 = 1 novel
2014 = ?
 
Okey, kalau nak diikutkan pattern ni, patutnya tahun depan saya kena ada 3 novel yang harus diterbitkan. Fikir kejap.
 
Alhamdulillah, 2 manuskrip saya yang ada pada penerbit sudah diberi jawapan oleh penerbit dan khabarnya akan diterbitkan pada tahun hadapan. Jadi, saya perlu tambah 1 novel lagi. InsyaAllah, cukup kut 3 novel tahun depan. Hehe~

Khamis, 24 Oktober 2013

AMA Diulang Cetak

"Kak Aimi, Novel 'Aina Masuk Asrama' dah buat cover baru tau. Sebab nk cetak lg. Tahniah!"

Begitulah perkhabaran daripada editor novel kanak-kanak saya semalam. Alhamdulillah, laku juga novel kanak-kanak pertama saya ni, ya.

Saya teringat sewaktu saya menulis manuskrip Aina Masuk Asrama ini pada awal Januari 2012 dulu. Waktu itu semangat saya memang sedang berkobar-kobar. Dalam jangka masa tidak sampai sebulan, manuskrip sudah siap. Pendek kata, memang cipta rekodlah. Tambahan pula, Aina Masuk Asrama merupakan percubaan pertama saya dalam penulisan novel kategori kanak-kanak.

Selang 4 bulan kemudian, dapatlah saya memegang 'baby' saya ini.




Tapi bila baca ayat seterusnya daripada editor...
 
"Bila nk smpai manuskrip baru ni... Hehe."
 
Err... Garu kepala sekejap. Huhu~ Masih ada baki 5 bab lagi. Entah bilalah mood menulis nak datang balik. Ditambah pula dengan kerja-kerja lain yang menimbun. Bukan ke bagus kalau semangat waktu menulis manuskrip Aina Masuk Asrama dulu muncul semula...

Selasa, 22 Oktober 2013

Satu Tahun Dua Bulan

Entah mengapa telefon bimbit saya yang selalunya senyap sunyi kerap pula berbunyi hari ini. Satu tabiat saya, apabila melihat nombor yang tidak dikenali, saya tidak akan menjawab panggilan tersebut. Tetapi tak tahu kenapa hati saya terdetik untuk menjawab panggilan yang satu ini.
 
Dan ternyata panggilan itu membawa 1001 macam perasaan kepada saya. Selama setahun lebih saya menantikan panggilan ini, akhirnya hari ini doa saya termakbul. Ya, panggilan yang membawa perkhabaran tentang manuskrip cinta kedua saya selepas My Honey, Hani.
 
InsyaAllah, jika tiada apa-apa aral melintang, dapatlah kita memegang 'baby' saya ini. Apa-apa pun, doakanlah agar semuanya berjalan dengan lancar ya.  

Sabtu, 12 Oktober 2013

Puteri Duyung dan Lari, Gunung Berapi Meletus!

Tengah 'tinjau-tinjau' blog yang sudah lama tak update ni, saya ternampak entri baru yang memaparkan dua cover komik ini.
 
 
 
 
 
Apa kena-mengena kedua-dua komik ini dengan saya? Ha! Kalau nak tahu, sila perhatikan nama penterjemah yang tertera pada cover ya. Hee~ Err... disebabkan itulah kerja-kerja menulis kadang-kadang jadi agak perlahan.

Jumaat, 23 Ogos 2013

Cabaran Masterchef

Kawan-kawan ofis saya bercadang untuk mengadakan jamuan hari raya bagi semua staf muslim. Tapi sayangnya, dapur rumah saya tidak dapat digunakan buat sementara waktu memandangkan ada kerja-kerja ubah suai yang sedang dijalankan.
 
Saya tak tahu nak masak apa. Tapi ada kawan-kawan ofis yang mencadangkan saya membawa kuih atau kek yang saya pernah bawa ke ofis seperti kek batik, kuih sagu dan agar-agar lumut. Tapi semua resepi itu memerlukan dapur gas untuk memasak.


Cabaran:
Sediakan satu hidangan tanpa menggunakan dapur memasak
 

Fikir punya fikir, akhirnya saya dapat idea nak buat Kek Keju Dingin! Kek keju jenis ini juga saya pernah bawa ke ofis. Tapi kali ini, saya nak buat lain sikit. Jadi, saya pun gigihlah mencari resepi dalam Google dan Youtube.


 
 
 
Okey, rupa-rupanya nak buat kek ini lebih senang daripada buat kek batik. Tak payah masak pun. Cuma guna peti sejuk. Hee~ Dan akhirnya, saya berjaya membuat Kek Keju Lemon tanpa menggunakan oven! Eh, adalah juga guna oven untuk cairkan mentega. Hehe~ Beginilah rupa keknya.
 
 
Rupa kek keju lemon yang sudah dipotong
 
 
Alhamdulillah, bekas berisi Kek Keju Lemon yang dibawa ke ofis untuk jamuan raya habis licin dalam waktu yang singkat. Selepas ini boleh cuba resepi kek keju perisa lain pula.

Selasa, 13 Ogos 2013

Kembali Normal

Cuti raya dah pun habis. Kehidupan kembali normal.
 
Tinggal kurang lima bulan sahaja lagi sebelum tahun 2014 menjelma.
 
Perlu menyelesaikan hutang-piutang manuskrip dengan segera!

Manuskrip A - baru siap 1 bab (ada 9 bab lagi, ermmm.... dalam 130 muka surat)
Manuskrip B - masih tersekat di bab 1 (tapi klimaks dan penamat sudah tulis)

Tapi tiba-tiba rasa nak siapkan manuskrip C yang dah lama tergendala.

Lepas tu mula teringat manuskrip D, E, F.... arrrghhhh!

Eh, sebelum tu, nak balas kad raya yang tiga keping tu dulu! Hee~

Rabu, 7 Ogos 2013

Pantun Raya





Tahun ini beraya di Kuantan,
Namun yang jauh tetap dalam ingatan,
Salah dan silap mohon diampunkan,
Bertemu lagi kiranya berkesempatan.





Isnin, 22 Julai 2013

Block

Waktu suami saya kata Facebook di ofisnya sudah kena block, saya kata kepada dia, "Cubalah hidup tanpa Facebook."

Tiba-tiba hari ini saya dapat berita yang ofis saya juga mahu block Facebook. Okey, fine! Facebook saja, kan?

Sudah pasti tidak!

Katanya, Twitter dan termasuklah Skype yang kami gunakan untuk berinteraksi antara satu sama lain sekarang ini akan turut di block.

Waktu di bangunan lama, Facebook memang di block tapi pada waktu ofis saja. Jadi, kami masih boleh guna Facebook pada waktu rehat. Tapi sekarang, macam mahu block terus saja.

Okey, fine!

Block sajalah Internet di ofis ini.

Mujur saya masih ada blog ini.

Sebenarnya saya tidak kisah pun kalau ofis mahu block Facebook tapi nak buat apa waktu rehat dalam bulan puasa macam ni kalau tak ada Facebook?

Selasa, 16 Julai 2013

Take it or leave it?

Semalam dalam perjalanan pulang ke Shah Alam dari Kuantan, saya menemani suami singgah ke sebuah syarikat penerbitan. Kebetulan, saya juga mengenali beberapa staf di sana lantaran saya pernah menjalani latihan praktikal di situ.
 
Tatkala suami saya sedang bersembang dengan sekumpulan staf, saya pula bersembang dengan seorang staf yang saya kenal yang juga adalah kawan saya. Dalam berbual-bual itu, dia menawarkan 'projek' kepada saya. Bayangkan, dahulu bukan main susah saya mahu menembusi syarikat penerbitan ini tetapi tiba-tiba sahaja salah seorang stafnya memberi peluang kepada saya untuk menulis dengan syarikat penerbitan ini.
 
Sebenarnya saya tidak yakin yang saya mampu menepati konsep buku yang ditawarkan itu. Sangat sukar rasanya. Tambahan pula, waktu itu kepala saya agak pening kerana saya tidak berapa sihat. Namun kawan saya itu beria-ia suruh saya menulisnya. Saya tidak berani berjanji, maka saya meminta contoh naskhah yang sudah siap untuk dibuat kajian.
 
Dari satu sudut lain, saya tahu ini peluang untuk saya bekerjasama dengan penerbit lain selain One Nusantara dan Ana Muslim. Mungkin saya patut beri peluang kepada diri sendiri untuk mencuba.

Sabtu, 13 Julai 2013

Al-Fatihah buat Sahabat

Tatkala mendapat berita itu, saya rasa macam tak percaya. Rasa macam bermimpi pun ada juga. Saya rasa macam baru sahaja saya jumpa dia di pesta buku awal tahun lepas. Tiba-tiba saya diberitahu yang dia telah tiada... Ya, dia telah meninggalkan dunia ini. 

Saya tidak ingat bila tetapi saya pernah diberitahu yang dia mungkin menghidap kanser otak oleh seorang kawan. Namun melihatkan keceriaannya dalam Facebook, saya seperti tidak percaya yang dia benar-benar menghidap kanser. Sewaktu kami berjumpa, dia masih seperti dulu. Seorang yang ceria tetapi seperti sudah kurang bercakap.

Saya ada mengabadikan perwatakannya dalam salah sebuah manuskrip saya. Tetapi sayangnya, saya tidak sempat beritahu dia yang watak itu saya tulis berdasarkan perwatakannya. Saya tidak sempat beritahu dia kerana dia telah pergi dulu sebelum novel itu terbit....

Al-Fatihah, sahabat. Semoga rohmu tenang di sana.



Khamis, 27 Jun 2013

Cerita di dalam Tren

Cerpen saya yang bertajuk Cerita di dalam Tren tersiar dalam majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf untuk keluaran 28 Jun - 4 Julai. Tapi ada sedikit kesilapan pada nama penulisnya.






Rasanya dah lama tak hantar cerpen kepada MW. Kali terakhir bulan 12 tahun lepas. Sementara nak tunggu novel baru keluar, bolehlah tulis-tulis cerpen.

Ahad, 9 Jun 2013

Nama Watak

Walaupun pada hakikatnya nama tu bukanlah sesuatu perkara yang besar dalam sesebuah cerita tapi adakalanya nak cari nama wataklah yang paling susah. Bagi saya, nama watak juga memainkan peranan dalam menaikkan mood menulis. Kalau tak dapat nama watak yang sesuai, memang macam tak ada mood pula nak menulis.
 
Contohnya untuk sebuah manuskrip kanak-kanak ini, saya sudah puas memerah otak memikirkan nama yang sesuai untuk watak utama ini tapi tak ada suatu nama pun yang terlintas dalam kepala. Sudahnya, cerita pun entah ke mana. Tapi bila dah dapat nama watak, lancar saja jari-jemari ni menekan papan kekunci. Hehe~
 
Untuk cerita kanak-kanak biasanya saya akan gunakan nama yang mudah nak diingat macam Aina (Aina Masuk Asrama), Wawa (Mama Sayang Wawa), Amalina (Aku Nombor Satu) dan Zara (manuskrip dalam pembikinan). Memandangkan sekarang saya menjadi penonton setia Masterchef Selebriti, jadi nama Syanie dan Enot pun macam melekat kuat dalam kepala. Mungkin sebab nama dia orang simple dan mudah disebut.
 
Kalau tak silap, rasanya macam dah banyak novel yang guna nama Zara ni. Tapi tak kisahlah, hati dah berkenan dengan nama tu. Huhu~

Sabtu, 1 Jun 2013

Jom serbu booth Ana Muslim!



Waktu kali pertama datang sabtu yang lepas, saya tak perasan pun ada banner ini. Khamis baru ini baru perasan. Wah! Tergamam sekejap. Terharu pun ada. Hee~
 
Tahun lepas saya ada dua novel kanak-kanak yang diterbitkan iaitu Aina Masuk Asrama dan Mama Sayang Wawa. Jadi, tahun ini pun kalau boleh nak terbitkan satu lagi novel kanak-kanak selepas Aku Nombor Satu. Idea sudah ada tapi nak pergi buat kajian pasaran dulu.
 
 
Aku Nombor Satu di Pesta Buku Selangor, SACC.
 
 
Kepada sesiapa yang datang ke SACC hari ini, jangan lupa dapatkan novel-novel di booth Ana Muslim ya!

Jumaat, 24 Mei 2013

Pesta Buku Selangor 2013

 
 
 
Hari ini saya sempat meluangkan masa berkunjung ke SACC sempena Pesta Buku Selangor yang berlangsung bermula pada hari ini hingga 3 Jun nanti. Seperti biasa, saya akan 'menjenguk' anak-anak saya di booth bagi mengetahui sambutan pembaca. 
 
Tapi saya tidak nampak novel Aina Masuk Asrama di booth Ana Muslim. Yang ada cuma Mama Sayang Wawa dan Aku Nombor Satu. Selepas berjalan-jalan di sekitar dewan, akhirnya saya cuma membeli sebuah novel saja sebab novel-novel yang dibeli waktu PBAKL yang lepas pun ada yang tak habis baca lagi. Huhu~
 
Selepas mengunjungi SACC, saya dan suami singgah di SACC Mall pula sebab saya nak beli baju. Entah kenapa saya gila beli baju sekarang ni. Anggap saja hadiah selepas penat bekerja siang dan malam. Hehe~.
 

Rabu, 15 Mei 2013

Cerita Hari Ini

Setelah 5 tahun tidak menjejakkan kaki ke sini, akhirnya hari ini saya kembali lagi ke sini. Bukan untuk sambung belajar tapi cuma jenguk adik nombor 4 yang konvo.
 
 
 
 
Bila dengar lagu 'UiTM di Hatiku' dan 'Wawasan Setia Pelajar' (sekarang 'Wawasan Setia Warga UiTM', rasa rindu pulak zaman belajar dulu. Banyak kenangan pahit manis suka dan duka tercipta di sana. Kenangan bercinta tak ada ya. Hehe~
 
 
Tahniah, Rahim (^____^)
 
 
Selepas menghadiri konvokesyen adik, saya pun mengambil peluang untuk menjenguk ke MPH, SACC Mall, Shah Alam lalu terjumpa ini...
 
 
Aku Nombor Satu di MPH, Shah Alam.
 
 
Jadi, kepada sesiapa yang tidak berkesempatan membeli Aku Nombor Satu kat PWTC yang lalu, anda bolehlah membelinya di kedai-kedai buku yang berhampiran dengan rumah anda ya. Kepada sesiapa yang sudah mendapatkannya, terima kasih banyak-banyak.


Jumaat, 10 Mei 2013

Tentang Cinta diulang cetak

Pertama kali tengok cover baru TC ni, rasa macam keluar buku barulah pula. Hehe~ Selain perubahan cover, khabarnya kandungannya juga ada sedikit penambahan. Namun begitu, cerpen saya masih kekal tiga - Drebarku Sayang, Cuma Dia dan Hari Bersamanya.


Cover baru.
 
 
Cover lama.
 
 
Berita baik! Buku ini juga akan dipasarkan di Kedai Buku 1 Malaysia dalam sedikit waktu sahaja lagi. Jadi, kepada sesiapa yang masih belum mendapatkan buku ini, bolehlah dapatkan buku ini di sana ya.

Jumaat, 3 Mei 2013

Cerita KLIBF 2013

Belum sempat penat hilang selepas balik dari Bandung (Indonesia), saya tidak mahu melepaskan peluang untuk sama-sama merasai kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung di PWTC. Maka, sempena hari cuti Hari Buruh 1 Mei yang lalu, saya mencuri masa untuk datang ke PWTC bersama suami.
 
Masuk PWTC saja, saya sudah Nampak booth Blink Book. Maka, saya singgah di situ untuk membeli novel Aku Mahu Jadi Novelistar dan Pink Riding Hood dan Serigala Tembam. Ketika saya sedang membelek-belek buku di situ, saya disapa dari depan. Oh, rupanya penulis Izanor Sharif! Alang-alang sudah berjumpa, saya minta dia menandatangani novel Pink Riding Hood dan Serigala Tembam walaupun saya belum bayar. Hee~ Dek kerana orang terlalu ramai, saya terpaksa meminta diri selepas bersembang seketika untuk mencari buku-buku yang sudah ada dalam kepala saya.
 
Ketika melintasi booth Popular, saya terlihat novel Biarkan YM Terus Berbicara. Dalam kepala saya terfikir, bukankah ini sambungan novel Biar YM Berbicara? Saya tidak tahu pula novel sambungannya sudah diterbitkan. Maka, tanpa berfikir panjang, saya terus mencapai novel tersebut lalu beratur di kaunter bayaran memandangkan novel itu hanya dijual secara eksklusif di Popular.
 
Tiba di booth Ana Muslim, saya terus mencari 'anak' ketiga saya di rak. Saya agak terkejut apabila melihat buku tersebut hanya tinggal tiga naskhah. Alhamdulillah, nampaknya sambutan terhadap buku ini amat menggalakkan.
 
 
Aku Nombor Satu di booth Ana Muslim.
 
 
Ketika saya sedang sibuk memilih buku, saya disapa oleh editor buku-buku saya yang selama ini hanya berhubungan dalam Internet. Selepas bersembang seketika, saya dihubungi oleh seorang teman baik yang membawa seorang rakannya untuk membeli novel Kugiran SMART. Memandangkan rakannya itu adalah pembaca yang bertuah, maka saya hadiahkan dia sebuah keychain berbentuk gitar dan sebatang pen kayu yang saya beli dari Bandung.
 
 
Untuk pembaca bertuah saja.
 
 
Selesai urusan jual beli, saya pun kembali semula ke booth Ana Muslim untuk memborong novel-novel yang dipesan oleh kakak saya. Kemudian, saya naik ke tingkat 3 untuk mencari booth KarnaDya. Nampaknya novel pertama saya, My Honey, Hani, masih ada dijual di booth itu.

Kemudian, saya singgah di booth Fajar Pakeer untuk membeli novel Korea I'm in Love dan Sampai Bila sebelum bergerak pulang.  
 
 
Inilah buku-buku yang sempat saya beli.
 
 
Dalam pukul 4.30 petang, saya dan suami pun gerak untuk balik. Seperti yang dijangka, orang terlalu ramai hari ini. Maka, kami terpaksa pulang awal dan tidak dapat berlama-lama. Rasa sedih pula mahu tinggalkan PWTC kerana saya tidak sempat berjumpa dengan rakan-rakan penulis yang lain. InsyaAllah, tahun depan kita jumpa lagi.


Jumaat, 26 April 2013

Pesanan KLIBF 2013

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 sudah pun bermula hari ini. Namun sayangnya, tahun ini saya tidak dapat turut serta untuk berkongsi kemeriahan tersebut memandangkan esok saya akan berangkat ke Bandung, Indonesia dan akan berada di sana hingga hari selasa nanti manakala hujung minggu seterusnya pula saya akan pulang ke kampung untuk mengundi.
 
Apa-apa pun, kepada anda yang ingin mendapatkan novel kanak-kanak "Aina Masuk Asrama", "Mama Sayang Wawa" dan "Aku Nombor Satu", anda bolehlah mendapatkan ketiga-tiga buku ini di booth Ana Muslim yang terletak di Dewan Mawar (M13-M21 & M32).
 
 
 
Bagi anda yang ingin mendapatkan novel remaja "Budak SMART" dan "Pemuja Rahsia" pula, anda bolehlah mendapatkan novel-novel ini di booth Gemilang Publishing yang terletak di Legar Putra (L060 & L061).
 
 
 
InsyaAllah, saya akan cuba meluangkan masa ke sana pada 1 Mei nanti (^____^)

Ahad, 21 April 2013

Agar-agar Lumut - Percubaan Kedua

Percubaan kedua, akhirnya dapatlah 2 layer macam dalam gambar yang diambil daripada Google ni. Itu pun atas tunjuk ajar ibu saudara suami (Ucu) yang tinggal di tingkat bawah rumah kita orang.
 
 
Gambar Google
 
 
Agar-agar yang saya buat.
 
Agar-agar yang sudah dipotong.
 
 
Pada mulanya, suami mintak buatkan agar-agar ini lagi. Maka, kita orang pun pergilah ke rumah Ucu untuk ambil daun pandan di belakang rumahnya. Kemudian, borak-borak dengan Ucu, dia pun beri tip macam mana nak buat 2 layer tu dan siap beri pinjam bekas. Oo... patutlah kali pertama buat hari tu layernya tak menjadi. Hee~

Sabtu, 20 April 2013

Agar-agar Lumut

Bahan-bahan nak buat agar-agar ni memang dah lama beli tapi asyik terlupa aje nak buat sebab sibuk dengan kerja. Malam kelmarin baru sempat buat dan seperti biasa selain suami saya, saya akan beri kawan-kawan ofis rasa untuk beri komen.  




Sepatutnya agar-agar ini ada dua layer macam gambar kat bawah ni tapi entah macam mana jadi satu layer aje padahal memang dah ikut resepi. Hehe~ 
 



Tapi tak kisahlah dua atau satu layer pun, asalkan suami kata sedap pun dah cukup. Bila bawak pergi ofis pun, habis licin 'dikerjakan' oleh kawan-kawan. (^____^) 

Ahad, 31 Mac 2013

Aku Nombor Satu

Inilah tajuk novel terbaru saya (^____^)
 
 
Novel ketiga bersama Ana Muslim.
 
 
Tapi cerita ini bukan kisah diva atau artis popular yang nak jadi nombor satu tau. Cerita ini tentang Amalina yang selalu mendapat nombor satu di dalam kelas dan mahu menjadi nombor satu sampai bila-bila. Tapi tup tup Najihah pula memintas markahnya dan mendapat nombor satu. Mestilah Amalina tak puas hati dan cuba merampas kedudukan nombor satu kembali. Berjayakah dia? 
 
Kalau nak tahu ceritanya, kau orang kenalah datang ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 di PWTC nanti untuk mendapatkan novel ini. Bagi yang belum membaca novel Aina Masuk Asrama dan Mama Sayang Wawa, bolehlah memborong ketiga-tiga novel ini sekali gus!

Jumaat, 29 Mac 2013

28 (^___^)


Daripada suami tersayang




Daripada kawan-kawan ofis





Daripada Ana Muslim



dan kepada semua yang wish, SMS, Facebook....


TERIMA KASIH (^____^)

Isnin, 18 Mac 2013

Kuih Sagu

Saya baru tahu yang nama kuih ini adalah kuih sagu. Hee~ Tengok resepi macam senang, jadi saja-saja cuba buat. Alhamdulillah, menjadi.
 
 


Mulanya rasa takut nak beri orang lain rasa tapi mujur kawan-kawan ofis pun kata sedap macam kat kedai (^___^)

Ahad, 10 Mac 2013

Senyum (^____^)

Apabila seorang rakan penulis bertanya, "Tahun ini berapa novel?" Kemudian, dia mula bercerita tentang editor yang menunggu manuskripnya dan bla bla bla.
 
Terus terang saya tak tahu nak jawab apa. Saya tahu saya tak popular macam dia, tak ada editor yang akan tadah tangan meminta-minta manuskrip.
 
Walaupun novel saya jarang-jarang keluar tapi alhamdulillah masih ada yang percayakan hasil kerja saya. Ya, bidang penerbitan ini luas dan bukan hanya tertumpu pada novel.
 
Selain menulis novel, saya juga terikat dengan komitmen menulis yang lain. Jika saya bercerita tentang kerja-kerja saya yang lain, saya khuatir saya akan terikut-ikut dengan sikap meninggi dirinya itu. Jadi, lebih baik saya diam dan senyum saja.  

Sabtu, 23 Februari 2013

Hobi baru saya ialah memasak :D

Selepas mencuba pelbagai resepi lauk-pauk, tiba-tiba rasa nak buat kek pula. Tapi sebelum buat kek yang susah-susah, kita buat kek yang paling senang dulu (kata orang) iaitu kek batik. Cuma campurkan mentega, susu pekat manis, Milo, serbuk koko, telur dan biskut Marie, dimasak di atas api dan disejukkan di dalam peti sejuk.


Bangun pagi terus bukak peti sejuk untuk tengok hasilnya.


Sebelum ni cuma tengok mak buat dan tahu makan aje, jadi bila dah kahwin ni, nak cuba buat sendiri. Alhamdulillah, pertama kali buat setelah menganalisis beberapa resepi yang berlainan, rasanya lulus kut walaupun rasanya agak manis daripada yang mak buat. Hee~

Selasa, 12 Februari 2013

Aina dan Wawa

Kepada mereka yang berada di Shah Alam, novel Mama Sayang Wawa sudah ada di kedai buku Books etc, Tesco, Shah Alam. Stok baru novel Aina Masuk Asrama juga sudah ada di sana.
 
 
Dua buah novel kanak-kanak saya.

 
Buat pengetahuan anda juga, Ana Muslim akan turut menyertai Ekspo Buku Islam Putrajaya yang akan berlangsung pada 22 Februari hingga 3 Mac ini bertempat di Dewan Cempaka, Presint 3, Putrajaya. Ana Muslim akan berada di booth 011-013. Jangan lupa datang ya.

Ahad, 10 Februari 2013

Tahun Baru Cina Saya

Setelah tiga tahun, tahun ini merupakan tahun pertama saya tak merasa dapat angpau, tak merasa makan besar, tak merasa cuti seminggu dan tak merasa balik kampung pada Tahun Baru Cina sebab saya dah tak bekerja di syarikat orang Cina lagi. Tapi kata along saya, saya ada 'cik abang'! Hee~
 
Dan memandangkan saya sudah ada 'cik abang', maka kami berdua pun menghabiskan masa dengan menonton dua buah filem pada hari ini di Bukit Raja, Klang sebab malas nak pergi KL.
 
 
Waktu tontonan: 11.00 pagi - 12.44 tengah hari
 
 
Waktu tontonan: 2.20 - 4.17 petang
 
 
Walaupun saya tak dapat angpau tapi alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah sejak akhir-akhir ini. Benarlah seperti yang dikata, semakin banyak yang kita beri kepada orang lain, semakin banyak pula yang Allah SWT berikan kepada kita. Justeru, usahlah kita takut untuk memberi.

Ahad, 3 Februari 2013

Hari Ini dan Semalam

Semalam saya sempat meluangkan masa untuk pergi ke PWTC bersama suami. Niat asal cuma mahu berjumpa dengan teman-teman di UiTM dulu sambil melihat-lihat novel-novel baru di sana. Sebelum datang, rasanya macam banyak buku yang nak dibeli. Alih-alih cuma tiga buah buku ini sahaja yang dibeli.
 
 
1 buku RM18, beli 3 cuma RM50.
 
 
Saya juga ada membawa novel Kugiran SMART bersama. Saya beri kepada teman saya. Ketika saya sedang makan bersama seorang teman yang lain, teman saya ini mengirimkan pesanan ringkas untuk memberitahu rakannya berminat mahu membeli novel saya itu. Alamak, saya tidak bawa banyak. Jadi, dia menjual buku yang saya beri kepadanya tadi. Terima kasih, sahabat.
 
Petangnya pula saya bergegas ke Kajang demi memenuhi janji bersama kawan-kawan satu ofis untuk makan steamboat di MAEPS Serdang. Pertama kali makan steamboat, confirm selepas ini saya tidak mahu makan lagi. Haha~ Bukan apa, saya sebenarnya kurang menggemari makanan laut. Rasa kasihan pula apabila perlu mematah-matahkan kaki ketam untuk dimakan. Huhu~
 
 
Gambar ini dicedok daripada Facebook teman.
 
 
Pagi ini pula saya dan teman baik saya di UiTM Puncak Perdana sempat berkunjung ke Karangkraf. Dapatlah lihat Aaron Aziz, Sleeq dan Maria Tunku Sabri secara live walaupun saya bukanlah peminat mereka. Hehe~ 
 
 
 Suasana pada waktu tengah hari.
 
 
Memandangkan buku yang saya cari tiada, makanya saya tidak membeli apa-apa di sini selain air tembikai susu dan bihun sup. Tunggu KLIBF nanti baru borong buku. Hee~

Rabu, 30 Januari 2013

Mahu Memiliki Novel Ini?

Kepada sesiapa yang ingin mendapatkan novel sambungan Budak SMART yakni Kugiran SMART, saya akan berada di PWTC sempena Pesta Buku 1Malaysia pada hari Sabtu (2 Februari) ini.
 
 
 
 
Walau bagaimanapun, saya tidak akan bertugas di booth penerbit. Jadi, anda bolehlah menghantar mesej menerusi Facebook atau e-mel kepada saya untuk menetapkan waktu dan tempat.

Selasa, 15 Januari 2013

Pengalaman 4 Hari di Kota Bandung

Hari pertama
Tiba di Bandung dan disambut oleh Pak Denny dan Pak Andi. Mereka ni kira macam pemandu pelancong kami di sini. Selepas check in hotel, kami pergi makan bakso dan mengunjungi kedai buku Gramedia. Hari ini kami tak banyak berjalan sebab sampai sini pun dah malam dan penat.

Sampai-sampai saja sudah pergi kedai buku. Hee~


Hari kedua
Pak Andi membawa kami melawat Kawah Putih, ladang teh dan strawberi sebelum menikmati makan tengah hari di sebuah restoran yang menyajikan makanan sunda. Selepas itu, kami mengunjungi kedai buku (lagi) dan makan nasi padang untuk makan malam. Dulu selalu dengar orang sebut nasi padang, ingatkan nama sejenis masakan di Indonesia tapi rupa-rupanya sama dengan nasi campur di Malaysia.

Kawah Putih - Tempat ini sangat sejuk sampai kena pakai jaket tebal.


Hari ketiga
Masih ditemani oleh Pak Andi, kami ke Tangkuban Parahu, pasar baru dan kedai buku (kedai buku ketiga di Bandung yang kami pergi). Petangnya, kami makan KFC sahaja. Tapi rupa-rupanya rasa KFC di sini agak berlainan dengan KFC di Malaysia. Malamnya pula, kami cuma memesan makanan di hotel saja.

Nak dijadikan cerita, saya pesan nasi goreng kampung dengan telur mata sapi manakala suami saya pesan mi goreng. Bila makanan sampai, kami tengok ada dua biji telur mata di dalam sebuah piring dan sebiji telur mata di dalam pinggan masing-masing. Rupa-rupanya kedua-dua nasi goreng kampung dan mi goreng kami sudah ada telur mata! Haish~ Membazir sungguh.

Tangkuban Parahu - Kami cuma singgah sekejap saja di sini kerana asyik dikerumuni oleh si penjual.


Hari terakhir
Dari malam sampai pagi, saya menghabiskan masa dengan menonton TV di hotel. Waktu inilah saya dapat menonton rancangan-rancangan yang selama ini hanya dapat ditonton di YouTube. Selepas check out hotel, kami pergi ke kedai kek, kedai buku, pasar baru dan jalan-jalan di mall bagi mengisi masa menunggu waktu penerbangan ke Kuala Lumpur.

Sekian~

Selasa, 1 Januari 2013

Imbauan 2012

Jika disingkap tirai tahun 2012 sejak Januari hingga Disember, tahun ini boleh dikatakan sebagai tahun yang paling produktif buat kerjaya penulisan saya sejak saya ceburi bidang ini pada tahun 2008.
 
Kerjaya penulisan saya pada tahun ini bermula dengan genre baru dan penerbit baru. Novel Aina Masuk Asrama merupakan percubaan pertama saya dalam genre kanak-kanak dan kali pertama saya bekerjasama dengan Ana Muslim. Setelah hampir dua tahun tidak memiliki novel baru, saya berasa seperti kali pertama menerbitkan novel. Tambahan pula, Aina Masuk Asrama dikeluarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC.
 
Novel kanak-kanak pertama, Aina Masuk Asrama.

 
Bulan April juga menyaksikan kali pertama cerpen saya tersiar dalam majalah Mingguan Wanita terbitan Karangkraf. Setelah beberapa buah cerpen yang saya hantar, akhirnya cerpen Pilihan Hati berjaya menempatkan nama saya dalam majalah tersebut. Itu pun saya dapat tahu daripada seorang teman penulis, Rizai Reeani yang mengirimkan SMS kepada saya untuk memaklumkan berita gembira ini.
 
Cerpen pertama yang tersiar dalam Mingguan Wanita.
 

Namun bab kata orang, langit tidak selalunya cerah. Saya menerima khabar yang tidak berapa baik apabila sebuah manuskrip saya ditolak oleh sebuah penerbit tanpa dinyatakan sebab. Sebelum itu juga, sebuah manuskrip remaja saya ditolak oleh penerbit atas faktor dalaman. Saya terpaksa menerima penolakan demi penolakan.
 
Tetapi perasaan hampa saya sedikit terubat apabila sekali lagi cerpen saya iaitu Dia Pasti Datang tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Julai padahal baru dua minggu saya menghantar cerpen tersebut.
 
Cerpen Dia Pasti Datang dalam Mingguan Wanita.
 
 
Enggan terus meratapi kesedihan, saya nekad untuk menerbitkan sendiri novel remaja saya, Kugiran SMART. Berbekalkan pengalaman sebagai editor dan atas bantuan serta sokongan kawan-kawan, akhirnya novel ini dapat diterbitkan pada bulan Ogos.
 
Novel pertama yang diterbitkan sendiri, Kugiran SMART.
 
 
Kemudian, pada bulan Oktober, novel kanak-kanak kedua saya yang diberi judul Mama Sayang Wawa pula lahir. Novel ini juga merupakan terbitan Ana Muslim.
 
Novel Mama Sayang Wawa.

 
Cerpen ketiga saya, Rahsia Najiha pula tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk isu bulan Disember.
 
 Karya penutup bagi tahun 2012.
 
 
Dan sebelum tahun 2012 berakhir, saya berazam untuk menyiapkan sebuah manuskrip kanak-kanak lagi. Alhamdulillah, manuskrip ini sudah pun siap dan dalam proses penyuntingan sebelum dihantar kepada editor. Semoga tahun 2013 adalah lebih baik. Amin...