Jemput LIKE page ini :))

Pengerah Jemari

Tentang Aku

Foto saya
Suka menulis, dengar lagu, baca novel dan berangan.

Sabtu, 21 Januari 2023

Buku, Baru Kamu

Lupa pula nak kongsikan karya terbaharu iaitu karya terakhir bagi tahun 2022. Sebelum tahun 2022 melabuhkan tirai hari itu, saya sempat menghantar manuskrip cerpen kepada Hikarya Publishing bagi dimuatkan dalam buku antologi cerpen Buku, Baru Kamu. Dan buku ini telah siap dicetak pada Disember 2022 yang lalu.



Buku ini menghimpunkan 15 cerpen daripada 15 orang penulis.


Berminat nak order

Boleh hubungi nombor yang tertera di bawah ini ya.

Selasa, 27 September 2022

Bukan Dia Tapi Kamu (e-book)

Nak tulis manuskrip novel, akan ambil masa yang lama. Maka, kita tulis e-book dulu. Hee~ Ini salah satu manuskrip yang pernah ditulis waktu remaja dulu tapi belum pernah diterbitkan lagi. Jadi, kita buat keputusan untuk terbit dengan e-Sentral. 


Baru perasan, e-book kita dekat e-Sentral semua berkisarkan remaja. Jadi, kita pun pilih manuskrip ini untuk diterbitkan di e-Sentral juga. 

Jom baca blurb dulu:

Bertahun dia menunggu ZAQUAN tapi rupa-rupanya Zaquan sudah ada kekasih lain. Lebih menyakitkan apabila kekasih Zaquan itu adalah kawan baiknya sendiri, FILZAH.

NAZEERA reda. Dia nekad mengundur diri. Namun, tiba-tiba sahaja Zaquan kembali menagih cintanya. Apabila dia enggan tunduk dengan kemahuan Zaquan, Zaquan mengugut akan memberitahu Filzah tentang hubungan mereka.

Nazeera tersepit antara kekasih hati dengan kawan baik sendiri. Yang pastinya, salah seorang daripada mereka akan terluka....

Berminat nak tahu kisah mereka? Dapatkan di e-Sentral ya. 

Jumaat, 16 September 2022

Novel Kerana Dia... Kamu sudah terbit!

Alhamdulillah, setelah dua tahun lebih menanti dengan sabar, akhirnya novel mini Kerana Dia... Kamu siap dicetak!


Sebenarnya novel ini sudah lama ditulis. Kalau tak silap, hujung tahun 2019 dan dijangka terbit untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2020. Namun akibat pandemik, semua benda jadi tergendala.

Idea cerita ini tercetus apabila ada yang bertanyakan sama ada saya mahu cari pengganti arwah suami ataupun tidak memandangkan anak saya baru berusia dua tahun ketika itu. Tiba-tiba pula terfikir, kalau ada orang baharu yang hadir, adakah kau akan terima?

Maka, saya tuliskan kisah Aulia. Waktu tulis cerita ini pula memang tengah duduk 'membujang' di Vista Angkasa. Rumah pula dekat dengan tempat kerja. Dalam 15 minit berjalan kaki dah sampai rumah. So, nak buat apa?

Daripada melangut buang masa layan drama Korea dan Jepun sampai tengah malam, baiklah isi masa dengan menulis, kan? Entah macam mana waktu tu idea datang mencurah-curah. Mungkin sebab dah set dalam kepala tak nak tulis panjang-panjang.

Ya, cerita ini hanyalah novel mini.

Kepada pembaca yang bertanya, novel mini ini sudah boleh dibeli menerusi Shopee KarnaDya atau WhatsApp admin di talian yang tertera pada poster ya.

Ahad, 28 Ogos 2022

Pesta Buku Digital Merdeka di e-Sentral

Bagi mereka yang gemar baca e-book, sekarang sedang berlangsungnya Pesta Buku Digital Merdeka di e-Sentral. Anda boleh nikmati potongan sehingga 70 peratus dan sertai pelbagai aktiviti menarik sepanjang tempoh promosi. Antaranya Borak Santai bersama Penulis Novel. 



Terima kasih kepada mereka yang tengok sesi Borak Santai bersama Ilmar Imia pada 27 Ogos lepas. Minta maaf kalau ada yang kurang. Maklum saja, pertama kali join LIVE. He he. Dengarnya ada ramai lagi penulis yang akan ditemu bual. So, jangan lupa follow Instagram e-Sentral untuk perkembangan terkini ya.

Bagi mereka yang belum dapatkan e-book saya, ada tiga judul e-book saya di sana.





Boleh dapatkan e-book ini dengan harga special. Insya-Allah, e-book terbaharu dalam proses akhir. Kita sedang tunggu e-Sentral upload tak lama lagi. Yang ini betul-betul fresh dan belum pernah terbit dekat mana-mana lagi.

Isnin, 13 Jun 2022

Kenangan PBAKL 2022

Alhamdulillah, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 sudah pun melabuhkan tirainya semalam. Dan melalui kunjungan beberapa hari ke sana, saya dapati bilangan pengunjung semakin bertambah terutamanya pada hari-hari terakhir. Keadaan agak sesak dengan pengunjung. Suatu petanda positif untuk industri buku. 

Saya ke sana untuk menjenguk 'anak-anak' saya dan juga 'anak-anak angkat' yang berada di sana di samping mengambil peluang untuk mempromosikan dan menghebahkannya dalam media sosial. 

Setelah diberitahu tentang buku Aina Masuk Asrama, saya dapat tahu pula bahawa novel lama saya, Bukan Tak Suka dan Cinta Gantung rupanya ada dijual di reruai Fajar Pakeer. Hu hu....



Dan tak sangka pula pada kunjungan terakhir saya di sana, saya terserempak dengan kawan-kawan satu batch semasa di UiTM dulu. Tak sangka pula masih ada yang dapat cam saya walaupun kita ini biasa-biasa saja T____T

Ada antara mereka yang tak tahu pun saya tulis buku tapi sejujurnya saya tak kecil hati pun. Dah saya sendiri yang guna nama pena, kan? Lagipun saya pun memang nak low profile saja. Biar orang kenal buku-buku kita je gitu!

Alhamdulillah, terasa kemeriahan pesta buku kali ini. Ramai kawan yang dah lama tak jumpa dapat jumpa semula. Rindu sungguh kenangan PBAKL dulu terutamanya kenangan berjumpa dengan arwah suami di PWTC. Mungkin ada yang hairan kenapa saya kerap ke sana. Sebab rindu. Setiap kali ke sana, terasa seolah-olah arwah masih ada....

Harapnya PBAKL tahun depan saya dapat siapkan dua buah buku yang asyik tergendala ini.

Jumaat, 10 Jun 2022

Aina Masuk Asrama Berwajah Baharu!

Keterujaan nak menjengah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ini sedikit menurun apabila novel mini yang sepatutnya terbit sempena pesta buku tiada rezeki lagi untuk menemui pembaca setelah dua tahun di tangan penerbit. Ditambah pula apabila saya berkunjung ke PWTC pada hari kedua, saya dapati tiada satu pun judul novel saya yang dijual di sana. 

Seperti yang saya sedia maklum, buku Puaka Tandas Sekolah yang diterbitkan oleh Penerbit X memang sudah lama kehabisan stok dan belum diulang cetak. 

Di reruai KaryaSeni dan Penulisan2u pula, novel Bukan Tak Suka juga tidak kelihatan apatah lagi Cinta Gantung. Yang ada hanya Melodi Cinta

Di reruai Ana Muslim juga saya tidak nampak buku kanak-kanak saya; Aina Masuk Asrama, Mama Sayang Wawa ataupun Aku Nombor Satu.  

Namun beberapa hari kemudian, seorang kenalan berkongsikan poster ini di Instagram saya. Saya cuba amati dan besarkan mata untuk memastikan buku yang terpapar itu ialah buku saya.




Gara-gara nak pastikan yang buku itu betul buku saya, makanya saya terus ke PWTC usai waktu kerja untuk mendapatkan pengesahan. 

Bila dah dapat pegang dan belek, barulah percaya yang ini buku kita! Rupa-rupanya Aina Masuk Asrama sudah diolah menjadi novel grafik yang juga diubah judulnya kepada I Nak Masuk Asrama.



Setelah 10 tahun, tak sangka buku ini masih dijual dan mendapat sambutan yang agak menggalakkan lebih-lebih lagi selepas penambahbaikan yang dibuat oleh team Ana Muslim. 

Dan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ini, kalau beli 3 buku ini boleh dapat set merchandise berserta woven bag secara percuma!

Yang belum datang ke PWTC, boleh dapatkan promosi ini di reruai Ana Muslim yang terletak di Dewan Tun Razak 3 ya.

Khamis, 2 Jun 2022

Promosi e-Book PBAKL!

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 3 hingga 12 Jun ini, Love Novel Publishing turut mengadakan promosi e-book bagi semua terbitan mereka termasuklah e-book Best Friend ke Boyfriend? ini. Harga biasa RM18 tapi kalau beli sepanjang pesta buku ini boleh beli dengan harga RM15 sahaja.

e-book (single)

Tapi kalau nak beli banyak lagi bagus! Beli 3 e-book boleh dapat dengan harga RM35 sahaja! Boleh mix and match pula tu!

Kombo 3 e-book

Kalau nak order, tekan saja link ini! E-book akan dihantar dalam masa 1-3 hari bekerja bergantung kepada jumlah pesanan pada hari tersebut. 

Sabtu, 16 April 2022

Siapa suka baca e-book?

Bagi mereka yang suka baca e-book, e-book Best Friend ke Boyfriend? terbitan Love Novel Publishing ini sudah boleh dapat ready file ya. Penghantaran file akan mengambil masa dalam 24 jam ya. Boleh pilih sama ada nak terima file menerusi e-mel ataupun WhatsApp.


Rupa e-book dalam smartphone.


Rupa e-book dalam laptop atau komputer.


Kepada mereka yang dah beli e-book ini, terima kasih saya ucapkan atas kesudian anda memiliki e-book ini. Segala kekurangan harap dapat maklumkan kepada saya untuk saya perbaiki dalam e-book akan datang. 

Kepada yang belum beli, kalau minat nak beli, boleh PM saya di Facebook, Instagram ataupun Tik Tok. Kalau nak WhatsApp pun boleh. Klik sini ya. 

Isnin, 28 Mac 2022

Pra-Tempahan e-book "Best Friend ke Boyfriend?" Masih Dibuka!

Pra tempahan bagi pembelian e-book Best Friend ke Boyfriend? masih dibuka! E-book akan mula diedarkan pada 31 Mac 2022 ini.

RM16 (Harga Ahli), RM18 (Harga Bukan Ahli)


Nak beli single pun boleh, nak beli Combo pun boleh.

Dwi Camelia

Pakej Dandelion

Jika berminat, boleh contact Cik Shida ya. Tekan saja pautan di bawah.

Khamis, 10 Mac 2022

Best Friend ke Boyfriend?

Alhamdulillah, akhirnya e-book pertama saya bakal diterbitkan tidak lama lagi. Dan buat pertama kalinya, saya bekerjasama dengan Love Novel Publishing.

Kenapa saya tak terbitkan sendiri? 

Sebab saya masih belum arif dengan penerbitan e-book ini. Masih banyak perkara yang nak kena belajar. Jadi, saya perlukan penerbit dan pada masa yang sama juga saya perlukan editor untuk menilai manuskrip saya sebelum diterbitkan (^_____^)



Annur dan Juan sering kali terlihat berdua. Pergi kerja sama-sama, balik kerja pun sama-sama. Bahkan mereka juga selalu melepak bersama di luar waktu bekerja. Tapi apabila ditanya tentang status hubungan mereka, jawapan klise diberikan.
“Kita orang kawan-kawan ajelah.” – Annur
“Kau tak pernah dengar ke teori pasal lelaki dengan perempuan tak mungkin boleh jadi kawan saja?” – Hayza
Dia dengan Juan bercinta? Memang taklah!
Itu kata Annur.
Tapi kenapa apabila dia bersama dengan Muaz, dia tidak rasa perasaan yang sama sebagaimana dia bersama dengan Juan?
Kenapa apabila dia tidak berjumpa dengan Juan, dia asyik teringatkan lelaki itu?
Lebih parah lagi, hatinya dah mula pandai cemburu apabila ada gadis lain cuba rapat dengan Juan!
Annur cuba menjarakkan hubungannya dengan Juan kerana tidak mahu menjadi orang ketiga. Sebagai sahabat, dia patut mendoakan sahabatnya itu bahagia, tetapi Juan tidak pernah lari daripadanya, malah selalu ada ketika dia memerlukan seseorang.
Benarkah hubungan mereka hanya sekadar kawan baik atau sebenarnya ada rasa yang tersembunyi antara mereka?


Pra tempahan sudah dibuka! Jika berminat, boleh contact Cik Shida ya. Tekan saja pautan di bawah.

Ahad, 6 Mac 2022

Dalam Kekalutan Terselit Khabar Gembira

Konon cuti sekolah ini nak siapkan projek-projek penulisan yang tergendala dan join projek-projek yang ada. Tapi bila dapat mesej daripada cikgu sekolah SK anak yang nak masuk tahun 1 bulan 3 ini, mama jadi kalut pula. Baru sedar satu apa pun tak beli lagi!

Banyak juga benda nak kena fikir. Baju sekolah, buku sekolah, pengangkutan, daycare, nak hantar borang ke sekolah semula.... Semuanya nak pakai duit. Patutlah orang cakap bila anak masuk sekolah banyak nak pakai duit. Hu hu

Itu tak termasuk lagi kena buat pilihan kelas DLP ataupun non-DLP, Bahasa Arab ataupun Bahasa Cina... Kalau papa Tamis ada, bolehlah bawa berbincang. Terpaksalah mama buat keputusan sendiri. Nak senang, mama tanya sajalah budak itu. He he

Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan semuanya. Tinggal nak beli baju dan kasut sekolah saja. Dengarnya macam simple tapi macam-macam nak kena ambil kira. Itu pun ada hati nak beli masa hari terakhir cuti sekolah nanti. Haish~

Nampak gayanya ada projek yang terpaksa dilepaskan. Insya-Allah, ada rezeki lain. Jangan tamat sangat, takut tak terbuat pula nanti. Buat masa sekarang, lebih baik fokus pada tiga projek dalam tangan sekarang. Manuskrip novel itu pun tak siap-siap lagi. Isk... Isk... Isk...

Dalam pada itu, terima berita gembira yang e-book pertama saya akan diterbitkan tidak lama lagi. Editor dah tunjuk cover rasmi. Yeay! Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan penerbit ini. Nak tahu penerbit apa? Tungggguuuuuu....

Isnin, 3 Januari 2022

Teringin Nak Main dengan Dinosaur?


Dulu orang datang Zoo Mini Taman Teruntum (Kuantan, Pahang) ini sebab nak tengok haiwan tapi sekarang orang datang sini sebab nak tengok dinosaur!

Mulanya, ingatkan dekat sini ada patung dinosaur saja selain haiwan-haiwan yang sudah sedia ada. Setakat ambil gambar gitu-gitu aje. Rupa-rupanya ada permainan indoor juga! Tapi nak masuk sini kena bayar tiket lain pula ya. 

Macam-macam game dinosaur yang boleh dimain dekat dalam ni. Dinosaur pula terasa macam betul-betul wujud. Bukan macam main game dalam komputer atau telefon tu tau. Cuma tekan-tekan skrin. Tapi game-game ini memerlukan kau orang banyak bergerak.

Ada kena menari, kena ketuk batu untuk cari fosil dinosaur, kena lalu lahar gunung berapi, kena gelongsor, kena tolong T-Rex daripada diserang bebola api, buat video dengan dinosaur, selamatkan telur daripada dicuri dan macam-macam lagi!

Game yang paling kita orang suka main banyak kali ialah game selamatkan telur dinosaur! Kau orang kena baling batu (bola) pada dinosaur burung yang nak curi tiga biji telur. Akhir sekali, T-Rex pula muncul. Memang tak puas main game ni sebab dinosaur burung tu sangat pantas!

Setakat ini, rasa berbaloi aje bayar harga tiket nak masuk sini. Sesuailah dengan teknologi yang dia orang dah bangunkan. Yang penting, anak-anak seronok dan puas hati. Siap request nak datang lagi! 

Sabtu, 18 Disember 2021

Rumah Maduku Berhantu VS Prebet Sapu

Memandangkan KL cuti 3 Disember yang lalu sempena menang Piala Malaysia (aku tak minat bola dan tak ambil tahu tapi kalau bab cuti, jadi tahu. Hee~), lepas hantar anak ke sekolah, aku ambil peluang untuk menonton wayang di pusat beli-belah berdekatan sementara tunggu dia habis sekolah. Cerita yang aku pilih; Rumah Maduku Berhantu. 


Aku tak kisah apa orang cakap. Aku layan saja mana-mana cerita pun. Tapi aku lupa bahawa keadaan di dalam panggung wayang itu sangat gelap dan aku seorang diri di dalam hall itu! Biar betik! Dahlah masuk-masuk aje dah iklan cerita seram. Ah, ghisau! Aku cuba juga sedapkan hati kononnya ada orang lain yang akan masuk sekejap lagi. Tapi setelah satu jam aku menonton, masih tiada sesiapa yang masuk selain staf yang menghantar makanan. 

Aku cuba beranikan diri untuk menonton sampai ke akhir cerita tapi sayangnya perasaan takut aku semakin menjadi-jadi apabila terbayangkan ada makhluk lain yang menonton bersamaku memandangkan panggung wayang itu sudah lama tidak dikunjungi orang sejak PKP dilaksanakan. Tambahan pula, aku sudah berjanji dengan anak mahu mengambilnya pada pukul 1.00 petang. Sudahnya, aku terpaksa juga keluar dari situ ketika pertengahan cerita! 



Minggu depannya, sekali lagi aku mengisi masa dengan menonton wayang sementara tunggu anak habis sekolah pukul 1.00 petang. Kali ini aku menonton filem Prebet Sapu pula. Memandangkan slot tayangan yang paling awal ada di Midvalley Megamall, aku gagahkan juga ke sana lantaran aku sudah ada MyRapid30. Sayang pula kalau tak digunakan. Alang-alang boleh ke kedai buku sekali cadangnya. 

Kali ini aku bernasib baik kerana aku tidak keseorangan di dalam panggung! Fuh, lega! Tempat duduk pula paling belakang. So, tak adalah takut sangat. Tapi yang tak syoknya ada pula couple di sebelah aku. Kalau tengok diam-diam tak apalah, ini sempat lagi dia orang bersembang. Haish~

Bagi aku, banyak industri yang terkesan akibat pandemik. Jadi, mana-mana industri yang boleh kita support, kita supportlah.

Ahad, 10 Oktober 2021

Budak SMART dan Kugiran SMART Kini di e-Sentral

Cerita Budak SMART ditulis pada sekitar tahun 2008 dalam blog Penulisan2u dan mula dibukukan pada tahun 2010 di bawah rumah penerbitan One Nusantara Sdn. Bhd. Selepas cetakan pertama, buku Budak SMART dicetak kali kedua dengan cover baharu. 

Cover asal (terbitan 2010).


Cerita ini merupakan manuskrip pertama yang saya tulis berdasarkan pengalaman alam persekolahan saya dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah tetapi sudah tentulah diolah supaya menjadi lebih menarik. Nama SMART dipilih kerana saya tahu selok-belok sekolah tersebut, jadi lebih senang ditulis daripada direka-reka. 

Cover baharu (cetakan kedua)


Nama SMART diambil daripada nama sekolah di Kuantan iaitu SMK Abdul Rahman Talib.

Kugiran SMART pula merupakan kesinambungan daripada Budak SMART tetapi lebih mengetengahkan tema cita-cita dan impian. 


Self-publishing (terbitan 2012)

Kedua-dua muka hadapan novel ini dilukis oleh arwah sahabat saya, Ikhsan Ise. Al-Fatihah...

Kepada pembaca yang bertanya tentang novel Budak SMART dan Kugiran SMART, maaf, novel ini sudah tiada di pasaran T____T

Tapi, kedua-dua novel remaja ini kini boleh didapati dalam versi e-book di e-Sentral :)


Penerbitan e-book ini merupakan permulaan untuk saya berjinak-jinak dalam penulisan e-book. Memandangkan seiring dengan peningkatan usia ini, kebolehan 'membebel' dalam novel itu sudah hilang sedikit, maka kebanyakan manuskrip yang ditulis jadi pendek-pendek saja T_____T

Jadi, daripada dibiarkan, mungkin boleh diterbitkan dalam versi e-book sahaja kerana penulisan e-book ini tak panjang sangat. He he~ 

Khamis, 2 September 2021

Buku Fizikal atau e-Book?

Secara jujurnya, saya lebih suka buku yang dicetak kerana boleh pegang dan lebih puas nak baca. Tapi memandangkan tengah PKP, dah lama tak pergi kedai buku, so mulalah rasa nak baca bahan bacaan baharu. Ada juga beli buku daripada laman web penerbit tapi kena tunggu beberapa hari sebelum buku sampai. Tapi semua buku tu pun dah habis dibaca. Hee~

Kemudian, teringat pula ada satu platform e-book iaitu e-Sentral. Daftar akaun kat sana tahun 2019 kalau tak silap tapi lepas tu biar gitu sajalah. Baru-baru ni sajalah jenguk sana sebab ada pihak yang cadangkan terbitkan e-book di sana. Kalau nak tengok contoh rupa e-book tu, kenalah beli, kan? So, saya pun belek-beleklah tajuk dan nama penulis yang ada sambil baca review daripada pembaca (serta harga).

Bila baca review pembaca, rasa tertarik dengan dua e-book ni. Nak-nak karya Nurul Syahida. So, pejam mata sajalah beli dua e-book ni walaupun duit dalam akaun dah 'nyawa-nyawa ikan' T_____T 


Dua-dua cerita ni best!


Tapi sebenarnya, dah tentulah harga e-book lebih murah daripada novel yang dicetak sebab e-book tak ada kos percetakan. Sekarang pun banyak penerbit buku yang mengambil inisiatif untuk mengeluarkan e-book waktu pandemik ini. 

Hah, kita pun saja-sajalah taip nama sendiri. Kut-kut buku kita pun ada. Dan ternyata buku Puaka Tandas Sekolah juga ada dalam versi e-book. Hee~


Puaka Tandas Sekolah versi e-book di e-Sentral.

Memandangkan sekarang zaman digital, maka industri buku juga sedang bergerak ke arah digital. Makanya, penulis pun kena belajar bab-bab teknologi ni. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya pun nak cuba tulis e-book pulalah nanti sebab e-book boleh tulis pendek-pendek aje ^_____^

Ahad, 8 Ogos 2021

Drama Melayu Pun Ada yang Bagus!

Rasa macam dah lama tak layan drama kat TV 'back to back' ni. Daripada satu drama kepada satu drama. Masa tunggu keputusan SPM dulu, hari-hari tengok TV aje kerjanya dari pagi sampai malam. Melayu, Indonesia, Filipina, Mandarin, Korea... Semua kita layan. Sambil layan drama, dapat juga belajar banyak bahasa. Yalah, zaman tu tak ada apa-apa komitmen lagi. Nak kerja, mak tak bagi, so kita enjoy puas-puas masa tu.

Bila dah belajar kat UiTM, dah kurang sikit tengok TV sebab bilik TV kat asrama hak milik bersama. Siapa cepat, dialah pegang remote. Hu hu... Tapi zaman universiti dah kurang masa lapang. Banyak assignment luar. 

Masa duduk rumah sewa pun sama. Balik kerja mengadap laptop untuk mengarang manuskrip sajalah. Zaman tu pun mana ada WhatsApp dan Instagram apatah lagi Tik Tok. Sekali-sekala bila bosan duduk rumah, pergilah tengok wayang. Maklumlah, panggung wayang pun sekangkang kera saja dari rumah. 

Waktu muda kita sibuk dengan kerja, sekarang bila usia dah dekat 40-an ni kita dah larat nak buat kerja banyak-banyak dalam satu masa. Kalau dulu, lepas balik kerja, masih larat nak menulis pada waktu malam tapi sekarang mata pun cepat saja mengantuk. So bila PKP ni, tiap-tiap malam layan drama kat TV sambil menulis lepas seharian mengadap PC buat kerja ofis. 

Sekarang pukul 8.00 malam ada drama Kanvas kat TV2, adaptasi novel terbitan Prolog Media. Selalunya drama adaptasi novel untuk tayangan RTM ni jaranglah tak best



Pukul 9.00 malam pula sambung tengok drama TV3, ada drama baharu ganti Ayahanda. Pukul 10.00 malam pula Sitik Tok, pukul 10.30 drama Mata Ketiga (juga adaptasi novel)...



Hah, siapa kata drama Melayu ni asyik kisah cinta orang kaya Megah Holding aje? Yang pergi tengok slot drama pukul 7.00 malam tu buat apa? Eh, tapi drama Shah Alam 40000 tu layan juga. He he... Rupa-rupanya kita ni memang banyak tengok drama dari dulu. Itulah, kononnya dulu nak jadi penulis skrip, kan? T_____T

Rabu, 28 Julai 2021

Bengkel Penulisan "FROM NOVELIST TO SCRIPTWRITER"


Alhamdulillah, selesai menjalani bengkel penulisan lima malam yang penuh bermanfaat. Asalnya saja-saja isi nama, tak sangka terpilih kerana khabarnya penganjur menerima terlalu banyak penyertaan tetapi bilangan peserta yang dihadkan hanya seramai 20 orang.

Nak dijadikan cerita, seminggu sebelum bengkel, saya kena cucuk vaksin. Tiga hari tak mampu nak hadap skrin handphone apatah lagi laptop atau komputer. 'Pengsan' sehari gara-gara diserang demam, dua hari lagi bolehlah bangun sikit-sikit. Ya, memang tak sambut raya pun. Makan pun tak lalu. Alhamdulillah, menjelang hari bengkel, saya sudah kembali sihat dan ada juga rezeki untuk menimba ilmu penulisan skrip drama TV selama lima malam berturut-turut.

Cita-cita asal memang nak jadi penulis skrip drama/filem kononnya. Sempatlah menuntut sedikit ilmu sewaktu bekerja di sebuah syarikat animasi 3D pada tahun 2008 dahulu. Tapi tak ada rezeki nak jadi penulis skrip drama, akhirnya jadi penulis novel. Tapi, jadi penulis novel pun ada kepuasan dan keistimewaan yang tersendiri. Impian nak tulis skrip itu ada tapi bila dengar penulis skrip kena pergi pitching dan meeting.... hmm.... tengoklah nanti macam mana. Hee~



Secara keseluruhan, program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), FINAS ini merupakan inisiatif yang baik. Peserta banyak didedahkan dengan prosedur penulisan skrip drama, proses yang perlu dilalui sebelum sesuatu skrip itu dibuat, corak kerja production house, kekangan dalam menghasilkan sesuatu drama dan lain-lain. Secara tak langsung, saya pun dapat kenal dengan orang baharu dan belajar banyak benda baharu. Rasa macam jadi pelajar universiti balik. Nak sambung Ijazah, memang taklah kut. Tapi, memang tabiklah pada ibu-ibu yang sambung belajar sambil bekerja tu, nak uruskan rumah tangga lagi sebab saya yang ambil kursus lima hari ini pun dah rasa struggle T_____T

Apa pun, terima kasih kepada rakan penulis yang berkongsikan poster ini dalam Facebook, pihak penganjur yang menganjurkan program bermanfaat ini, Kak Aida Anggerik yang memilih saya sebagai salah seorang peserta, Cik Puan Siti Solehah yang banyak memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman, tuan pengarah Heykal Hanifah yang juga sudi berkongsi ilmu dan pengalaman serta rakan-rakan sekelas yang saling menyokong. InsyaAllah, ada rezeki, kita jumpa lagi atau mungkin kita akan bekerjasama pada masa akan datang. 

Sabtu, 24 Julai 2021

Kenapa sampai tahun 2015 saja?


Antara karya novel yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga 2015.


Karya terakhir iaitu Bukan Tak Suka sebenarnya disiapkan dalam waktu saya cuti berpantang anak sulung. Jadinya, lepas novel ini siap, saya pun mula sibuk dengan kehidupan sebagai seorang ibu. Ada juga curi-curi masa tulis novel tapi nak siapkan pada waktu itu macam agak mustahil rasanya. Tambahan pula, waktu itu suami sedang sibuk menyiapkan karya terbaharu beliau. Jadi, saya rela undur diri dan beri ruang kepada beliau untuk siapkan karyanya. Rupa-rupanya itulah karya terakhir daripada beliau T_____T

Hanya selepas arwah suami saya meninggal dunia iaitu awal tahun 2017, saya mula mencari sesuatu yang boleh buat saya sibuk. Saya menulis sedikit-sedikit saja. Cuba asah kembali skill yang dah tumpul. Kemudian, saya kembali bekerja di ibu kota. Waktu ini saya sudah berpindah rumah dan tinggal di rumah bujang bersama beberapa teman serumah yang lain. Jadi, ada banyak masa terluang. Daripada tak buat apa-apa, saya pun buat keputusan untuk kembali menulis. 

Sambil menulis novel, ada beberapa peluang menulis datang. Makanya, saya lebih memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja penulisan yang mempunyai deadline. Jika ada masa terluang, baru saya akan sambung menulis novel. 

Dan pada tahun 2019, saya menerima berita dua manuskrip novel yang dihantar kepada dua syarikat penerbitan lulus untuk diterbitkan. Satu novel dan satu novel mini sebenarnya. Pada asalnya, novel mini ini ditulis untuk jualan pesta buku tahun 2020. Cover pun sudah siap! Cuma tinggal nak cetak saja. Tiba-tiba, Covid pula datang dan pesta buku terpaksa ditangguhkan. InsyaAllah, jika ada rezeki, Kerana Dia... Kamu! dan Pikat Hati Bos! akan menemui pembaca juga suatu hari nanti...

Khamis, 26 November 2020

Di Sebalik Tabir: Puaka Tandas Sekolah

Puaka Tandas Sekolah (Penerbit X)

Last saya tulis cerpen Disember 2019 dalam komik Lawak Budak Sekolah, Mana Papa? terbitan Komik M. Kali ni, sekali lagi saya menulis bersama satu lagi jenama di bawah PTS iaitu Penerbit X.

Sebenarnya tak terfikir pun boleh menulis cerita seram. Pada awalnya, saya saja-saja e-mel tuan editor untuk tahu pasal manuskrip cerita remaja. Tapi tak lama kemudian, tuan editor mesej saya di Facebook dan bertanyakan sama ada saya berminat nak tulis cerpen seram ni.

Mula-mula tu memanglah macam tak yakin sebab dulu pernah juga cuba tulis cerita seram bersama rakan-rakan penulis yang lain tapi sudahnya habuk pun tak ada! Macam mana nak tulis kalau baru bayangkan aje dah naik bulu roma!

Lepas fikir-fikir, akhirnya saya buat keputusan untuk sahut cabaran ini! Maka, bermulalah sesi perah otak untuk cari idea memandangkan tuan editor kata tak nak cerita hantu yang balas dendam atau hantu yang saja-saja kacau orang. Bayangkan betapa banyaknya buku seram yang perlu dihadam termasuk komik semata-mata nak tulis cerpen ni. Tak cukup pula tu, paksa diri tengok cerita-cerita seram untuk kaji idea dan jalan cerita genre ini.


Siri Puaka terbitan Penerbit X


Cabaran tulis cerita seram ni ialah saya tak ada pengalaman seram walaupun pernah duduk asrama waktu kat UiTM dulu. So, susah sikit nak dapat feel. Tapi bila dah dapat feel, dengar bunyi air menitik dekat bilik air pun dah terkejut! Kadang-kadang sampai terbawa-bawa dalam mimpi!

Sebelum siri puaka ini terbit, sepatutnya ada novel mini saya yang terbit sempena pesta buku tapi disebabkan PKP, penerbitan novel mini itu terpaksa ditangguhkan. Tup, tup, Puaka Tandas Sekolah ini pula yang terbit dulu! Harapnya lepas ni tuan editor masih sudi terima cerpen saya untuk siri puaka ni...

Sabtu, 21 November 2020

Sudah Terbit!



Ketika Lara sedang tekun menyental lantai, tiba-tiba bunyi air mengalir daripada pili kedengaran. Dia melepaskan keluhan kasar. Waktu dia sedang membersihkan tandas, ada pula orang yang suka-suka hati masuk ke dalam tandas itu. Dia berpaling ke arah singki untuk menegur, tetapi mulutnya terkunci apabila mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ.

“Dah buka, tapi tak reti pula nak tutup,” rungut Lara lalu menutup pili air itu. Namun ketika dia berpaling untuk menyambung kerjanya yang tergendala tadi, pili air itu terbuka semula. Langkahnya terhenti. Lara mula berasa tidak sedap hati. Terbayang makhluk hodoh yang dia pernah nampak di dalam cermin tandas itu.

Tiba-tiba air yang keluar daripada pili itu semakin deras. Semakin lama, air yang keluar berubah warna sehingga akhirnya menyerupai warna darah! Air di dalam singki itu terus melimpah dan membasahi lantai. Bagaikan tsunami, air darah itu kemudian menelan dirinya!

Tiga kisah yang berlaku dalam buku ini mungkin pernah benar-benar berlaku kepada kawan kepada kawan kita, atau sepupu kepada kawan kepada kawan kita. Yakinlah, alam ghaib itu wujud. Ia sentiasa menjadi misteri kepada kita, dan rahsia kepada orang-orang yang dianugerahkan Tuhan untuk melihatnya.

Beli di sini: Bookcafe