Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Ahad, 30 Disember 2012

Mama Sayang Wawa sudah masuk kedai

Ketika berjalan-jalan di Tesco, Seksyen 13, Shah Alam, saya terjumpa novel-novel ini di My News.com.
 
 
Aina Masuk Asrama ada 4 naskhah.
 
 
Mama Sayang Wawa ada 5 naskhah.
 
 
Ini bermakna novel Mama Sayang Wawa sudah berada di kedai-kedai buku seluruh Malaysia. Jangan lupa dapatkan ya.

Ahad, 23 Disember 2012

My Honey, Hani di Popular, Kuantan

Selepas hampir tiga tahun, novel pertama saya yang diterbitkan oleh KarnaDya Solutions dengan menggunakan nama pena Fathi Ramli ini masih dapat ditemui di kedai buku Popular, Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang.
 
 
My Honey, Hani di Popular, Kuantan.
 
 
Bila lagi novel cinta Fathi Ramli akan diterbitkan? Saya sendiri pun tidak pasti. Buat masa ini, saya masih menanti jawapan daripada penerbit. Doakan sahaja ya.

Selasa, 18 Disember 2012

Sherlock Holmes dan Peter Pan

Semalam saya terima 'anak angkat' baharu daripada Editor Senior syarikat penerbitan One Nusantara, Puan Tan. Inilah dia 'anak angkat' baharu saya, Astana Klasik!




Mengapa 'anak angkat'? Sebab buku ini saya cuma terjemah daripada versi Bahasa Inggeris. Oh, jangan keliru! Bagi buku ilmiah dan akademik, saya menggunakan nama sebenar :)

Khamis, 13 Disember 2012

Aku dan MPH, SACC Mall, Shah Alam

Ahad lalu saya sempat pergi ke MPH, SACC Mall, Shah Alam untuk bertemu dengan rakan-rakan penulis Fajar Pakeer yang mengadakan sesi autograf di sana. Yalah, sejak menetap di Shah Alam ini, MPH itu sajalah yang menjadi kunjungan tetap saya. Waktu tinggal di Kepong dulu, saya lebih kerap ke kedai buku Popular yang berdekatan dengan rumah sewa.
 
Sebenarnya niat di hati saya cuma ingin berjumpa dengan kawan sambil menemani adik yang ingin membeli buku, tup, tup, rupa-rupanya pihak Fajar Pakeer turut mengadakan kuiz untuk para pengunjung. Alhamdulillah, saya dapat jawab soalan kuiz itu dan memenangi hadiah novel Suamiku Vampire yang disertakan dengan tandatangan penulisnya, saudari Ria Natsumi. Terima kasih, Fajar Pakeer!
 
 
 Bersama penulis Suamiku Vampire, Ria Natsumi.

 
Sambil-sambil tu, saya turut menjenguk novel-novel baharu di sana tetapi nampaknya novel yang saya cari belum ada di sana. Saya pun jenguklah Aina Masuk Asrama di rak. Rupa-rupanya Aina Masuk Asrama cuma tinggal satu naskhah saja lagi!

 
 Naskhah terakhir Aina Masuk Asrama.
 
 
Alhamdulillah, saya masih diberi ilham untuk terus menulis kisah kanak-kanak. Selepas Aina Masuk Asrama dan Mama Sayang Wawa, saya kini sedang giat menulis manuskrip cerita kanak-kanak yang ketiga. Ketika sedang menulis cerita ini, saya mendapat idea untuk manuskrip cerita kanak-kanak yang keempat pula. Semoga semuanya dipermudahkan.


Rabu, 5 Disember 2012

Cerpen "Rahsia Najiha" dalam MW


 
Mingguan Wanita 07 - 13 Disember 2012

Khamis, 15 November 2012

AMA Tinggal 5 Naskhah di MPH Shah Alam

Seperti biasa apabila ke Shah Alam, saya akan singgah ke MPH, SACC Mall untuk melihat-lihat buku-buku terbaru di sana. Novel Mama Sayang Wawa masih belum kelihatan tetapi alhamdulillah novel Aina Masuk Asrama kini cuma tinggal 5 naskhah di MPH tersebut.
 
 
November 2012
 

Julai 2012


Terima kasih kepada pembaca yang menyokong Aina Masuk Asrama. Jangan lupa dapatkan Mama Sayang Wawa pula ya :)

Rabu, 14 November 2012

Rabu, 31 Oktober 2012

Dapat Dua 'baby' dalam Masa Satu Hari

Hari ini saya MC sebab demam kononnya tapi masih sempat menyiapkan sebuah cerpen. Hehe~ Ketika sedang mengadap laptop, saya terima mesej daripada abah saya di Kuantan. Katanya, novel Mama Sayang Wawa sudah sampai ke rumah. Jadi, saya minta abah saya ambilkan gambar. Hee~



Sinopsis:

Salwa atau Wawa sering dimarahi oleh mamanya kerana sikapnya yang nakal, malas belajar dan suka menyakat adiknya. Bosan kerana sering dimarahi, Wawa lebih suka menghabiskan masa dengan kawan baiknya, Farhana yang juga tinggal berhampiran dengan rumahnya. Setiap kali bertemu Farhana, Wawa akan mengadu masalahnya.

Suatu hari, kerana tidak tahan dimarahi, tanpa sengaja Wawa meninggikan suara terhadap mamanya. Maka, terkeluarlah persoalan sama ada dia adalah anak angkat. Melihat kebisuan mamanya, Wawa bertindak lari ke rumah Farhana. Apakah yang terjadi kepada Wawa? Benarkah dia adalah anak angkat?


Hari ini juga saya menyempatkan diri 'melawat' ofis lama saya untuk menghantar kerja freelance dan menyerahkan kad jemputan kahwin kepada rakan-rakan di sana. Tanpa saya duga, Senior Editor, Puan Tan memberikan buku ini kepada saya. Wah, 'baby' baru lagi!




Alhamdulillah, rezeki saya semakin murah sejak kebelakangan ini. Hidup saya juga semakin baik dan bahagia sekarang :) 

Jumaat, 26 Oktober 2012

My Honey, Hani di The Store, Kuantan Parade

Ketika berjalan-jalan sambil membeli-belah di Kuantan Parade bersama kakak saya siang tadi, kakak saya memberitahu novel My Honey, Hani ada di rak. Maka, saya pun merakamkan gambar ini.



Inilah novel pertama saya. Novel ini diterbitkan pada awal tahun 2010 dan cetakannya adalah terhad. Rasanya novel ini sudah tidak banyak di pasaran. Sesiapa yang menemuinya pada tahun 2012 ini memang dikira bertuahlah. Haha~

Selasa, 9 Oktober 2012

Ahad, 7 Oktober 2012

Berfoya-foya bersama geng bujang

Tinggal sebulan saja lagi untuk menikmati kehidupan bujang, maka saya dan kawan-kawan satu ofis mengambil keputusan untuk berjalan-jalan sambil mengenali ahli baru kumpulan kami.

Janji pukul 12.00 tengah hari di Alamanda (Putrajaya) tapi sudahnya semua datang lambat termasuklah saya. Hehe~ Pukul 2.00 petang, tiga kumpulan dari destinasi berlainan bertemu di tandas Alamanda tanpa sengaja. Satu kumpulan dari Kajang, satu kumpulan dari Kerinchi dan satu kumpulan dari UPM. Bunyinya macam ramai tapi sebenarnya cuma 10 orang. 

Sebelum apa-apa, perut perlu diisi terlebih dahulu. Maka, kami bergerak ke medan selera untuk mengisi perut. Apabila sudah kenyang, kami bergerak ke GSC untuk membeli tiket wayang. Selepas mengambil pendapat majoriti, akhirnya kami sepakat untuk menonton filem ini.




Secara keseluruhannya, filem ini masih boleh dilayan walaupun terdapat beberapa kelemahan. Apa-apa pun lakonan semua pelakon amat selamba.

Destinasi seterusnya, Taman Warisan untuk mengisi perut lagi. Rancangan asalnya mahu ke i-City tapi tiba-tiba saja ada yang membuat cadangan untuk ke Sunway Piramid (Subang Jaya) usai waktu mahgrib. Maka, berkonvoilah empat buah kereta di jalan raya.




Sebelum pulang ke rumah masing-masing - Kajang, Kerinchi, Salak Selatan, Pandan Indah, Shah Alam dan Wangsa Maju, kami singgah minum di Kerinchi sambil borak-borak sampai tengah malam.

Secara jujurnya, sudah lama saya tidak merasai keseronokan bersama kawan-kawan sebegini. Mudah-mudahan kenangan ini akan menjadi kenangan terindah jika saya sudah tidak bekerja di sini lagi. Bak kata seorang kawan saya, "mencari sahabat sejati itu memang sukar."

Selasa, 2 Oktober 2012

Khamis, 20 September 2012

Sabtu, 15 September 2012

'Baby' Kembar Lima

Waktu pertama kali ditawarkan untuk menulis buku latihan mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi SJK (C), saya agak kurang yakin kerana saya sedar tanggungjawab mengajar ini bukan mudah. Walaupun emak saya seorang guru Bahasa Melayu tetapi saya tidak mewarisi 'bakat' mengajar emak saya.
 
Namun, atas kepercayaan yang diberikan oleh Editor Senior (Puan Heng) di syarikat penerbitan tempat saya bekerja dahulu, saya menerima tawaran beliau. Sebelum menulis buku latihan, saya sudah terlebih dahulu terlibat dalam penulisan berbentuk latihan sebegini dalam majalah pendidikan terbitan syarikat yang sama.
 
Bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan orang, jadi saya amat berbesar hati kerana beliau sendiri yang menawarkan peluang ini kepada saya. Sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah banyak buku latihan yang saya tulis.

 
 
 
 
 
Menulis buku latihan ini juga ada keseronokan dan kepuasan yang tersendiri. Apa-apa pun, saya tetap berasa bertuah kerana berpeluang menyumbangkan sesuatu untuk mata pelajaran yang amat saya cintai ini.
 
Buat masa ini, saya sudah agak jarang menulis kerana sibuk dengan kerja di ofis dan beberapa kerja freelance editing dan terjemahan. Tidak sangka rezeki saya semakin murah sejak akhir-akhir ini. Alhamdulillah.
 
Berkenaan dengan novel baru pula, insyaAllah, novel kanak-kanak kedua saya akan menemui pembaca tidak lama lagi :)



Isnin, 27 Ogos 2012

T_T sebelum ^_^

Siang tadi rupa saya begini...
Tiada hati nak buat kerja kerana dua perkara yang membuatkan saya hampa dan kecewa.

Namun...


Malam pula rupa saya begini...


Hati kembali ceria apabila menerima e-mel daripada editor yang memberitahu bahawa manuskrip saya diterima untuk diterbitkan!

Isnin, 20 Ogos 2012

Cerita Raya

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca. Tahun ini saya tidak sempat nak buat kad raya sendiri memandangkan kesihatan saya tidak berapa baik empat hari ini.




Ya, jatuh sakit dan berjauhan dengan keluarga pada hari raya bukanlah kombinasi yang bagus. Mujur ayah saya datang untuk ambil saya di KL pada petang raya pertama kerana saya terlepas bas ke Kuantan gara-gara tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk berdiri lama apatah lagi berjalan jauh.

Menurut doktor, saya mungkin terlalu stres atau penat. Jadi, cuti raya ini saya akan berehat di rumah saja. Tapi apabila mengenangkan 'hutang-hutang manuskrip' saya, saya perlu juga bekerja. Huhu~

Isnin, 13 Ogos 2012

Budak SMART di Kinokuniya, KLCC

Berita baik kepada sesiapa yang masih belum menemui novel Budak SMART di kedai buku kerana stok novel ini sudah kehabisan di MPH.
Novel Budak SMART kini boleh didapati di kedai buku Kinokuniya, KLCC. Masih ada lima naskhah ketika saya ke sana semalam. Novel Pemuja Rahsia pula ada senaskhah saja lagi.



Orang lain sibuk shopping untuk raya tapi saya masih sibuk dengan buku :D

Jumaat, 10 Ogos 2012

Cerita Bulan Puasa

Pejam celik, pejam celik, kurang 10 hari lagi dah nak raya. Macam sekejap saja masa berlalu. Waktu-waktu kemuncak macam ni, kat mana-mana pun pasti akan dibanjiri lautan manusia yang mencari kelengkapan raya. Tapi saya, satu barang raya pun tak beli lagi!

Rutin menulis juga agak perlahan memandangkan saya agak sibuk dengan kerja di ofis selain kerja editing dan terjemahan. Blog Taipan Jemari juga sudah lama saya tak update. Maaf pada pembaca yang masih mengunjungi blog tersebut. Namun alhamdulillah, saya masih sempat menyelesaikan penulisan sebuah manuskrip kanak-kanak dan manuskrip tersebut sedang dalam penilaian editor.

Sebelum bulan 9 pula, saya perlu menyunting sebuah manuskrip cinta yang dulunya diberi judul Ajari Aku Cinta, kemudian Belum Ada Jodoh, lepas tu pula Menanti Seru dan kini saya ubah judulnya menjadi Cinta Gantung. Entah berapa kali tukar tajuk dah cerita ni. Haish~ Biasanya apabila saya tukar tajuk bermakna jalan ceritanya juga turut diubah. Untuk membaca ceritanya, bolehlah layari di laman web ini ya, http://www.penulisan2u.my/2012/08/novel-cinta-gantung-1/.

Selepas raya, saya mungkin akan berhenti rehat daripada menulis buat sementara waktu demi menumpukan perhatian pada persiapan hari bersejarah :D (atau mungkin saya akan menulis cerpen saja).

Oh ya, kepada sesiapa yang nak beli novel Kugiran SMART, tempahan masih dibuka. Sila e-melkan pesanan anda kepada ilmia85@gmail.com ya.



Khamis, 26 Julai 2012

Anak ke-5 :)

Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai kesukaran, akhirnya novel ini dapat juga diterbitkan. Kepada pembaca yang tidak tahu, novel ini ialah kesinambungan daripada novel Budak SMART yang diterbitkan pada tahun 2010 lalu.




Sebenarnya sewaktu menulis Budak SMART, saya tidak pernah terfikir mahu menulis sambungannya. Rasanya cerita tersebut memang setakat itu saja.

Namun kerana ramai sangat yang bertanya akan kisah Azrizal selepas SPM, berjayakah dia menjadi pemuzik, keputusan SPMnya, siapa yang menjadi pilihan hatinya dan lain-lain, maka saya cuba menjawab segala persoalan itu dalam Kugiran SMART.




Daripada ketiadaan idea untuk menyambung, siapa sangka yang saya tetap dapat menulis kisah Azrizal berkat kurniaan ilham daripada-Nya walaupun mengambil masa yang agak lama yakni hampir dua tahun. Apa-apa pun, saya sangat berpuas hati dengan kualiti cetakannya.

Rabu, 18 Julai 2012

Kugiran SMART

Alhamdulillah, setelah berdepan dengan berbagai-bagai cabaran dan kesulitan, akhirnya novel sambungan Budak SMART iaitu Kugiran SMART dapat juga 'dilepaskan' ke kilang cetak. Inilah kulit bukunya! Cantik tak?



Novel ini merupakan novel pertama yang saya uruskan sendiri proses penerbitannya daripada A sampai Z. Daripada penulisan, penyuntingan, susun atur, kulit buku, permohonan ISBN hinggalah pencetakan, semuanya saya uruskan sendiri. Sudah semestinya dengan bantuan rakan-rakan, Poyo (permohonan ISBN), Ikhsan Ise (pelukis), Ney Joe (grafik) dan Elzara Hariri yang mengesyorkan pencetak.

Diharap kelahiran novel ini dapat mengubat hati pembaca-pembaca novel Budak SMART yang bertanyakan tentang kesinambungan novel ini.

Kepada sesiapa yang berminat hendak membeli novel ini, bolehlah e-melkan kepada saya di alamat ilmia85@gmail.com kerana novel ini tidak dijual di kedai buku dan cetakannya adalah terhad.

Selasa, 10 Julai 2012

Cerpen "Dia Pasti Datang" dalam MW

Alhamdulillah, sebuah lagi cerpen saya tersiar dalam majalah Mingguan Wanita untuk keluaran 13-19 Julai ini. Sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kebimbangan seorang wanita kerana masih belum bertemu jodoh walaupun sudah berusia hampir 30 tahun.




Ini kali kedua cerpen saya tersiar dalam majalah ini dan kali kedua Irma Hasmie menjadi penghias muka depannya. Kalau dulu cerpen saya tersiar ketika gambar pertunangan beliau, kini gambar perkahwinan beliau pula. Hehe~




Dalam banyak-banyak pekerjaan yang saya lakukan, kerjaya sebagai penulislah yang paling saya sayang. Justeru, saya memang tidak akan melepaskan 'jawatan' ini dan saya akan terus menulis walaupun mungkin saya tidak ada kerjaya tetap lagi nanti.

Isnin, 9 Julai 2012

Aina Masuk Asrama sudah masuk kedai!

Aina Masuk Asrama di booth Ana Muslim, Pesta Buku Selangor.

 
Buat sesiapa yang tidak berkesempatan menghadiri pesta buku, anda juga boleh mendapatkan novel Aina Masuk Asrama di kedai-kedai buku berhampiran dengan tempat anda. Baru semalam saya sempat menjenguk novel ini di kedai buku MPH, SACC Mall, Shah Alam alang-alang sudah datang ke Pesta Buku Selangor.


Aina Masuk Asrama di MPH, SACC Mall, Shah Alam


InsyaAllah, saya sedang berusaha menyiapkan manuskrip kedua untuk novel kanak-kanak sebegini. Kali ini proses menulis agak perlahan sedikit memandangkan saya semakin sibuk dengan kerja tetap yang juga memerlukan saya memerah idea dan menulis.

Khamis, 5 Julai 2012

8 Julai di SACC, Shah Alam

Buat sesiapa yang ingin bertemu, saya akan berada di Pesta Buku Selangor pada hari Ahad ini, 8hb untuk sesi autograf bersama One Nusantara di booth bernombor P05 (berhampiran dengan pintu masuk SACC).



Selain itu, novel kanak-kanak saya, Aina Masuk Asrama juga ada dijual di booth Ana Muslim. Jangan lupa dapatkannya ya. Kepada sesiapa yang sudah membeli novel ini, terima kasih saya ucapkan. Semoga novel ini dapat memberi manfaat kepada anda.


Novel Aina Masuk Asrama di booth Ana Muslim.

Sabtu, 30 Jun 2012

Buku

Akhir-akhir ini, saya agak sibuk dengan kerja tetap di sebuah pejabat yang berhawa dingin. Keluar rumah pada awal pagi dan balik lewat malam seakan-akan sudah menjadi rutin harian. Maka, jadual penulisan juga agak terganggu dan banyak yang 'lari' daripada deadline! Haish~ 

Apa-apa pun, kelahiran buku-buku ini sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya pada penulisan. Terima kasih kepada Ana Muslim dan Aurora Creative yang mengirimkan buku-buku ini. 




Minggu lepas juga saya menerima sebuah 'baby' bukan novel lagi dan sekarang saya menanti sebuah 'baby' bukan novel lagi yang akan lahir.  



Untuk sesiapa yang bertanyakan sambungan novel "Budak SMART", ya, saya sedang usahakan urusan penerbitannya. Sekarang ini saya sedang menunggu cover daripada pereka grafik untuk last touch up

Selain itu, ada dua buah manuskrip lagi yang perlu saya sempurnakan sebelum bulan 12 nanti. Harap-harap saya dapat mencapai sasaran tahun ini. Amin.

Ahad, 24 Jun 2012

Pesta Buku Selangor 2012

Kurang seminggu sahaja lagi...

Ahad, 27 Mei 2012

'Baby' Bukan Novel


Bulan ini seorang demi seorang kawan saya dapat anak sulung. Tetapi saya cuma dapat 'baby' ini. Buku latihan Bahasa Malaysia untuk SJKC yang saya tulis.

Menulis buku latihan ini sebenarnya lebih kurang sahaja dengan novel. Ada bab, tema dan 'cerita' tertentu tetapi tulisannya lebih ringkas, banyak gambar, menggunakan bahasa yang betul dan mesti mematuhi silibus. Dan untuk buku latihan darjah satu ini, saya perlu 'menjadi' kanak-kanak. Hehe~

Setakat ini, saya sudah menulis tiga buah buku yang sebegini dan sekarang saya perlu menyiapkan sebuah buku latihan lagi. Jadi, saya terpaksa mengetepikan dahulu kerja-kerja menulis manuskrip novel. Mungkin bulan Jun ini baru dapat menulis semula.

Jadi, untuk mengelakkan blog Taipan Jemari bersawang, saya hidangkan sebuah mini novella untuk anda iaitu Orang Kedua. Sebuah cerita lama yang saya tulis. Maaf jika ada kekurangan kerana saya tidak sempat menyunting cerita ini.

Sabtu, 19 Mei 2012

Beli AMA secara online!


Novel "Aina Masuk Asrama" sudah boleh dibeli secara online di kedai buku online Ana Muslim :)

Ahad, 6 Mei 2012

Hari Terakhir PBAKL 2012

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 bakal melabuhkan tirainya hari ini. Kepada sesiapa yang belum pergi, inilah peluang terakhir anda!

Pada tahun ini, saya menjalinkan kerjasama dengan sebuah penerbit lagi iaitu Ana Muslim. Dengan Ana Muslim, saya menulis novel kanak-kanak yang berjudul "Aina Masuk Asrama".



'Aina Masuk Asrama' di booth Ana Muslim


Juga novel remaja saya terbitan One Nusantara, "Budak SMART" dan "Pemuja Rahsia" di booth bernombor L-074 yang terletak di legar putra PWTC.




Novel-novel di booth One Nusantara


Serta novel cinta terbitan KarnaDya Solutions di booth bernombor 3177, 3178, 3199, 3200 yang terletak di Dewan Tun Razak 3.




Kepada yang sudah mendapatkan novel-novel saya, terima kasih saya ucapkan. Semoga anda berpuas hati dan mendapat sesuatu daripadanya. Kita jumpa di Pesta Buku Selangor pula nanti ya :)

Jumaat, 4 Mei 2012

Dedikasi Khas


Gambar oleh Nash Azly



Aina merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik-beradik. Dia mempunyai tiga orang kakak, seorang abang dan dua orang adik. Namun begitu, mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan baginya. Hal yang demikian kerana dia berasa rimas dan tertekan kerana apa-apa sahaja dia perlu berkongsi dengan mereka. Selepas keputusan UPSR diumumkan, Aina menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh. Aina berasa sangat gembira dan teruja kerana hasratnya untuk memasuki asrama penuh tercapai. Namun kebebasan yang diharapkan bukanlah seperti yang dibayangkan. Apakah yang berlaku terhadap Aina? Adakah keputusannya tinggal di asrama merupakan satu penyesalan kepadanya?


Alhamdulillah, akhirnya 'anak' keempat saya lahir ke dunia penerbitan. Sebuah novel kanak-kanak terbitan Ana Muslim. Pada awalnya, memang saya tidak begitu yakin untuk menulis cerita kanak-kanak memandangkan saya pun sudah jauh meninggalkan dunia kanak-kanak. Namun hati saya tergerak untuk mencuba dan tidak sangka diterima untuk diterbitkan.

Sebenarnya, idea cerita ini sudah lama saya peram sebab saya tidak tahu macam mana nak memulakan cerita ini. Masa itu juga, saya ada dua plot cerita. Jadi, saya tidak tahu plot yang mana yang lebih baik. Selepas meminta pendapat seorang teman, saya memilih plot cerita yang pertama yakni berlatarkan sebuah sekolah berasrama penuh.

Dalam menyiapkan rangka cerita, saya juga menghadapi masalah untuk mengembangkan plot cerita memandangkan saya tidak pernah bersekolah di sekolah berasrama penuh. Justeru, di sini saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada dua orang teman penulis yang banyak membantu saya untuk mendapatkan gambaran mengenai kehidupan di sekolah berasrama penuh, iaitu Maria Kajiwa dan Nash Azly. Harapnya menjadilah ya. Sebarang kekurangan, mohon dimaafkan.

Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang sudi mempromosikan novel ini dalam Facebook. Harapan saya, semoga pembaca yang membaca novel ini dapat memahami mesej yang cuba disampaikan. Oh ya, novel ini juga saya dedikasikan untuk ahli keluarga saya yang seramai 12 orang tapi sekarang dah jadi 16 orang :)

Rabu, 2 Mei 2012

Aina Masuk Asrama

Alhamdulillah, akhirnya novel kanak-kanak pertama saya, 'Aina Masuk Asrama' masih sempat menemui pembaca pada PBAKL kali ini walaupun sudah hari yang keenam. Jangan lupa dapatkannya di booth Ana Muslim sehingga 6 Mei ini ya.

Isnin, 23 April 2012

Jom kita jumpa!

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 semakin menghampiri! Tandakan tarikh 29 April pada kalender anda ya :)




Apa? Novel baru? Kemungkinan besar selepas pesta buku nanti ya.