Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Sabtu, 26 Februari 2011

Penat

Sejurus pulang dari ofis semalam, aku ke kedai buku yang berhampiran dengan rumah sewa aku bagi melihat novel-novel baru. Mungkin juga mencari idea dan sekadar merehatkan otak.

Beberapa hari ini aku tidak mengadap Microsoft Word langsung kerana aku perlu menyiapkan kerja ofis menggunakan iMac dan InDesign. Rindu juga nak 'main' dengan perisian ini selepas hampir tiga tahun aku tidak menggunakannya secara serius. Mujur aku masih ingat penggunaan yang asas, jadi tidaklah terlalu sukar.

Di rumah juga aku tiada keinginan untuk membuka komputer riba memandangkan otak aku sudah dikerah ketika di ofis. Bukan setakat otak, malah badan juga menjadi letih kerana asyik duduk mengadap kerja demi mengejar deadline. Pulang ke rumah sahaja, aku cuma nampak bantal dan katil. Waktu tidur setiap hari juga semakin awal. Mungkin selepas kerja ini siap, aku akan kembali mengadap PC dan Microsoft Word.

Okey, lupakan soal kerja. Semalam aku sempat 'menyambar' dua buah novel FP Junior kerana wang di dalam dompet aku tidak cukup untuk membeli novel dewasa. Huhu. Salah sebuah daripada novel itu ialah novel ini.



“Bila bersedih, bila bermasalah, bila perlukan seseorang… kawanlah yang kita akan cari. Kawan akan faham. Kawan akan tenangkan. Kawan akan ada di sisi. Masa tu… awak akan sangat perlukan kawan. Awak kena rasa sesuatu, sebagai kawan, untuk buat apa saja yang perlu untuk kawan tu. Rasa tu… kena ada.”


Sebuah novel remaja yang menekankan nilai-nilai persahabatan. Kisah yang sederhana tetapi sangat bermakna.

Sabtu, 19 Februari 2011

Alkisahnya

"Kau yang tulis ni? Hebat! Tak beritahu aku pun..."

"Kau tulis novel ya? Novel apa?"

"Wei, aku nak beli novel kau!"

"Baguslah tulis novel. Sekurang-kurangnya tak adalah buat kerja yang tak tentu hala."


Antara beberapa reaksi teman-teman dan saudara-mara aku apabila mereka dapat tahu aku menulis novel. Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi yang memperlekehkan kerjaya menulis novel ini. Semuanya memberikan sokongan.

Sejujurnya, aku tidak pernah memberitahu sesiapa selain keluarga dan teman rapat aku berkenaan novel aku. Aku pun pelik macam mana mereka boleh tahu. Rupa-rupanya ada 'promoter' yang tidak berbayar. Hehe.

Bukannya aku tidak mahu memberitahu tetapi aku lebih suka jika mereka membeli novel aku kerana mereka memang hendak beli dan baca. Bukan kerana aku ini sesiapa dengan mereka. Sehingga sekarang pun, ada juga teman-teman aku yang tidak tahu yang aku menulis novel.




Bertahun-tahun juga masa yang aku ambil bagi merealisasikan impian aku ini. Bukan dalam sekelip mata. Banyak pahit dan manis yang terpaksa aku hadapi. Namun alhamdulillah, peluang untuk menulis dan menerbitkan novel pada waktu sekarang tidaklah sesukar dulu. Cuma perlu beratur menunggu giliran dalam barisan yang panjang berjela.

Isnin, 14 Februari 2011

Salji Pertama

Antara novel yang aku nanti-nantikan, sambungan Chronicle 301: Semester Satu, hasil garapan empat penulis yang juga merupakan kenalan aku.


Semester baru kembali lagi. Jijah menyambung pelajaran ke Universiti of Manchester yang terletak di Manchester, United Kingdom. Pemergiannya hanya dikhabarkan kepada Nisa kerana hanya Nisa yang lebih tenang antara semua rakan sebilik yang lain. Di sana, Jijah menghadapi masalah bagi menyesuaikan dirinya dengan cuaca di negara empat musim itu serta rakan-rakan yang hanya datang apabila senang sahaja. Jijah juga dicemburui oleh seorang pelajar lain kerana kelebihannya.

Nisa terkejut dengan pemergian Jijah ke Manchester. Dia tidak menyangka semester lepas adalah semester akhir Nisa, Awa dan Iman bersama-sama Jijah. Nisa berkenalan dengan Suhaila yang ditemui di surau. Saban hari mereka semakin rapat. Pelbagai aktiviti yang dilakukan oleh mereka.

Awa kembali semula ke Kolej UNITI dengan perasaan yang sangat teruja. Teruja mahu bertemu dengan Jijah, Iman dan Nisa. Pasti banyak cerita menarik bagi dikongsi bersama. Walau bagaimanapun, perasaan teruja itu bertukar menjadi rasa sedih apabila mendapat tahu Jijah tidak lagi menuntut di Kolej UNITI.

Iman pula menghadapi masalah kewangan. Dia menjadi penghuni hantu, menumpang di rumah sewa seorang kenalannya dan kadang kala terpaksa menumpang di bilik lamanya, Bilik 301. Iman bekerja keras bagi menampung hidupnya di Kolej UNITI kerana tidak mahu menyusahkan ayahnya. Pelbagai kisah menarik semasa Iman bekerja berlaku.



Kali ini, cerita mereka berkenaan dengan salji pula. Pastinya bilik 301 sudah tidak seceria ketika mereka di semester satu dahulu kerana Jijah sudah menerima tawaran belajar di luar negara, Iman pula tidak lagi tinggal di situ kerana tidak mampu membayar yuran, Nisa dan Awa juga mempunyai masalah sendiri. Semuanya berkaitan dengan kawan, teman dan sahabat. Siapa sahabat sebenar ketika kita susah dan memerlukan pertolongan dan siapa orang yang sering bermuka-muka demi kepentingan sendiri.

Rabu, 9 Februari 2011

Dari Mata Turun ke Tangan

Aku sudah cuba menahan diri daripada membeli sebarang novel buat masa ini tetapi tetap gagal. Akhirnya, aku terbeli juga novel walaupun cuma sebuah. Itu pun nasib baik duit di dalam dompet aku tidak banyak. Kalau tidak, habislah aku borong novel-novel baru di kedai buku itu.

Orang kata jangan menilai sesebuah buku itu daripada kulitnya tetapi itulah yang membuatkan aku tertarik pada novel ini. Mungkin kerana itulah yang ditangkap oleh mata dahulu dan seterusnya tangan pula ringan sahaja mencapai novel ini serta dibantu pula oleh hati yang seakan mendesak.


“Ibu, kelip-kelip ni hanya muncul di tempat gelap, juga di tempat yang istimewa saja. Datangnya memberi cahaya. Seperti dia juga. Datang bertandang di hati Intan, bercahaya.” Dia tersenyum lagi. Dia pasti dengan pilihannya kali ini.

Intan Irdina dan Intan Adeena, dua beradik kembar yang bukan sekadar berkongsi paras rupa tetapi juga rasa. Masing-masing sukakan benda yang sama dan inilah yang menyukarkan perjalanan cinta mereka. Siapa yang menyayangi siapa dan siapa pula yang akhirnya mendapatkannya

Pastinya hidup ini penuh dengan liku-liku, hanya si kunang-kunang yang mampu datang dan menerangi hati dan jiwa yang pernah terluka. Pun begitu, tidak mudah untuk mencari jawapan bagiu mengisi kekosongan. Apakah si usahawan tani itu, Dzar Salahudin mampu menawan hatinya semudah memanjat Gunung Kinabalu dan berjaya untuk membuat dia tersenyum semula? Atau mungkin kesan kasih lama tetap berpaut pada Adam Falqiss dan membuatkan si gadis tidak mampu berhijrah? Atau adakah jejaka yang ditemuinya di Bandaraya New York, Adi Faris menjadi pilihan hatinya?

Sama-samalah kita melayari kisah cinta ini yang membawa pembaca mengembara ke tempat-tempat menarik dan penuh dengan rasa romantik.
(Beli online di SINI)

Sebenarnya, novel juga adalah suatu medium ilmu sama ada kita sedar ataupun tidak.

Isnin, 7 Februari 2011

Manuskrip Pertama 2011

Oho, sudah 7 Februari! Tetapi manuskrip yang diusahakan semenjak Oktober lalu asyik berubah-ubah jalan ceritanya. Adoi, rasa hendak termuntah dibuatnya. Sudah lebih tiga kali aku menyemak manuskrip ini dan banyak itu jugalah aku mengubah jalan ceritanya tetapi cuma melibatkan bab 20 dan ke atas.

Kalau diikutkan, plot utamanya sudah siap... kut. Tetapi masih belum mencapai jumlah halaman yang ditetapkan. Semakin ditambah, semakin meleret pula aku rasa. Aku tidak suka cerita meleret. Jadi, aku juga tidak mahu membuat cerita yang meleret.

Hendak menambah subplot itu yang pening. Sudah terlampau banyak watak sampaikan ada watak yang hampir aku terlupa akan fungsinya. Hehe.

Rasa macam hendak hantar sahaja kepada penerbit kerana mata aku sudah tidak larat hendak menatap manuskrip ini. Tetapi rasa macam tidak sedap hati pula kalau hantar manuskrip yang aku sendiri belum berpuas hati dengan hasilnya. Huhu.

Ahad, 6 Februari 2011

Namaku Bedah

Rasanya sudah agak lama aku menamatkan pembacaan novel ini tetapi terlupa pula hendak dikongsikan bersama. Huhu.



Namaku Bedah binti Bedul. Nama indah pemberian ibu dan arwah bapa adalah hasil gabungan nama mereka berdua iaitu Bedul dan Hamidah.

Berkali-kali aku meminta daripada ibu supaya dia benarkan penukaran nama. Namun, katanya namaku itu tanda cinta dia dan arwah bapa. Oleh itu, aku tidak dibenarkan sama sekali menukarnya.

Bagaimana aku akan mendaftar di kolej dengan nama itu? Gadis secantik aku bernama Bedah! Tidak padan, bukan? Dengan nekad, aku menggunakan nama baru di kolej.

Namun, langit tidak selalu cerah. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Hakikatnya, namaku tetap...
BEDAH!



Awal cerita, macam boring sikit. Masuk pertengahan, menarik. Akhir cerita, macam meleret pula. Apa pun, aku memang suka cerita ketika mereka di kolej. Sangat kena dengan zaman aku ketika di universiti dulu. Nostalgia betul. Adegan berpantunnya pula sangat kreatif dan menghiburkan hati.

Jumaat, 4 Februari 2011

Tukar Layout Lagi

Hai, susahnya hendak mencari idaman hati. Dalam dok sibuk menyiapkan manuskrip, sempat lagi aku mengubah suai rumah sempena Tahun Baru Cina. Hehe.

Salah satu cabaran bekerja di rumah (yang betul-betul rumah) kerana adanya TV, Internet dan makanan yang sedap-sedap. Sebab itulah aku tidak suka buat kerja di rumah (yang betul-betul rumah). Huhu.

Baru selesai membaca novel "Penulis yang Disayang Tuhan". Okey, kembali bekerja. Argh! 30 muka surat lagi! Rasa-rasa macam nak anjak deadline saja. Boleh tak?

Selasa, 1 Februari 2011

Aku, Novel dan Muzik

Oh, hari ini sudah 1 Februari. Maka, aku perlu melawan sikap malas dan menepis segala bentuk godaan yang melalaikan untuk menyiapkan manuskrip penuh "Belum Ada Jodoh". Maklumlah sudah beberapa kali aku melanggar deadline yang aku tetapkan sendiri. Dari November bertangguh ke Disember, Januari dan sekarang sudah masuk Februari.

Masalahnya, aku sering tidak berpuas hati dengan jalan ceritanya. 20 bab awal sudah okey, tetapi bila masuk 20 bab yang akhir, aku asyik ubah sahaja. Sebab itulah cerita ini lambat siap. Huhu.

Kebiasaannya, aku sering ditemani lagu-lagu ketika menggarap sesebuah manuskrip. Adakalanya aku rasa lagu-lagu ini sangat membantu apabila liriknya dihayati kerana adakalanya idea boleh datang daripada isi sesebuah lagu itu. Aku pernah berangan-angan hendak menerbitkan sebuah album soundtrack bersama novel aku. Alah, seperti filem yang ada lagu soundtrack. Tetapi itu semua cuma angan-angan. Maklumlah, novel aku pun tidaklah segah mana untuk dibuat soundtrack.

Ketika menerbitkan novel "Budak SMART" dahulu, aku pernah terfikir hendak menerbitkan CD yang mengandungi lagu-lagu yang terdapat dalam novel itu. Tetapi apabila mengenangkan banyak perkara yang perlu diambil kira, akhirnya aku pendamkan sahaja. Hendak meminta kebenaran daripada pemilik lagu untuk memuatkan lirik lagu mereka dalam sebuah novel juga sudah satu hal, inikan pula hendak menghimpunkan lagu-lagu mereka dalam sebuah CD. Jika FVT dan Missing Chapter, mungkin tiada masalah memandangkan mereka kawan aku dan bergerak secara indie, jadi tidak membabitkan syarikat rakaman.

Tatkala menyiapkan manuskrip "Belum Ada Jodoh" ini pula, aku lebih senang ditemani lagu-lagu cinta garapan indah Melly Goeslaw yakni lagu-lagu daripada soundtrack filem "Ada Apa Dengan Cinta?", "Eiffel... Aku Jatuh Cinta", "Tentang Dia" dan "Apa Artinya Cinta?". Kali ini, aku berazam untuk menyiapkan manuskrip ini sebelum kembali bekerja selepas cuti Tahun Baru Cina. Tolong doakan aku supaya aku menjadi lebih rajin dan bersemangat ya :)