Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Ahad, 8 Ogos 2021

Drama Melayu Pun Ada yang Bagus!

Rasa macam dah lama tak layan drama kat TV 'back to back' ni. Daripada satu drama kepada satu drama. Masa tunggu keputusan SPM dulu, hari-hari tengok TV aje kerjanya dari pagi sampai malam. Melayu, Indonesia, Filipina, Mandarin, Korea... Semua kita layan. Sambil layan drama, dapat juga belajar banyak bahasa. Yalah, zaman tu tak ada apa-apa komitmen lagi. Nak kerja, mak tak bagi, so kita enjoy puas-puas masa tu.

Bila dah belajar kat UiTM, dah kurang sikit tengok TV sebab bilik TV kat asrama hak milik bersama. Siapa cepat, dialah pegang remote. Hu hu... Tapi zaman universiti dah kurang masa lapang. Banyak assignment luar. 

Masa duduk rumah sewa pun sama. Balik kerja mengadap laptop untuk mengarang manuskrip sajalah. Zaman tu pun mana ada WhatsApp dan Instagram apatah lagi Tik Tok. Sekali-sekala bila bosan duduk rumah, pergilah tengok wayang. Maklumlah, panggung wayang pun sekangkang kera saja dari rumah. 

Waktu muda kita sibuk dengan kerja, sekarang bila usia dah dekat 40-an ni kita dah larat nak buat kerja banyak-banyak dalam satu masa. Kalau dulu, lepas balik kerja, masih larat nak menulis pada waktu malam tapi sekarang mata pun cepat saja mengantuk. So bila PKP ni, tiap-tiap malam layan drama kat TV sambil menulis lepas seharian mengadap PC buat kerja ofis. 

Sekarang pukul 8.00 malam ada drama Kanvas kat TV2, adaptasi novel terbitan Prolog Media. Selalunya drama adaptasi novel untuk tayangan RTM ni jaranglah tak best



Pukul 9.00 malam pula sambung tengok drama TV3, ada drama baharu ganti Ayahanda. Pukul 10.00 malam pula Sitik Tok, pukul 10.30 drama Mata Ketiga (juga adaptasi novel)...



Hah, siapa kata drama Melayu ni asyik kisah cinta orang kaya Megah Holding aje? Yang pergi tengok slot drama pukul 7.00 malam tu buat apa? Eh, tapi drama Shah Alam 40000 tu layan juga. He he... Rupa-rupanya kita ni memang banyak tengok drama dari dulu. Itulah, kononnya dulu nak jadi penulis skrip, kan? T_____T

Rabu, 28 Julai 2021

Bengkel Penulisan "FROM NOVELIST TO SCRIPTWRITER"


Alhamdulillah, selesai menjalani bengkel penulisan lima malam yang penuh bermanfaat. Asalnya saja-saja isi nama, tak sangka terpilih kerana khabarnya penganjur menerima terlalu banyak penyertaan tetapi bilangan peserta yang dihadkan hanya seramai 20 orang.

Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum bengkel, saya kena cucuk vaksin. Tiga hari tak mampu nak hadap skrin handphone apatah lagi laptop atau komputer. 'Pengsan' sehari gara-gara diserang demam, dua hari lagi bolehlah bangun sikit-sikit. Ya, memang tak sambut raya pun. Makan pun tak lalu. Alhamdulillah, menjelang hari bengkel, saya sudah kembali sihat dan ada juga rezeki untuk menimba ilmu penulisan skrip drama TV selama lima malam berturut-turut.

Cita-cita asal memang nak jadi penulis skrip drama/filem kononnya. Sempatlah menuntut sedikit ilmu sewaktu bekerja di sebuah syarikat animasi 3D pada tahun 2008 dahulu. Tapi tak ada rezeki nak jadi penulis skrip drama, akhirnya jadi penulis novel. Tapi, jadi penulis novel pun ada kepuasan dan keistimewaan yang tersendiri. Impian nak tulis skrip itu ada tapi bila dengar penulis skrip kena pergi pitching dan meeting.... hmm.... tengoklah nanti macam mana. Hee~



Secara keseluruhan, program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), FINAS ini merupakan inisiatif yang baik. Peserta banyak didedahkan dengan prosedur penulisan skrip drama, proses yang perlu dilalui sebelum sesuatu skrip itu dibuat, corak kerja production house, kekangan dalam menghasilkan sesuatu drama dan lain-lain. Secara tak langsung, saya pun dapat kenal dengan orang baharu dan belajar banyak benda baharu. Rasa macam jadi pelajar universiti balik. Nak sambung Ijazah, memang taklah kut. Tapi, memang tabiklah pada ibu-ibu yang sambung belajar sambil bekerja tu, nak uruskan rumah tangga lagi sebab saya yang ambil kursus lima hari ini pun dah rasa struggle T_____T

Apa pun, terima kasih kepada rakan penulis yang berkongsikan poster ini dalam Facebook, pihak penganjur yang menganjurkan program bermanfaat ini, Kak Aida Anggerik yang memilih saya sebagai salah seorang peserta, Cik Puan Siti Solehah yang banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman, tuan pengarah Heykal Hanifah yang juga sudi berkongsi ilmu dan pengalaman serta rakan-rakan sekelas yang saling menyokong. InsyaAllah, ada rezeki, kita jumpa lagi atau mungkin kita akan bekerjasama pada masa akan datang. 

Sabtu, 24 Julai 2021

Kenapa sampai tahun 2015 saja?


Antara karya novel yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga 2015.


Karya terakhir iaitu Bukan Tak Suka sebenarnya disiapkan dalam waktu saya cuti berpantang anak sulung. Jadinya, lepas novel ini siap, saya pun mula sibuk dengan kehidupan sebagai seorang ibu. Ada juga curi-curi masa tulis novel tapi nak siapkan pada waktu itu macam agak mustahil rasanya. Tambahan pula, waktu itu suami sedang sibuk menyiapkan karya terbaharu beliau. Jadi, saya rela undur diri dan beri ruang kepada beliau untuk siapkan karyanya. Rupa-rupanya itulah karya terakhir daripada beliau T_____T

Hanya selepas arwah suami saya meninggal dunia iaitu awal tahun 2017, saya mula mencari sesuatu yang boleh buat saya sibuk. Saya menulis sedikit-sedikit saja. Cuba asah kembali skill yang dah tumpul. Kemudian, saya kembali bekerja di ibu kota. Waktu ini saya sudah berpindah rumah dan tinggal di rumah bujang bersama beberapa teman serumah yang lain. Jadi, ada banyak masa terluang. Daripada tak buat apa-apa, saya pun buat keputusan untuk kembali menulis. 

Sambil menulis novel, ada beberapa peluang menulis datang. Makanya, saya lebih memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja penulisan yang mempunyai deadline. Jika ada masa terluang, baru saya akan sambung menulis novel. 

Dan pada tahun 2019, saya menerima berita dua manuskrip novel yang dihantar kepada dua syarikat penerbitan lulus untuk diterbitkan. Satu novel dan satu novel mini sebenarnya. Pada asalnya, novel mini ini ditulis untuk jualan pesta buku tahun 2020. Cover pun sudah siap! Cuma tinggal nak cetak saja. Tiba-tiba, Covid pula datang dan pesta buku terpaksa ditangguhkan. InsyaAllah, jika ada rezeki, Kerana Dia... Kamu! dan Pikat Hati Bos! akan menemui pembaca juga suatu hari nanti...

Khamis, 26 November 2020

Di Sebalik Tabir: Puaka Tandas Sekolah

Puaka Tandas Sekolah (Penerbit X)

Last saya tulis cerpen Disember 2019 dalam komik Lawak Budak Sekolah, Mana Papa? terbitan Komik M. Kali ni, sekali lagi saya menulis bersama satu lagi jenama di bawah PTS iaitu Penerbit X.

Sebenarnya tak terfikir pun boleh menulis cerita seram. Pada awalnya, saya saja-saja e-mel tuan editor untuk tahu pasal manuskrip cerita remaja. Tapi tak lama kemudian, tuan editor mesej saya di Facebook dan bertanyakan sama ada saya berminat nak tulis cerpen seram ni.

Mula-mula tu memanglah macam tak yakin sebab dulu pernah juga cuba tulis cerita seram bersama rakan-rakan penulis yang lain tapi sudahnya habuk pun tak ada! Macam mana nak tulis kalau baru bayangkan aje dah naik bulu roma!

Lepas fikir-fikir, akhirnya saya buat keputusan untuk sahut cabaran ini! Maka, bermulalah sesi perah otak untuk cari idea memandangkan tuan editor kata tak nak cerita hantu yang balas dendam atau hantu yang saja-saja kacau orang. Bayangkan betapa banyaknya buku seram yang perlu dihadam termasuk komik semata-mata nak tulis cerpen ni. Tak cukup pula tu, paksa diri tengok cerita-cerita seram untuk kaji idea dan jalan cerita genre ini.


Siri Puaka terbitan Penerbit X


Cabaran tulis cerita seram ni ialah saya tak ada pengalaman seram walaupun pernah duduk asrama waktu kat UiTM dulu. So, susah sikit nak dapat feel. Tapi bila dah dapat feel, dengar bunyi air menitik dekat bilik air pun dah terkejut! Kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam mimpi!

Sebelum siri puaka ini terbit, sepatutnya ada novel mini saya yang terbit sempena pesta buku tapi disebabkan PKP, penerbitan novel mini itu terpaksa ditangguhkan. Tup, tup, Puaka Tandas Sekolah ini pula yang terbit dulu! Harapnya lepas ni tuan editor masih sudi terima cerpen saya untuk siri puaka ni...

Sabtu, 21 November 2020

Sudah Terbit!



Ketika Lara sedang tekun menyental lantai, tiba-tiba bunyi air mengalir daripada pili kedengaran. Dia melepaskan keluhan kasar. Waktu dia sedang membersihkan tandas, ada pula orang yang suka-suka hati masuk ke dalam tandas itu. Dia berpaling ke arah singki untuk menegur, tetapi mulutnya terkunci apabila mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ.

“Dah buka, tapi tak reti pula nak tutup,” rungut Lara lalu menutup pili air itu. Namun ketika dia berpaling untuk menyambung kerjanya yang tergendala tadi, pili air itu terbuka semula. Langkahnya terhenti. Lara mula berasa tidak sedap hati. Terbayang makhluk hodoh yang dia pernah nampak di dalam cermin tandas itu.

Tiba-tiba air yang keluar daripada pili itu semakin deras. Semakin lama, air yang keluar berubah warna sehingga akhirnya menyerupai warna darah! Air di dalam singki itu terus melimpah dan membasahi lantai. Bagaikan tsunami, air darah itu kemudian menelan dirinya!

Tiga kisah yang berlaku dalam buku ini mungkin pernah benar-benar berlaku kepada kawan kepada kawan kita, atau sepupu kepada kawan kepada kawan kita. Yakinlah, alam ghaib itu wujud. Ia sentiasa menjadi misteri kepada kita, dan rahsia kepada orang-orang yang dianugerahkan Tuhan untuk melihatnya.

Beli di sini: Bookcafe

Khamis, 7 Mei 2020

My Honey, Hani di e-Sentral

Orang kata yang pertama selalunya istimewa. Kalau tak ada yang pertama, maka tak adalah dua, tiga, dan seterusnya.... Novel My Honey, Hani ialah novel pertama saya yang diterbitkan pada tahun 2010 di bawah rumah penerbitan KarnaDya Solutions setelah dua tahun menunggu.

Kini, setelah 10 tahun, kisah Dimas dan Hani ini masih dapat dibaca dalam versi e-Book di e-Sentral.




Kepada mereka yang sudah baca dan komen sejak novel ini diterbitkan, terima kasih banyak-banyak. Walaupun novel ini mungkin biasa-biasa sahaja dan tidak bestseller pun tapi apabila ada pembaca yang kata mereka suka cerita ini, segala penat-lelah menghasilkan novel ini terasa hilang.

Ahad, 22 Mac 2020

Duduk Rumah Challenge?

Seronoknya cuti! Tapi tak boleh keluar jalan-jalan? Bagi orang yang sudah biasa duduk di rumah pasti tiada masalah. Tapi bagi orang yang suka berjalan, mesti susah sikit nak lekat dekat rumah tu, kan? Tapi kalau diikutkan, kita masih dikira bertuah sebab cuma tak boleh keluar rumah saja. Cuba fikir orang yang sedang dalam pantang bersalin atau orang yang berada dalam tempoh iddah (kerana kematian suami), bukan setakat tak boleh keluar rumah tapi banyak pantang larang lain lagi yang perlu dipatuhi tau! 

Fikir dari sudut positif. Jika dulu kita kurang masa dengan keluarga, inilah masanya untuk kita bersama. Jika dulu kita terlalu sibuk dengan kerja, inilah masanya untuk kita berehat. Jika dulu kita kurang beramal ibadat, inilah masanya kita lipat gandakan. Jika dulu orang asyik kata kita kurus macam tak cukup makan, inilah masanya kita nak ternak lemak dalam badan. Eh?

Bagi adik-adik yang bersekolah, manfaatkanlah masa cuti yang panjang ini dengan membaca. Tak kisahlah baca buku pelajaran, buku cerita, novel, komik ataupun bahan bacaan daripada Internet. Selain dapat menambah ilmu, masa kita juga tidak terbuang begitu sahaja.


Sambil baca, sambil makan.


Okey, kalau semua buku dekat rumah tu sudah habis dibaca, boleh cuba jenguk portal ini pula, Learning Port Interactive. Dalam portal ini terdapat My Lessons dan Question Bank untuk subjek Bahasa Melayu, English, Matematik, Sains dan Sejarah daripada tahun satu sampailah tingkatan lima. Bukan setakat baca nota macam dalam buku tu, dalam ini juga adik-adik boleh tengok video animasi dan buat latihan secara interaktif. Tapi sebelum itu, kena daftar atau langgan dahulu ya. 


Layari https://learningport.com.my/ untuk maklumat lanjut.


Kalau tak nak ada yang baca-baca, boleh juga layari channel YouTube Learning Port Interactive. Dalam channel itu juga ada banyak video pembelajaran yang disampaikan dalam bentuk animasi. Mesti adik-adik enjoy punyalah!


Channel YouTube Learning Port Interactive.


Empat belas hari tu tak lama pun sebenarnya. Sedar-sedar dah habis 14 hari. Jangan lepas 14 hari kita rasa tak cukup sudah!