Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Jumaat, 13 Januari 2012

My Honey Hani genap 2 tahun


Sedar tidak sedar, rupanya bulan ini genap 2 tahun novel pertama saya ini terbit yakni pada Januari 2010. Sebenarnya, manuskrip novel ini manuskrip kedua yang saya hantar kepada penerbit tetapi akhirnya menjadi novel pertama saya.

Bercerita tentang novel ini, sememangnya banyak dugaan yang menuntut kesabaran saya demi melihat novel ini berada di rak kedai-kedai buku seluruh negara. Bayangkan, saya menghantar manuskrip ini pada tahun 2008, namun novel ini terbit pada tahun 2010. Lama bukan? Kemudian, kena tukar tajuk, tukar nama pena...

Saya masih ingat, apabila diberitahu oleh pihak penerbit yang novel ini sudah ada di pasaran, saya berasa sangat teruja tetapi pada waktu yang sama takut dengan respons daripada pembaca. Selepas bersusah payah memandangkan KarnaDya bukanlah penerbit pertama yang saya hantar manuskrip ini, akhirnya impian saya untuk menjadi penulis novel tercapai juga.


Kedai buku Popular, Wangsa Walk


Saya juga tidak menyangka yang novel ini sudah terjual hampir 3000 naskhah. Satu jumlah yang besar bagi penulis baru seperti saya. Ya, saya akui novel ini masih banyak kelemahannya. Apapun, terima kasih kepada pembaca yang sudi memiliki "My Honey Hani".

Jumaat, 16 Disember 2011

Ulasan PR dalam Berita Harian :)

Alhamdulillah, novel "Pemuja Rahsia" diberi peluang untuk 'muncul' dalam ruangan Dunia Buku, bahagian Sastera, Berita Harian pada hari Jumaat yang indah ini. Klik di sini untuk baca ulasannya ya :)


4 bintang? Wah!


Sedikit petikan dalam novel "Pemuja Rahsia"...

“Woi, Azan! Apa kau cakap tadi? Kau cakap lagu Petir sampah?” marah Krisya Norsabrina. Sesedap mulut dia saja kata lagu Petir sampah. Lagu dengan sampah pun tak tahu nak beza ke?

“Kenapa? Kau ada masalah?” Azan Fitri menentang Krisya Norsabrina. Apa hal pula minah ni? Tiba-tiba saja nak marah. Petir tu abang dia ke?

“Lagi sekali aku dengar kau kutuk Petir, siap kau!” tegas Krisya Norsabrina.

“Suka hati akulah. Mulut aku. Kau sibuk kenapa?” balas Azan Fitri. Aku ada mulut. Suka hati akulah nak cakap apa pun.

“Mestilah aku sibuk sebab kau mengata Petir aku.”

“Kau ingat Petir tu bagus sangat ke?”

Baru ada nama sikit, dah berlagak bagus padahal tak adalah hebat mana pun. Muka pun tak semegah. Entah apalah yang peminat dia orang suka sangat.

“Memang mereka bagus pun. Hanya orang yang buta muzik macam kau saja yang tak pandai nak membezakan lagu dengan sampah. Kasihan… ada otak tapi tak pandai berfikir. Nama saja sedap tapi perangai macam setan,” Krisya Norsabrina sudah mula menunjukkan taringnya. Memang silaplah siapa yang mengutuk Petir di hadapannya.


*Novel ini boleh dibeli di Kinokuniya (KLCC) dan MPH

Khamis, 15 Disember 2011

Tahun 2012 Tahun Produktif Kembali?

Sewaktu aku merangka jadual penulisan untuk tahun 2012, aku sempat juga meneliti jadual penulisan tahun-tahun sebelumnya. Ada projek yang tersasar dan ada juga yang melebihi sasaran. Apa yang menariknya, karya-karya aku yang berjaya diterbitkan seakan-akan mempunyai pola.

Tahun 2009, aku diberi peluang menghasilkan sebuah cerpen yang bertemakan puasa dan raya untuk antologi cerpen Remaja @ PTS One 2009 terbitan PTS One.



Tahun 2010, tiga buah novel aku terbit dalam masa setahun. Alhamdulillah, setelah lama menunggu, sekali tiga novel aku terbit dalam jarak masa yang tidak terlalu jauh.







Tahun 2011, zaman 'gelap' kembali semula. Hanya pada hujung tahun, aku berpeluang merasa ada buku baru walaupun perlu berkongsi dengan 8 orang penulis lain.



Tahun 2012? Hmm... Kalau ikut pola ni, adakah tahun depan 3 novel aku akan terbit sekali gus dalam tahun yang sama macam tahun 2010? Aku harap jawapannya ya atau mungkin juga lebih. Mudah-mudahan...

Selasa, 13 Disember 2011

Pencarian Pena Permata Ana Muslim

Info ini aku dapat daripada Facebook seorang kenalan yang bekerja di Ana Muslim. Jadi, kepada sesiapa yang berminat menulis cerita kanak-kanak, jangan lepaskan peluang ini!




Aku pun macam nak cuba tapi manuskrip yang aku tengah tulis ni pun tak siap-siap lagi. Projek-projek untuk tahun depan pun dah bersusun. Huhu. Lagipun aku ni tak pandai sangat nak tulis cerita kanak-kanak. Hehe.

Sabtu, 3 Disember 2011

Karnival MPH 2011 di Mid Valley

Berita baik buat anda yang berada di sekitar kawasan Mid Valley! One Nusantara dan Bookstation akan membuka gerai jualan di Mid Valley Exhibition Centre sempena Karnival MPH 2011 pada 8-12 Disember ini, jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.




Jadi kepada sesiapa yang masih tercari-cari buku-buku terbitan One Nusantara, bolehlah datang ke sana dan cari gerai bernombor 1027 di Hall 1. InsyaAllah, para penulis One Nusantara juga akan turut berada di sana. Kita jumpa di sana ya!

Ahad, 27 November 2011

Salam Maal Hijrah


Tahun untuk bekerja dengan lebih keras. Moga lebih baik daripada tahun sebelumnya. Amin...

Selasa, 22 November 2011

Ops Conteng

Tadi aku terima panggilan telefon daripada seseorang yang mahu bercakap dengan Ilmar Imia. Terpinga sekejap. Oh, hampir terlupa itu nama penaku (ya, ini bukan nama sebenar aku tapi kalau nak tahu nama sebenar aku, terbalikkan aje ejaannya)... Hehe. Rupa-rupanya abang posmen.


Terima kasih, Ustaz Zayu Hisham atas kiriman ini :)