Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Selasa, 29 Mac 2011

Pertandingan Menulis Cerpen KEN

Ada berita baik buat kalian yang suka menulis. Kepada sesiapa yang berminat untuk menulis cerpen, sila layari grup KEN di Facebook.



Hadiah-hadiahnya ialah:-

TEMPAT PERTAMA:
Sebuah novel + RM 50 (dalam bentuk tunai/top up)
*Sumbangan Maria Kajiwa (Janji Julia)

TEMPAT KEDUA:
Sebuah novel + RM 30 (dalam bentuk tunai/top up)
*Sumbangan Farah Husain (The Untold Story)

TEMPAT KETIGA:
2 buah novel
*Sumbangan Zuliana Abuas (Gadis Rimba) dan Nurfa (Antasia: Satu Permulaan)

TEMPAT KEEMPAT:
Sebuah novel
*Sumbangan Sharina Wirdayu (Waktu Mengukir Rindu)

TEMPAT KELIMA:
Sebuah novel
*Sumbangan Qaseh Qaisara (Jangan Pernah Berubah)


Kesemua novel ini adalah novel baharu. Jadi, jangan lepaskan peluang ini!

Ahad, 20 Mac 2011

Kembali ke Sekolah dengan Komik AKS

Hari ini hari terakhir cuti sekolah. Esok sesi persekolahan akan bermula seperti biasa. Apa? Ada yang tidak suka pergi ke sekolah? Mengapa pula? Jangan begitu. Sekolah bukannya tempat yang menakutkan. Tidak percaya? Hah, mari baca 10 cerita yang berkaitan dengan sekolah garapan 9 orang pelukis tempatan dalam komik antologi, "Aku, Kau & Sekolah".



10 cerita tersebut ialah:-
1) Jaga Sekolah (Reja)
2) Hari Pertama ke Sekolah (Poyo)
3) Meon: Taman Hijau Sekolah (Jas)
4) Komik Bagus (Bophairy)
5) Misi 12 Malam (Nazry dan Afiq)
6) Opie & Jaja: Tukang Kebun Sekolah (Bophairy)
7) Misi 17 A (Foner)
8) Kembali ke Sekolah (Azhar Abdullah)
9) Dunia Didi: Jangan Tebang Pokok Itu (Ard One)
10) Kimia dan Resepi (Anshari)

Selamat kembali ke sekolah!

Sabtu, 19 Mac 2011

Penat Tapi Gembira

Belum ada mood untuk menulis lantaran diri masih dihambat kepenatan ke sana dan ke mari. Meskipun kepenatan, tetapi kepenatan ini tidak menyesakkan. Sebaliknya, menggembirakan. Hehe.

Alhamdulillah, dalam pada itu, aku masih sempat menyiapkan beberapa buah cerpen untuk dihantar ke media cetak. Diterima ataupun tidak, aku berserah sahaja.

Aku juga masih menunggu jawapan daripada sebuah syarikat penerbitan untuk manuskrip "Belum Ada Jodoh" di samping menyiapkan "Kugiran SMART" dan merangka beberapa buah projek akan datang.

Rabu, 9 Mac 2011

Cubit-cubitan

Daripada kebanyakan novel FP Junior yang aku baca, majoritinya sering memaparkan kisah persahabatan tetapi novel "Cubit Kanan Cubit Kiri" ini pula memaparkan kisah adik-beradik yang tidak sebulu.



“Sakitlah!” rengus Nurul Hannah geram.
“Tahu pun kau sakit. Yang kau buat aku tadi tu boleh pula ya?”
“Tapi aku tak sakitkan kau, kan?”
“Nasib kaulah!”


Mengisahkan dua beradik, Nurul Hannah dan Nurul Husna yang sering bertengkar sesama sendiri walaupun dalam isu yang remeh. Sesaat tidak bergaduh, memang tidak sah! Tetapi apabila Nurul Husna dituduh mencuri, Nurul Hannah tetap berasa marah kerana merasakan kakaknya itu difitnah.

Macam-macam perasaan yang dapat aku rasai tatkala membaca novel ini. Geram, marah, sedih, terharu, gembira... semuanya ada! Pendek kata, cerita ini memang best!

Aku dengan adik-beradik aku yang seramai 10 orang itu pun seperti Husna dan Hannah. Kadang-kadang kami juga sering bertengkar kerana hal yang remeh-temeh tetapi itu tidak bermakna yang kami tidak saling menyayangi.

Ahad, 6 Mac 2011

Sudah Lama Tidak Menulis Cerpen

Biasanya aku akan borong novel apabila ke kedai buku tetapi semalam entah mengapa tangan aku gatal mencapai beberapa naskhah majalah untuk diborong.





Melihatkan kejayaan teman-teman dalam menempatkan karya mereka dalam majalah sedikit sebanyak membuatkan pintu hati aku terbuka untuk menghantar karya ke majalah pula. Tapi aku sudah lama tidak menulis cerpen. Hehe.

Sejurus selesai membaca majalah-majalah tersebut, aku terus mengadap komputer riba dan membaca semula cerpen-cerpen yang pernah aku hasilkan sebelum ini. Terdetik juga di hati, apa kata aku cuba?

Sabtu, 26 Februari 2011

Penat

Sejurus pulang dari ofis semalam, aku ke kedai buku yang berhampiran dengan rumah sewa aku bagi melihat novel-novel baru. Mungkin juga mencari idea dan sekadar merehatkan otak.

Beberapa hari ini aku tidak mengadap Microsoft Word langsung kerana aku perlu menyiapkan kerja ofis menggunakan iMac dan InDesign. Rindu juga nak 'main' dengan perisian ini selepas hampir tiga tahun aku tidak menggunakannya secara serius. Mujur aku masih ingat penggunaan yang asas, jadi tidaklah terlalu sukar.

Di rumah juga aku tiada keinginan untuk membuka komputer riba memandangkan otak aku sudah dikerah ketika di ofis. Bukan setakat otak, malah badan juga menjadi letih kerana asyik duduk mengadap kerja demi mengejar deadline. Pulang ke rumah sahaja, aku cuma nampak bantal dan katil. Waktu tidur setiap hari juga semakin awal. Mungkin selepas kerja ini siap, aku akan kembali mengadap PC dan Microsoft Word.

Okey, lupakan soal kerja. Semalam aku sempat 'menyambar' dua buah novel FP Junior kerana wang di dalam dompet aku tidak cukup untuk membeli novel dewasa. Huhu. Salah sebuah daripada novel itu ialah novel ini.



“Bila bersedih, bila bermasalah, bila perlukan seseorang… kawanlah yang kita akan cari. Kawan akan faham. Kawan akan tenangkan. Kawan akan ada di sisi. Masa tu… awak akan sangat perlukan kawan. Awak kena rasa sesuatu, sebagai kawan, untuk buat apa saja yang perlu untuk kawan tu. Rasa tu… kena ada.”


Sebuah novel remaja yang menekankan nilai-nilai persahabatan. Kisah yang sederhana tetapi sangat bermakna.

Sabtu, 19 Februari 2011

Alkisahnya

"Kau yang tulis ni? Hebat! Tak beritahu aku pun..."

"Kau tulis novel ya? Novel apa?"

"Wei, aku nak beli novel kau!"

"Baguslah tulis novel. Sekurang-kurangnya tak adalah buat kerja yang tak tentu hala."


Antara beberapa reaksi teman-teman dan saudara-mara aku apabila mereka dapat tahu aku menulis novel. Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi yang memperlekehkan kerjaya menulis novel ini. Semuanya memberikan sokongan.

Sejujurnya, aku tidak pernah memberitahu sesiapa selain keluarga dan teman rapat aku berkenaan novel aku. Aku pun pelik macam mana mereka boleh tahu. Rupa-rupanya ada 'promoter' yang tidak berbayar. Hehe.

Bukannya aku tidak mahu memberitahu tetapi aku lebih suka jika mereka membeli novel aku kerana mereka memang hendak beli dan baca. Bukan kerana aku ini sesiapa dengan mereka. Sehingga sekarang pun, ada juga teman-teman aku yang tidak tahu yang aku menulis novel.




Bertahun-tahun juga masa yang aku ambil bagi merealisasikan impian aku ini. Bukan dalam sekelip mata. Banyak pahit dan manis yang terpaksa aku hadapi. Namun alhamdulillah, peluang untuk menulis dan menerbitkan novel pada waktu sekarang tidaklah sesukar dulu. Cuma perlu beratur menunggu giliran dalam barisan yang panjang berjela.